Movie Review | Qodrat 2 (2025)

Friday, 18 April 2025


Pengarah: Charles Gozali, Imron Ayikayu   
Penulis Skrip: Asaf Antariksa, Gea Rexy, Charles Gozali 
Pelakon: Vino G. Bastian, Acha Septriasa, Della Dartyan, Donny Alamsyah, Hana Saraswati 
Syarikat Produksi: Magma Entertainment, Rapi Films, Legacy Pictures, Astro Shaw, Ideosource Entertainment, Virtuelines Entertainment, Caravan Studio, Beacon Film  
Pengedar:  Rapi Films (Indonesia), Astro Shaw (Malaysia)
Genre: Seram / Aksi / Drama
Durasi Tayangan: 115 minit
Tarikh Tayangan: 31 Mac 2025 (Indonesia), 17 April 2025 (Malaysia)
Trailer:


Seperti yang dijanjikan oleh pihak produksi, Qodrat kembali ke layar perak untuk menceritakan perjalanan Qodrat (Vino G. Bastian) mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang telah berstuju menghambakan dirinya kepada Assuala (Teuku Rifnu Wikana) demi menyelamatkan anak mereka, Alif Al-Fatanah (Jason Bangun). 

Kecewa dengan tindakan Azizah, Qodrat enggan bertemu dengan isterinya ketika berada di penjara. Tanpa putus asa Azizah melawat Qodrat namun bertukar murung setelah Qodrat disahkan meninggal dunia. Selepas keluar dari hospital sakit jiwa, Azizah diajak oleh rakan-rakannya, Murni dan Purwanti (Della Dartyan) untuk bekerja di Kilang Benang Emas. 


Walaupun tak lama kemudian Murni meninggal dunia akibat kecelakaan di kilang tersebut, Azizah tetap tekun bekerja untuk melupakan tragedi kehilangan orang-orang yang dia sayang. Melalui surat Azizah kepada Kiai Rohim (Cecep Arif Rahman), Qodrat memulakan pencarian untuk bawa Azizah pulang ke sisinya walaupun bakal berdepan dengan syaitan Assuala dan Zhaduq (Badra Wijaya). 

Instalment kedua dari trilogi Qodrat arahan dan penulisan Charles Gozali merupakan prekuel kepada Qodrat (2022) yang telah pergi ke Pusat Pengajian Kahuripan di Desa Kober lalu menyelamatkan keluarga Yasmin (Marsha Timothy). Dalam naskhah Qodrat 2, boleh nampak watak Qodrat yang masih lemah dengan ujian Tuhan hingga mengabaikan Azizah yang juga terkesan dan tersalah membuat pilihan. Tak sama dengan watak Qodrat dalam instalment sebelumnya yang lebih berani dan yakin berdepan dengan Assuala. 


Screentime dan ruang banyak diberikan kepada Acha Septriasa yang kembali ke layar perak sebagai Azizah buatkan kita kenal dan connect dengan watak tersebut. Babak dia gagal baca Doa Iftitah dalam Solat Sunat Taubat sebelum berjumpa Qodrat antara elemen spiritual dan psikologi yang dimasukkan dalam Qodrat. Filem ni tak ada jump scare dan cuma bergantung pada babak-babak seram yang berkait rapat dengan kekuatan iman individu. 


Sama macam pengalaman Acha ketika berlakon filem Qodrat, babak Sri Wahyuni (Hana Saraswati) dan Azizah di kilang benang berdepan dengan Zhaduq antara pengalaman yang seram. Bunyi mesin benang tu dah cukup menggerunkan sampai tak senang duduk tunggu ada yang datang selamatkan mereka berdua. 

Kreativiti Hani Pradigya dalam menjayakan sinematografi Qodrat berjaya menghidupkan suasana Kilang Benang Emas yang ngeri dan menakutkan. Beberapa babak lain mempunyai aesthetic yang tersendiri lantas menambahkan pesona watak yang dimasukkan. Penggunaan cahaya yang minimal membantu screenplay Qodrat sebagai naskhah seram thriller macam babak Azizah kena tindih dengan Assuala. Close-up yang digunakan menambahkan ketegangan yang dialami Azizah atau dalam babak-babak lain. 


Assuala dan Zhaduq mungkin tak lah seram sangat bila digambarkan sebagai raksasa yang menyerupai haiwan seperti anjing atau kerbau tapi rasa seriau tetap ada setiap kali mereka muncul. Qodrat 2 tak banyak sangat berlawan tapi I seronok tengok Qodrat fight dengan Safih (Septian Dwi Cahyo) dukun Kejawen yang memuja Zhaduq. Teknik kamera untuk babak tu antara pengalaman sinematik yang menarik dalam filem Qodrat 2. 

Penceritaan Qodrat bergerak sedikit pantas dari naskhah sebelumnya tapi bila Qodrat berjumpa semula dengan Azizah, momentum mula perlahan kemudiannya kembali bergerak pantas bila Assuala mengganggu Azizah di penghujung cerita. 


Patutnya babak romantik Azizah dengan Qodrat tu tak perlu ambil masa yang lama sebab chemistry tak strong sangat untuk kita masuk dalam dunia romantik mereka berdua. Babak motorsikal tu pun draggy sebab my concern masa tu perut Qodrat tak dirawat lagi. Bila balik rumah, Azizah cuci rambut Qodrat kemudian potong dekat hujung padahal perut Qodrat tengah berdarah lagi. 

Masa layan filem Qodrat ni filem terberhenti masa babak Azizah Solat Sunat Taubat kemudian ulang semula dari awal. Patutnya hampir 2 jam tiba-tiba jadi 2 jam 40 minit so my judgement for this movie might be a bit bias lah sebab dah penat nak tunggu filem ni habis. Apapun I enjoy layan filem Qodrat 2 sebab dah tahu apa yang berlaku pada Azizah. 


p/s: Filem Qodrat 2 ada hint untuk perjalanan Ustaz Qodrat yang seterusnya menentang Assuala dan musuh yang baru. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.7, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 7.7/10

DIBERI SENTUHAN BOY GROUP, ASTRO BAKAL CETUS FENOMENA DENGAN KEMBALINYA ‘BIG STAGE ALPHA’ | Musim baharu pertama Astro dalam usaha mencari kumpulan penyanyi lelaki tempatan 

Astro kembali dengan ‘Big Stage Alpha’, edisi terbaharu yang memberi nafas segar kepada konsep asal siri realiti popular Big Stage dalam musim terbaharunya. Buat julung kalinya, program ini tampil dengan format all-male spin-off, menampilkan 18 bintang lelaki yang akan bersaing untuk merebut peluang eksklusif menjadi sebahagian daripada “boy group” (kumpulan lelaki) pertama yang bakal debut di bawah naungan Astro, ditentukan melalui gabungan markah juri dan undian peminat. Big Stage Alpha akan mula bersiaran pada 27 April 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan turut distrim melalui Astro GO dan sooka.

Mengorak langkah daripada kejayaan Big Stage, sebuah platform yang telah mencungkil dan melahirkan bintang-bintang berbakat seperti Aisha Retno dan Nadeera Zaini, dua nama yang kini mewarnai persada hiburan tanah air, edisi baharu Big Stage Alpha membuka pentas yang lebih luas untuk para peserta mengasah bakat, menyerlahkan potensi dan menempatkan diri mereka dalam industri muzik yang semakin kompetitif. Pembaharuan ini bukan sahaja menjawab kehendak penonton yang sentiasa dahagakan kandungan yang segar, dinamik dan relevan, malah turut memperkukuh aspirasi Astro dalam melahirkan bintang tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. 

Big Stage Alpha memperkenalkan 18 peserta lelaki yang terpilih daripada proses uji bakat yang dibuka kepada umum buat kali pertama dalam sejarah penerbitan Big Stage. Mereka dinilai berdasarkan bakat vokal yang luar biasa, karisma di pentas serta kebolehan mereka untuk bersinar secara berkumpulan. Peserta-peserta ini yang berusia antara 18 hingga 37 tahun, datang daripada pelbagai latar belakang termasuk Brunei, Singapura dan Indonesia, membawakan kepelbagaian yang memukau dan menarik dalam persaingan ini.

Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, “Mengikuti trend hiburan antarabangsa yang semakin mengangkat format pertandingan idola berasaskan satu jantina, Big Stage Alpha hadir sebagai respons Astro terhadap fenomena ‘idol survival’ yang semakin mendapat tempat di hati peminat. Diinspirasikan daripada aliran program-program realiti terbesar di Asia, program ini menggabungkan pertandingan nyanyian berintensiti tinggi, naratif penuh emosi dan kuasa fandom, sekaligus meraikan bakat tempatan dalam sebuah platform produksi tempatan bertaraf antarabangsa. Kami berharap dapat mencorak transformasi peserta, bukan sahaja melalui usaha mereka sendiri, tetapi juga dengan bimbingan serta sentuhan profesional daripada barisan pakar tempatan dan antarabangsa. Kami percaya inisiatif ini akan membuka ruang baharu dalam industri hiburan dan dengan penuh keterujaan, kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyaksikan perjalanan peserta Big Stage Alpha dalam menawan pentas dunia.”

18 peserta yang akan bersaing dalam Big Stage Alpha adalah Afiq Sky, Alif Azri, Allan Andersn, Ariel Fesol, Ashmirul, Araff, Que, Qarl G, Daniel Sher, Ray-D, Apich Lo, Ridhwan Azman, Awienit, Suff Ahmed, Syafeek Ikhwan, Izat Ibrahim, Rizal Rasid dan Shaqeen

Setiap minggu, mereka akan diuji hingga ke had maksimum melalui persembahan solo dan misi berkumpulan berdasarkan tema yang diberi. Juri akan memberikan markah, namun undian peminat yang akan menentukan siapa yang layak ke peringkat akhir untuk menjadi salah satu fenomena muzik seterusnya di Malaysia.

Rancangan ini akan dihoskan oleh dua personaliti berkarisma, Elly Mazlein dan bintang Indonesia, Rina Nose, yang akan membawa kembali tenaga, gelak tawa dan keunikan humor mereka ke pentas. Manakala, panel juri akan menampilkan barisan artis berpengaruh dan berkaliber termasuk Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini.

Para penonton boleh menyaksikan Big Stage Alpha untuk mengikuti perjalanan para peserta dari ‘zero to hero’ dalam merealisasikan impian mereka  menjadi bintang Malaysia. Saksikan melalui Astro Ria, Astro GO, Astro Gempak dan sooka.

Langgan Pek Astro One dengan hanya RM49.99/sebulan. Strim Senang Hati, Hiburan Tanpa Henti Untuk Seisi Keluarga. Tingkatkan pengalaman penstriman dengan menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan dengan hanya RM139.99/sebulan. Untuk melanggan atau menaik taraf ke Astro One, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838. 

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

INFO PROGRAM & PENJURIAN BIG STAGE ALPHA

Penjurian Big Stage Alpha terbahagi kepada dua bahagian iaitu pemarkahan juri dan undian pihak umum. Para peserta akan diadili oleh panel juri berdasarkan persembahan solo dan kumpulan mereka. Jumlah markah terendah daripada panel juri akan menentukan tiga kedudukan paling bawah pada setiap minggu. Manakala undian daripada pihak umum akan menentukan siapa yang bakal tersingkir. 

Finalis akan membentuk sebuah ‘boy group’ (kumpulan lelaki) yang akan membuat kemunculan dibawah naungan Rocketfuel bersama Astro.

Big Stage Alpha lebih wangi dengan Perfume Paradise yang hadir selaku Penaja Utama, dan juga ZUS Ngupi selaku Kopi Rasmi sepanjang musim ini dijalankan.  

Musim baharu ini turut berkolaborasi bersama Astro Gempak selaku Rakan Digital dan ERA sebagai Rakan Radio Rasmi. 

INFO SIARAN BIG STAGE ALPHA

KONSERT BIG STAGE ALPHA | Mulai 27 April 2025, setiap Ahad, jam 9 malam
Berlangsung selama 8 minggu, konsert utama program ‘Big Stage Alpha’ akan bersiaran di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam. Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan sooka.  

BUZZ BIG STAGE ALPHA | Mulai 27 April 2025, setiap Ahad, selepas Konsert Utama
Menampilkan kandungan eksklusif post-live show bersama barisan panel juri yang akan berdiskusi dan menyuarakan pendapat mereka mengenai penyingkiran para peserta pada setiap minggu selama 30 minit sejurus selepas konsert utama.

DIARI BIG STAGE ALPHA | Mulai 21 April 2025, setiap Isnin – Jumaat, jam 11.08 malam 
Kompilasi sorotan persediaan para peserta menjelang konsert mingguan serta klip-klip sedutan belakang tabir termasuk latihan vokal, susunan lagu dan koreografi tarian bersama mentor-mentor yang terlibat. 

PENAJA UTAMA: PERFUME PARADISE

Mengenai Perfume Paradise
Perfume Paradise berbesar hati menjadi penaja utama untuk Big Stage Alpha 2025 di Astro Ria, sekaligus mengukuhkan lagi jenama ini sebagai pilihan utama rakyat Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 2008, Perfume Paradise dikenali sebagai jenama tempatan yang menawarkan wangian berkualiti tinggi setanding jenama antarabangsa, tetapi dengan harga yang mampu milik.

Pada tahun 2024, Perfume Paradise mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai jenama minyak wangi tempatan pertama yang menerima anugerah Superbrands Malaysia — satu pencapaian yang membuktikan komitmen jenama ini terhadap kualiti, inovasi dan kepercayaan pengguna. Dikenali dengan tagline ikonik "Spray Sekali, Wangi 3 Hari," wangian Perfume Paradise sememangnya tahan lama dan sesuai dengan citarasa pengguna masa kini.

Perfume Paradise bukanlah nama asing dalam dunia kandungan/konten/program Astro. Jenama ini merupakan penaja utama program Kongsi Kasih Musim ke-4, Borak SeeNI, serta siri popular Sepahtu seperti Sepahtu Reunion, Sepahtu Al Puasa, Sepahtu Kecoh Beraya dan juga Sepahtu Reunion Live Tour yang akan datang. Di platform radio, Perfume Paradise turut hadir sebagai penaja utama untuk dua segmen di Gegar dan satu segment hujung minggu di ERA, menjadikan jenama ini semakin dekat dengan pendengar di seluruh negara.

Melalui gabungan kempen tradisional dan digital, serta kerjasama dengan selebriti, influencer dan aktiviti "on ground" , Perfume Paradise terus mendekatkan jenama dengan rakyat. Misi Perfume Paradise mudah — untuk buat semua orang rasa lebih yakin dan menawan dengan hanya satu semburan. Dengan sokongan rakyat Malaysia, Perfume Paradise terus berkembang sebagai kebanggaan tempatan yang kini bersaing di pentas serantau dan antarabangsa.

ASTRO SHAW MEMPERSEMBAHKAN KOLEKSI PREMIUM ‘KELUANG MAN’ DIHASILKAN OLEH ROYAL SELANGOR | Tempahan Eksklusif Bermula Mei Ini!

Astro Shaw mempersembahkan sebuah inisiatif istimewa bersama jenama piuter tempatan, Royal Selangor, untuk menghasilkan koleksi eksklusif yang diinspirasikan daripada filem superhero ikonik Malaysia, Keluang Man.

Koleksi ini menampilkan figurine dan pin edisi terhad yang direka dan dihasilkan oleh tukang piuter mahir Royal Selangor. Usaha ini menandakan kerjasama sulung antara dua jenama ternama - Astro Shaw sebagai peneraju industri perfileman tanah air, dan Royal Selangor, jenama piuter bertaraf antarabangsa yang tersohor dengan mutu seni krafnya.

Koleksi istimewa ini menampilkan Keluang Man dalam bentuk pin eksklusif dan figurine miniatur, direka dengan penuh teliti oleh tukang mahir Royal Selangor, dan diperbuat daripada piuter berkualiti tinggi yang menjadi identiti jenama itu. 

Diinspirasikan daripada siri animasi yang digemari ramai, figurin ini dirakam dalam gerakan dengan gaya ‘bersilat’ ikoniknya. Dihasilkan daripada piuter dengan kemasan satin, edisi terhad ini hanya dikeluarkan sebanyak 30 unit sahaja, setiap satu dengan nombor individu. Tapak figurin ini turut menyediakan ruang untuk ukiran peribadi.

Manakala pin lapel piuter Keluang Man menampilkan lambang ikoniknya, sebagai penghormatan berani kepada wira rakyat Malaysia yang membanteras jenayah di bawah lindungan malam. Tersedia dalam kemasan satin, dengan edisi terhad hanya 100 unit dalam kemasan bersalut emas 24K.

Koleksi ini akan mula dijual secara rasmi di kedai outlet Royal Selangor terpilih bermula bulan Mei hadapan. 

“Kolaborasi ini mencerminkan strategi kami untuk memperluaskan nilai IP (harta intelek) filem tempatan dan seterusnya memperkukuhkan jenama Keluang Man melalui kerjasama dengan jenama premium seperti Royal Selangor. Ia bukan sekadar koleksi, tetapi satu usaha memperkukuh ekosistem industri kreatif dan mengangkay lagi warisan seni Malaysia, di samping membuka peluang untuk menjangkau sasaran baharu,” kata Penerbit Eksekutif dan merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad.

Filem Keluang Man yang diarahkan Anwari Ashraf menampilkan bariskan pelakon antaranya Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ramai lagi. 

Sementara menantikan tayangan filem Keluang Man di pawagam, peminat setia serta penonton generasi baru boleh menonton siri animasi popular ini di www.keluangman.com bermula dari musim pertama sehingga musim ketiga. 

Saksikan filem Keluang Man yang akan menemui penonton di pawagam bermula 29 Mei 2025. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Keluang Man di TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak. Gunakan #KeluangMan #KeluangManMovie bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini.  

BLOOD BROTHERS RAIH RM29.9 JUTA DALAM TEMPOH 7 HARI TAYANGAN + TAYANGAN AWAL!

Thursday, 17 April 2025

Filem aksi arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, Blood Brothers: Bara Naga mengutip kutipan pembukaan tertinggi tahun ini, RM29.9 Juta dalam 7 hari tayangan & tayangan awal.

Dengan jalan cerita yang penuh mendebarkan serta lakonan mantap barisan pelakonnya, filem ini berjaya menambat hati penonton dan kini muncul sebagai antara filem tempatan paling menonjol tahun ini.

Selepas menjelajah Johor, Melaka dan Lembah Klang, Jelajah Bara Naga kini bersedia untuk bertemu para peminat di Sabah hujung minggu ini. Siri jelajah ini dilihat terus menyemarakkan lagi keterujaan peminat, dengan sambutan yang cukup meriah di setiap lokasi.

UTAMAKAN FILEM MALAYSIA! 

Terima kasih atas sokongan luar biasa anda semua. Teruskan sapot filem lokal serta rasai sendiri bara dan adrenalin di pawagam!

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Blood Brothers: Bara Naga, ikuti kami di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube Primeworks Studios.

#BloodBrothers #BaraNaga #SapotLokal #SapotBloodBrothers

GABUNGAN THRILLER, SERAM, AKSI DAN ELEMEN SUPERHERO,‘QODRAT 2’ TONJOLKAN PERTARUNGAN LEBIH DAHSYAT | ‘Filem Seram Terbaik Indonesia Tahun Ini Bersedia Menghantui Penonton Malaysia Bermula 17 April 2025’

Selepas melakar kejayaan di Indonesia, kini perjuangan Qodrat 2 bakal disaksikan oleh penonton Malaysia di pawagam seluruh negara bermula 17 April ini menerusi kerjasama dengan Astro Shaw.

Filem Qodrat 2 menjadi filem seram yang cukup besar di Indonesia kerana melibatkan beberapa produksi berpengaruh dalam proses pembikinannya seperti MAGMA Entertainment, Rapi Films, Legacy Pictures, Astro Shaw, Ideosource Entertainment, Virtuelines Entertainment, Caravan Studio, dan Beacon Films. 

Filem box office Indonesia ini berjaya menerima 72,377 penonton pada hari pertama pembukaan tayangan iaitu hari Lebaran 31 Mac lalu menerusi lebih 400 pawagam. Sehingga kini Qodrat 2  menerima melebihi 2 juta penonton. 

Filem ini mempersembahkan hasil produksi dan skala penceritaan lebih besar dengan menggabungkan elemen aksi, thriller, seram, superhero dengan tema keagamaan. Ini sekali gus membezakan Qodrat 2 dengan filem klise seram Indonesia yang lain.  

Tanpa babak ‘jumpscare’ yang berlebihan, Qodrat 2 akan membuatkan penonton terpesona dengan koreografi adegan pertarungan, penggunaan kesan khas yang menjadikan iblis Asu’ala nampak begitu menyeramkan, serta emosi yang menyentuh perasaan di antara ustaz Qodrat lakonan hebat Vino G. Bastian dan watak baru dalam sekuel ini iaitu Azizah lakonan mantap Acha Septriasa. 

Filem Qodrat pertama memberi tumpuan kepada kesedihan Qodrat, serta imannya yang goyah selepas gagal menyelamatkan anaknya. Manakala Qodrat 2, dibuka dengan perspektif berbeza, di mana kali ini penonton dibawa menyaksikan kisah dari sudut pandang isteri Qodrat iaitu Azizah, pada detik yang sama ketika Qodrat sedang berusaha menyelamatkan anak mereka.  

Qodrat mencari Azizah yang mengalami depresi selepas isterinya itu menyerahkan keimanannya kepada syaitan Asu’ala demi menyelamatkan anak mereka. Apabila Azizah keluar dari rumah sakit jiwa dan mula bekerja di sebuah kilang fabrik misteri, Qodrat tekad ingin menyelamatkan Azizah meskipun berdepan dengan perangkap iblis. 

Qodrat 2 turut menandakan kemunculan semula Acha Septriasa selepas lama tidak tampil di layar perak. Lebih mengujakan, filem ini juga menemukan semula Acha dan Vino selepas 17 tahun berganding dalam sebuah naskhah romantik drama. Antara pelakon lain yang menjayakan filem arahan Charles Gozali ini ialah Donny Alamsyah, Della Dartyan, Hanna Saraswati, Septian Dwi Cahyo dan ramai lagi. 

Penerbit Eksekutif Qodrat 2 merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Filem Qodrat 2 membawa aras baharu dalam penghasilan filem seram, di mana penceritaan yang dipersembahkan tidak bergantung semata-mata pada elemen seram dan kejutan, tetapi diseimbangkan dengan adegan aksi ala superhero, emosi dan unsur agama, seterusnya memberi ruang kepada watak dan tema filem untuk diketengahkan. Formula ini telah diterima baik oleh penggemar filem di Indonesia, dan ia dibuktikan dengan pencapaian jumlah box office di sana. Kami mengharapkan reaksi positif itu turut memberi keterujaan serta pengalaman berbeza buat penonton di Malaysia. 

Dalam pada itu, kami berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi dengan MAGMA Entertainment dalam meneruskan legasi Qodrat. Ini juga mencerminkan komitmen Astro Shaw sebagai rakan strategik dalam memperkukuh kolaborasi rentas negara dan menyokong penghasilan kandungan serantau yang berkualiti tinggi. Usaha ini juga selari dengan misi Astro Shaw untuk terus meneroka peluang kerjasama dan memperluas pilihan kandungan yang relevan serta menghiburkan kepada penonton Malaysia.”

Menurut Penerbit Filem Qodrat 2, Linda Gozali Arya berkata, “Qodrat 2 bukan hanya lanjutan dari filem seram yang mempunyai unsur agama paling berjaya di Indonesia, tetapi juga memberi penonton sebuah pengalaman spiritual dan sinematik yang lebih dalam dan besar. Kami rasa bangga dapat mempersembahkan karya ini kepada penonton Malaysia, yang kami percaya mempunyai budaya dan semangat yang sama.  Kami harap penonton di Malaysia dapat merasakan kekuatan cerita dan energi luar biasa daripada filem ini.”

Terdahulu, Qodrat pertama berjaya mencatat kejayaan luar biasa dengan menerima lebih 1.7 juta penonton di Indonesia dan kutipan box office mencecah IDR60 bilion (USD 5.3 juta). Lebih membanggakan, Qodrat turut berjaya merasuk di pawagam-pawagam negara luar seperti Malaysia, Singapura, Kemboja, Myanmar, dan Vietnam. Tayangan filem ini di Malaysia yang dipasarkan oleh Astro Shaw, turut meraih kutipan RM6 juta.  

Saksikan filem Qodrat 2 di pawagam bermula 17 April ini. Gunakan #Qodrat #FilmQodrat2 #Qodrat2MY di media sosial untuk berkongsikan pendapat tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta info menarik tentang Qodrat 2 di platform digital Astro Shaw.

“Mereka dah lama rancang..kita yang lalai” | BILA 6 JILAKE BERSATU…REDAKAN DEGUPAN JANTUNG ANDA DENGAN FILEM KOMEDI RAKYAT DI PAWAGAM MALAYSIA MULAI 24 APRIL INI!

Sebuah karya hebat hasil sentuhan ikon filem Malaysia, Aziz M. Osman, mula menggegarkan pawagam seluruh Malaysia mulai 24 April 2025. Filem terbaharu berjudul 6 Jilake ini menggabungkan elemen aksi, pengembaraan dan komedi dalam satu sajian sinematik yang penuh dengan identiti budaya tempatan dan kisah sejarah yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar abad ke-18.

Eartistic Entertainment di bawah pimpinan Dr. Shasa Aziz selaku penerbit dengan kerjasama Primeworks Studio selaku pengedar dan rakan pemasaran mempersembahkan barisan pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Saiful Apek, Bel Ngasri, Asmidar, Kazar Saizi, Kamarool Hj Yusof, Jalil Hamid, Wan Raja, Mamak Puteh, Wan Gegau dan ramai lagi, yang akan memukau penonton dengan persembahan komedi dan lakonan yang penuh dengan aksi dan jenaka.

6 Jilake mengisahkan sekumpulan samseng yang diupah oleh syarikat Hindia Timur Belanda untuk memonopoli bijih timah di Perak pada abad ke-18. Mereka ditugaskan menguasai lombong, namun gagal menakluk sebuah kampung yang dipertahankan oleh seorang pendekar handalan. Kampung tersebut, kaya dengan khazanah berharga, menjadi sasaran utama mereka, mencetuskan pertembungan sengit. Berlatarbelakangkan zaman penjajahan Belanda, filem ini menampilkan aksi mendebarkan antara penjajah dan pejuang tempatan dalam usaha merealisasikan impian mereka.

Menariknya, setiap watak dalam kumpulan 6 Jilake mempunyai gaya bertarung tersendiri, dengan senjata yang diinspirasikan daripada budaya tempatan seperti Kayu Selengan Kembar, Tekpi, dan Nanchaku Tahi Besi 1000 Tahun. Aksi lawan yang penuh dengan gaya silat dan senjata Melayu menambah elemen kepelbagaian dalam setiap pertarungan. Nama-nama ahli kumpulan mereka pula sangat unik kerana menampilkan warisan kuih tempatan seperti Pulut Panggang, Kole Kacang, Badak Berendam, Tatnanas, Bingka Ubi, dan Nagasari, yang memberikan filem ini sentuhan budaya yang mendalam dan menarik.

Jangan tunggu lagi! Segera ke pawagam berhampiran anda dan saksikan filem 6 Jilake yang akan mula menemui penonton pada 24 April 2025 di pawagam terpilih seluruh Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman epik zaman dahulu yang penuh dengan aksi dan budaya! Jika anda ingin mengimbau kenangan menyaksikan filem-filem humor penuh identiti, inilah masanya kerana 6 Jilake bakal menghidupkan semula semangat dan jiwa filem tempatan yang asli dan menghiburkan.


Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif 6 Jilake, ikuti kami di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube Primeworks Studios.

***********************************

MENGENAI PRIMEWORKS STUDIOS 
Primeworks Studios - Peneraju Legasi Landskap Hiburan Di Mata Dunia
Primeworks Studios merupakan sebuah syarikat terkemuka di Asia Tenggara yang memiliki asas kukuh dalam pembangunan kandungan, pengeluaran filem, pengedaran filem, jualan kandungan, dan animasi. Selama lebih dari tiga dekad, Primeworks Studios telah menjadi peneraju yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap hiburan di Malaysia.Dengan menerapkan nilai dan teras yang utuh, Primeworks Studios terus unggul dalam  menghasilkan kandungan yang menarik dan berkualiti buat penonton di seluruh dunia disamping  mengekalkan legasi hiburan untuk menghiburkan penonton sejajar dengan keadaan masa kini dan masa akan datang.

BIZone, sebuah pek ringkas untuk outlet makanan dan minuman (F&B) oleh Astro adalah satu inisiatif dalam menggalakkan pertumbuhan outlet F&B dalam Industri Kecil Sederhana (IKS). BIZone telah melancarkan bantuan pemasaran yang direka khas bernilai RM3 juta untuk membantu industri F&B dan outlet komersial tingkatkan lagi hasil dan jumlah pelanggan melalui pemasaran bersasar dan promosi ganjaran.

Sejak dilancarkan pada tahun 2024, BIZone telah mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan, menunjukkan peningkatan tahunan sebayak 34% dalam jumlah pelanggan, melangkaui jangkaan pertumbuhan 5% setahun. Dengan potensi pasaran sebanyak 14,000 unit, BIZone semakin meraih perhatian. Pertumbuhan dalam pemerolehan pelanggan ini meningkatkan nilai BIZone sebagai solusi untuk perniagaan F&B dan komersil di seluruh Malaysia.

Tan Sian Tuang, Ketua Bahagian Segmen Korporat dan Perkhidmatan Jalur Lebar, Astro berkata, “BIZone telah mencapai pertumbuhan mendadak untuk menjadi salah satu tawaran perniagaan efektif dari Astro – dengan ribuan F&B di serata Malaysia sudahpun meraih mafaat darinya. Walaubagaimanapun, kami akui bahawa wujud cabaran dalam outlet F&B untuk mencapai sasaran mereka dan memacu pertumbuhan perniagaan. Oleh itu, kempen sokongan pemasaran ini direka bagi memberi mereka peralatan dan sumber yang mereka perlukan untuk mempromosikan tawaran, meningkatkan keterlihatan, dan semestinya meningkatkan lagi jumlah pelanggan.”

“Apa yang membezakan sokongan pemasaran bernilai RM3 juta ini adalah bagaimana kandungan Astro apabila digabungkan dengan platform pemasaran, membuka potensi baharu dalam menarik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pelanggan F&B. Kempen ini membolehkan para pelanggan BIZone mendapat akses kepada platformpromosi impak tinggi yang kebiasaannya berada di luar jangkauan IKS. Samada siaran televisyen, ulasan influencer ataupun promosi dari selebriti, BIZone memberi perniagaan peralatan yang terbaik untuk menarik lebih remai pelanggan ke outlet F&B mereka. Kempen ini selari dengan matlamat Astro untuk menjadi rakan kandungan dan capaian nombor satu F&B, di mana ia bukan sekadar memberi hiburan tetapi juga impak positif dalam pertumbuhan pelanggan dan perniagaan,” tambah Sian Tuang.

Kempen BIZone Rewards: RM3 Juta Untuk Gandakan Potensi Perniagaan Anda

Astro memperkukuhkan lagi kedudukannya pada tahun 2025 dengan pelancaran kempen BIZone Rewards– satu inisiatif yang direka khas untuk menjadikan outlet F&B lebih menarik dan meningkatkan jumlah pelanggan, imej dan juga nilai jenama mereka. Kempen ini terbuka kepada semua outlet F&B dan komersial yang mendaftar, memperbaharui atau menaik taraf pek BIZone TV mereka sepanjang tempoh kempen berlangsung iaitu 7 April – 17 Oktober 2025.

Sebanyak 200 outlet F&B akan dipilih sebagai pemenang untuk menerima sebahagian dari dana bantuan pemasaran bernilai RM3 Juta; dengan pemilihan pemenang dilakukan setiap bulan menerusi cabutan oleh wakil Astro.

Sebanyak 200 outlet F&B akan dipilih sebagai pemenang untuk menerima sebahagian dari dana bantuan pemasaran bernilai RM3 Juta; dengan pemilihan pemenang dilakukan setiap bulan menerusi cabutan oleh wakil Astro.

Outlet yang terpilih bakal berpeluang untuk mendapat bantuan pemasaran seperti berikut:
  • Pesta Menonton: Siaran langsung tayangan sukan yang dibiaya sepenuhnya untuk pelanggan, direka untuk menarik orang ramai dan menjadikan malam perlawanan sebuah acara utama.
  • Sesi Ramah Mesra: Penampilan selebriti atau influencer terkenal sejurus meningkatkan perbualan, kehadiran pelanggan dan pengalaman yang berharga buat para pelanggan.
  • Promosi Makanan: Konten eksklusif yang dihasilkan oleh influencer makanan terkenal atau personaliti laman social sejurus meningkatkan imej kedai dalam kalangan ribuan pencinta makanan.
  • Iklan Astro Radio:  Outlet pilihan pelanggan akan dibawakan ke udara oleh stesen radio Astro menyasarkan jutaan pendengar dan membina kepercayaan kepada setiap segmen pendengar.
  • Iklan Ruang TV: Outlet pilihan pelanggan akan mendapat liputan khas di Buletin Awani atau Borak SeeNi, meningkatkan lagi jumlah tontonan kepada segenap lapisan masyarakat.

Anjakan Minima, Hasil Luar Biasa

Kempen ganjaran ini akan memberi lebih dari perhatian – ia memberikan keperluan pemasaran untuk menarik orang ramai, meningkatkan pemulangan pelanggan, dan memacu pertumbuhan perniagaan. Dengan RM3 juta bantuan pemasaran dan hanya sedikit anjakan, BIZone membantu pertubuhan komersial untuk membuka potensi penuh mereka menerusi kuasa hiburan pintar.

“Menerusi kempen ini, kami ingin setiap outlet F&B menggunakan kuasa pemasaran strategik untuk mencapai objektif perniagaan mereka. BIZone bukan sekadar hiburan – ia adalah penggandaan perniagaan yang berkuasa yang mampu memberi nilai sebenar dengan setiap kehadiran pelanggan, meningkatkan penglibatan pelanggan, dan meningkatkan nilai jenama. Kami percaya bahawa sokongan ini akan membantu perniagaan untuk terus berkembang memacu ekonomi Malaysia,” tambah Sian Tuang.

BIZone menyediakan rangkaian penuh liputan siaran langsung sukan dan kandungan hiburan, termasuk acara sukan terbesar seperti Premier League, Kejohanan BWF, Liga Malaysia, Liga Sepak Takraw, Formula 1, MotoGP, NBA, Kriket dan Tenis, serta 25 lagi saluran selain sukan. Ia juga menawarkan harga langganan yang berpatutan sesuai dengan keperluan perniagaan dan juga kapasiti pelanggan. Sebagai pelanggan BIZone, semua outlet F&B akan mendapat kit permulaan, barangan pemasaran dan juga alatan berjenama yang direka untuk melonjakkan lagi keterlihatan jenama mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai terma dan syarat kempen ini, layari https://biz.astro.com.my/bizone-rewards, WhatsApp AstroBIZ di +603 9544 7566 atau emel astrobusinesssupport@astro.com.my. Kempen berakhir pada 17 Oktober 2025.

KOLABORASI HEBAT AYU DAMIT DAN EMEER BAKRI DALAM ‘CUKUP KITA’  | Runut Bunyi Drama Calon Isteri Buat Suami Di TV3

Bila cinta tak lagi cukup untuk mempertahankan segalanya, maka lepaskanlah walau hati masih berharap. Inilah denyut emosi yang diangkat menerusi lagu Cukup Kita, nyanyian duet Ayu Damit dan Emeer Bakri, yang kini menjadi runut bunyi (OST) untuk drama terbaharu slot Akasia TV3, Calon Isteri Buat Suami. 

Menyentuh tentang setia yang dikhianati dan janji yang tidak ditepati, lagu ini mengalir sebagai suara hati mereka yang pernah terluka dalam cinta. Dengan gabungan balada moden, string sinematik dan harmoni vokal yang mendalam, Cukup Kita hadir bukan sekadar sebagai OST, tetapi sebagai luahan rasa yang mencerminkan retaknya sebuah hubungan.

Menurut pencipta lagu dan penulis lirik, Amsyar Sabri dan Emeer Bakri,  idea asal hadir sewaktu mereka sedang mendengar lagu-lagu Inggeris yang berunsur pop balada moden. Mereka sedar genre sebegitu sudah lama tidak diketengahkan di Malaysia, lantas terinspirasi untuk mencuba pendekatan serupa, dengan sentuhan yang dekat di hati pendengar tempatan.

“Keunikan lagu ini terletak pada genre yang jarang diterbitkan di Malaysia, dengan sentuhan rock yang dimasukkan pada bahagian bridge dan selebihnya. Proses penciptaan melodi dan demo hanya mengambil masa sehari, sementara keseluruhan lagu siap dalam tempoh dua minggu. Namun, yang paling bermakna bagi saya adalah dapat berkolaborasi bersama Kak Ayu, seorang legenda dengan vokal yang begitu dikenali dan berkuasa,” jelas Emeer Bakri.


Ayu Damit, yang kini tampil dengan single keempat bersama Alternate Records, menyifatkan Cukup Kita sebagai sebuah karya yang istimewa hasil kolaborasi yang cukup serasi. “Emeer seorang yang sangat kreatif dan senang bekerjasama, proses rakaman pun berjalan lancar. Cukup Kita menyatukan kekuatan vokal kami dalam sebuah lagu yang mudah diingati, penuh emosi dan sarat mesej,” ujar beliau yang mengambil masa dua sesi untuk melengkapkan rakaman.

Drama Calon Isteri Buat Suami baru sahaja mula bersiaran pada 8 April lalu, namun sudah pun mencuri perhatian ramai dengan kisah penuh konflik dan emosi. Menariknya, beberapa elemen dalam lirik lagu Cukup Kita turut diinspirasikan daripada jalan cerita drama ini. Bagi yang mengikuti kisah Nazim dan Haizi, lagu ini pasti memberikan resonansi yang lebih mendalam kerana ia menggambarkan dilema serta cabaran yang mereka hadapi dalam perjalanan cinta dan hubungan yang penuh dugaan.

Teruskan strim Cukup Kita di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube, dan banyak lagi. Saksikan juga drama Calon Isteri Buat Suami yang menampilkan gandingan barisan pelakon hebat seperti Siti Hariesa, Jazmy Juma, dan Trisha Ooi, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3.

Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

************************************

Mengenai Alternate Records & Talents

Alternate Records & Talents merupakan sebuah agensi mencungkil bakat muzik dan lakonan bakat yang mantap dan serba boleh. Ditubuhkan pada tahun 2006, Alternate Records and Talents (dahulunya dikenali sebagai Monkeybone) telah meningkatkan industri hiburan dan artis berasaskan muzik di Malaysia dengan mempamerkan portfolio luar biasa dengan bakat bakat  memenangi anugerah, muzik yang menduduki carta teratas, Pemilikan IP dan banyak pengedaran. Artis mereka berjaya secara komersial telah menjadi trend di YouTube, Twitter dan Tiktok dan sebagainya. 

Astro Meriahkan Perlawanan Akhir Piala Malaysia Dengan Persembahan Barisan Artis Ternama

Tuesday, 15 April 2025

Astro, selaku peneraju kandungan dan hiburan di Malaysia menyemarakkan lagi perlawanan akhir Piala Malaysia di antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT FC) dan juga pasukan Sri Pahang FC dengan membawakan khas kepada para penyokong persembahan nyanyian oleh barisan artis ternama pada pentas perlawanan akhir Piala Malaysia. Ini adalah tahun kedua pihak Astro membawakan hiburan secara langsung buat peminat bola sepak tempatan dan memberikan kepelbagaian dalam industri hiburan dan juga bola sepak di Malaysia.

Bagi memeriahkan lagi suasana di stadium, Astro membawakan persembahan-persembahan hebat dengan menampilkan penyanyi ternama sebelum acara bermula dan juga semasa separuh masa. Persembahan nyanyian ini bakal disaksikan oleh 80 ribu penonton secara langsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan juga menerusi siaran langsung di Astro Arena dan Astro Arena Bola (saluran 801, 802 dan 803). Acara pra-persembahan akan dimulakan dengan persembahan nyanyian oleh Hael Husaini, dan Nadeera Zaini disusuli oleh persembahan pembukaan sebelum sepak mula oleh Dato’ M. Nasir dan persembahan separuh masa oleh Ella.

Astro Arena juga turut membangkitkan lagi kemeriahan kejohanan dengan membawakan kandungan seperti “Pesta Penyokong” khas dari Stadium Nasional Bukit Jalil, membawakan perkembangan terkini secara langsung para penyokong. Semasa perlawanan pula, Astro Arena 2 akan memaparkan”Player Cam” dimana para peminat boleh melihat pemain pasukan kegemaran mereka. 

Nicholas John, Ketua Bahagian Sukan, Astro, berkata, “Kami teruja untuk berkongsi dengan anda semua keterujaan di pentas akhir Piala Malaysia. Selain dari membawakan secara langsung aksi-aksi mendebarkan di atas padang, kami juga ingin merancakkan lagi kemeriahan perlawanan dengan menyediakan hiburan terbaik kepada para penyokong. Menjadi destinasi tontonan sukan pilihan Malaysia, semestinya kami akan terus memberikan liputan sukan terkini dan hiburan terbaik kepada para penyokong, ini membantu mereka merancakkan suasana sekaligus menaikkan semangat kejohanan untuk kedua pasukan. Bola sepak dan juga hiburan tidak boleh dipisahkan, ia akan jadi lebih menyeronokkan apabila keduanya digabungkan dalam satu acara sebagai satu sambutan.”

Selain dari persembahan nyanyian, Astro juga membawakan beberapa aktiviti menarik di perkarangan stadium sebelum perlawanan bermula. Para penyokong boleh ke booth bergerak Astro dan beramah mesra dengan penyampai radio Sinar, Ray dan juga penyampai radio Gegar, Shah, menyaksikan persembahan nyanyian oleh Dinda Dania, dan juga mendapatkan info terkini mengenai produk-produk terbaru Astro. Para penonton juga bakal dihiburkan oleh Ray, Shah dan juga Dina Nadzir bermula jam 7.30 petang. 

Selaku hab sukan pilihan masyarakat Malaysia, Astro juga membawakan kejohanan sukan tempatan yang lain seperti Sepak Takraw League (STL) setelah berakhirnya kempen Piala Malaysia, dan kejohanan sukan antarabangsa seperti Kejohanan Badminton, saingan perlumbaan Formula One (F1), saingan perlumbaan MotoGP, pertarungan UFC, dan juga 5 perlawanan kempen Kelayakan AFC Asian Cup 2027 di Arena, membawakan perlawanan pasukan Harimau Malaya menantang Vietnam pada 10 Jun 2025 ini. Juga Astro selaku penyiar rasmi bagi Premier League bakal membawakan kembali siaran musim baharu kesemua perlawanan bermula Ogos 2025.

Langgan Pek Astro One Sports dengan hanya RM99.99/sebulan. Strim Senang Hati, Hiburan Tanpa Henti Untuk Seisi Keluarga. Tingkatkan pengalaman penstriman dengan menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Sukan dengan hanya RM189.99/sebulan. Untuk melanggan atau menaik taraf ke Astro One, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03 9543 3838.

Lagu rock balada epik berjudul “Bara Jiwa”, hasil gandingan mantap antara Azlan Typewriter dan Muzza VELVETTONES, telah diumumkan secara rasmi sebagai lagu tema bagi filem aksi debaran Blood Brothers: Bara Naga, arahan duo pengarah hebat Abhilash Chandra dan Syafiq Yusof. 

Dibintangi oleh barisan pelakon terkemuka tanah air seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson dan ramai lagi, filem ini menyorot kisah dunia pengawal peribadi elit yang penuh dengan pengkhianatan, pertempuran dan ikatan persaudaraan yang diuji. Lagu “Bara Jiwa” menghidupkan semangat naratif ini melalui lirik puitis dan melodi dramatik yang selari dengan perjalanan emosi serta aksi dalam filem. 

Blood Brothers: Bara Naga mengisahkan Ariff (lakonan Syafiq Kyle), seorang pengawal peribadi yang difitnah dan terpaksa mencari semula abangnya yang telah lama menghilang, Jaki (Syazwan Zulkifly), demi membuktikan kebenaran. Dihambat pula oleh bekas sahabat karibnya sendiri, Ghaz (Sharnaaz Ahmad) – ketua pasukan “Blood Brothers” – Ariff terjerat dalam konflik dalaman, pengkhianatan dan perjuangan yang menggoncang jiwa. Seiring dengan naratif ini, “Bara Jiwa” muncul sebagai suara batin watak-watak utama – membara dengan maruah, semangat dan dendam. Kor lagu seperti “Bara... Jiwa... Menyala...” menjadi gema yang mewakili jiwa mereka yang enggan tunduk walau dihimpit ujian.

Bagi Azlan Typewriter, projek “Bara Jiwa” merupakan salah satu kolaborasi yang paling menarik pernah dijayakannya. Menurut beliau, sudah sekian lama beliau tidak berduet dengan penyanyi lelaki, dan pengalaman bekerjasama dengan Muzza disifatkan sebagai sesuatu yang segar dan penuh karisma. Muzza, katanya, tahu dengan jelas apa yang dimahukan dalam sesebuah karya, menjadikan kerjasama ini berjalan sangat lancar. 

Proses rakaman lagu ini juga sangat pantas – hanya mengambil masa sekitar satu jam. Ini kerana kedua-dua penyanyi telah menerima demo awal dan membuat persediaan yang cukup rapi. Setiap daripada mereka tahu bahagian masing-masing, sekali gus mempercepatkan keseluruhan proses rakaman. Azlan turut memuji kualiti produksi lagu ini yang dianggap berada pada tahap tertinggi, hasil kerja ramai individu berbakat di sebaliknya. 

Azlan menyuarakan harapannya agar “Bara Jiwa” bukan sahaja diterima baik oleh pendengar, malah mampu membawa genre rock ke satu tahap yang lebih tinggi. Beliau juga terbuka untuk bekerjasama lagi dengan Muzza pada masa hadapan, sekiranya ada rezeki dan peluang lain yang sesuai. 

Sementara itu, Muzza VELVETTONES – seorang komposer, penyanyi dan gitaris yang dikenali dengan sentuhan emosional dalam setiap karya – menganggap “Bara Jiwa” sebagai karya istimewa yang dicipta sepenuhnya berdasarkan jalan cerita dan emosi utama dalam filem Blood Brothers: Bara Naga. Muzza mengangkat tema pengorbanan, perjuangan, persaudaraan dan konflik dalaman sebagai inspirasi utama dalam pembikinan lagu ini, dengan harapan dapat menterjemah jiwa watak-watak filem ke dalam bentuk muzik yang mendalam. 

Beliau turut memuji Azlan atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang proses rakaman. Azlan bukan sahaja memahami intipati lagu ini, tetapi berjaya menyampaikannya dengan penuh emosi sehingga memberi nyawa kepada karya tersebut. 

Dari segi muzik, Muzza memilih pendekatan rock balada dengan elemen sinematik untuk menyesuaikan mood dan intensiti filem. Proses pembikinan mengambil masa kira-kira dua bulan, merangkumi penulisan lirik, susunan muzik, rakaman vokal, serta proses mixing dan mastering yang teliti. 

Muzza berharap “Bara Jiwa” mampu memberikan impak emosi yang mendalam kepada penonton dan pendengar, dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi antara industri muzik dan perfileman tempatan pada masa akan datang.

Sejak dilancarkan, “Bara Jiwa” telah mencipta fenomena di platform TikTok dengan lebih 2.4 juta tontonan, membuktikan sambutan hangat dari peminat yang berkongsi momen- momen dramatik dan inspirasi bersama lagu ini. KINI BOLEH DISTRIM DI SEMUA PLATFORM : “Bara Jiwa” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama. 

Lirik video rasmi yang menampilkan babak-babak eksklusif dari filem Blood Brothers: Bara Naga telah dilancarkan pada 14 Mac 2025.


LIRIK LAGU BARA JIWA

Artis: Muza & Azlan Typewriter
Komposer: Muzza
Lirik : Muzza & Nana
Produced : Muzza & Johan John
Ost Filem: Blood Brothers

MUZZA
Bermula sebuah, Kisah Bara Naga,
Di dunia gelap gelora,
Semangat diuji, jiwa ditakluki,
Kini dendam membara…

LAN
Di dalam perjalanan, di setiap persimpangan,
Harungi dengan penuh dugaan,
Semua dilalui, bersama ditempuhi,
Semangatkan satu jiwa…

[Chorus]
MUZZA
Bara,
Membara di jiwa,
Bukti ikrar sejati,
Demi satu kuasa…
LAN
Ikatan abadi,
Setia hingga ke mati, 
Ku teguh berdiri…

CHOIR
Bara…
Jiwa….
Bara….
Menyala…
Bara…
Jiwa…
Aaaaa…
 
Guitar Solo
 
MUZZA
Bara,
Membara di jiwa,
Bukti ikrar sejati,
Demi satu kuasa…
Ikatan abadi,
Setia hingga ke mati,
Ku teguh berdiri…

LAN 
Bara,
Membara di jiwa, 
Bukti ikrar sejati,
Demi satu kuasa… 
Ikatan abadi, 
Setia hingga ke mati,
Ku teguh berdiri… 

MUZZA
Bara…
Jiwa…
Menyala…

LAN
Bara…
Naga…
Membara…
 
MUZZA
Naga…
Bara…
Membara…

LAN
Bara…
Jiwa…
Ahhhhh…

MUZZA
Menyala…


TENTANG SONY MUSIC ENTERTAINMENT
Di Sony Music Entertainment, kami menghormati perjalanan seni. Para pencipta kami membentuk perubahan, budaya, komuniti dan sejarah. Kami telah memainkan peranan penting dalam sejarah muzik. Perjalanan kami bermula dari menubuhkan syarikat rakaman muzik pertama sehingga mencipta rakaman cakera padat. Kami telah membimbing ramai artis ikonik dalam dunia seni muzik dan menerbit beberapa buah rakaman yang berpengaruh sepanjang zaman. Sony Music Entertainment kini mempunyai lebih dari 100 cawangan syarikat di seluruh dunia untuk menyokong pelbagai pencipta yang berbakat pada setiap peringkat serta di setiap pentas persembahan. Di samping muzik, hiburan dan
teknologi, kami juga membawa imaginasi, kepakaran kepada platform dan model perniagaan yang baharu serta peluang untuk menembusi pasaran luar. Semua usaha ini adalah untuk menyokong eksperimen, pengambilan risiko dan kemajuan komuniti kreatif. Sony Music Entertainment telah menerapkan prinsip perkongsian yang mendalam, kepercayaan, punca yang berasas bagi meningkatkan dan memperkuatkan masyarakat di seluruh dunia. Sony Music Entertainment adalah sebahagian daripada keluarga global Sony.