Selepas kejayaan kerjasama mereka melalui filem pendek “See You Again, Grandma”, Oceanus Media Global dan Filmforce Studio Malaysia dengan bangganya mengumumkan projek bersama terbaru untuk filem aksi yang dinanti-nantikan, “Bandit”. Filem ini diarahkan oleh pengarah filem tersohor Malaysia, Datuk Yusry Abdul Halim dari Yureka Films, dengan peruntukan bajet melebihi SGD 5 juta, menjadikannya salah satu projek paling bernilai tinggi dalam sejarah sinema Asia Tenggara.
Berlatarbelakangkan tahun 1920-an ketika era penjajahan British, “Bandit” mengisahkan perjuangan para nasionalis dan pemberontak yang berusaha merpertahankan khazanah negara daripada dibawa keluar dari Tanah Melayu ke Singapura sebelum dihantar ke London. Filem ini mengetengahkan tema perjuangan dan kebanggaan budaya, dengan matlamat untuk memukau hati penonton serantau, sepertimana kejayaan filem pecah panggung Malaysia, “Mat Kilau”.
Kerjasama ini menunjukkan perkembangan teknologi yang signifikan dalam dunia perfileman Asia Tenggara dengan mengintegrasikan teknologi produksi maya canggih oleh Oceanus Media Global dan penghasilan kecerdasan buatan (AI). Alat berteknologi tinggi, yang sudah meluas penggunaannya di Hollywood, kini bakal merealisasikan penciptaan adegan-adegan luarbiasa yang sebelum ini dianggap mustahil di rantau ini.
Fred Chong, Penerbit “Bandit” dan pengasas Filmforce Studio Malaysia, menyatakan “Kerjasama dengan Oceanus Media Global dalam ‘See You Again, Grandma’ telah membuktikan potensi luar biasa teknologi produksi maya. Dengan mengaplikasikan teknologi inovatif ini pada skala yang lebih besar, ianya sangat relevan untuk syarikat Malaysia, dan ‘Bandit’ adalah projek yang tepat untuk mempamerkan keupayaannya.”
Nick Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Oceanus Media Global, turut meluahkan keterujaannya: “Bekerjasama dengan Filmforce Studio Malaysia dalam ‘Bandit’ adalah pengalaman yang sangat mengujakan. Teknologi produksi maya telah merevolusikan industri perfileman Hollywood, dan kini adalah masanya untuk Asia Tenggara memanfaatkan potensinya. Kami berimpian untuk menetapkan standard baharu dalam sinema serantau dan menghasilkan sebuah filem blockbuster yang mampu menarik perhatian penonton di Malaysia dan Singapura. Dengan pelakon-pelakon terkemuka dari kedua-dua negara, kolaborasi ini menandakan satu pencapaian penting untuk kerjasama rentas sempadan dalam industri kreatif.”
Rakan kongsi produksi kini sedang mendapatkan sokongan daripada kerajaan Malaysia dan Singapura untuk meningkatkan landskap kandungan media serantau. Penggambaran filem “Bandit” dijangka bermula pada suku kedua tahun 2025 dengan sasaran tayangan pada tahun 2026.
Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman, berkata “Kerjasama antara Oceanus Media Global dan Filmforce Studio Malaysia adalah contoh terbaik bagaimana perkongsian rentas sempadan dapat memperkasakan sinema Asia Tenggara. ‘Bandit’ bukan sekadar sebuah filem; ia merupakan bukti kepada apa yang boleh dicapai apabila teknologi bertaraf dunia digabungkan dengan naratif budaya yang kaya.”
Kerjasama ini mencerminkan komitmen jangka panjang Oceanus Media Global dan Filmforce Studio Malaysia untuk memperluas sempadan penceritaan dan teknologi pembikinan filem di Asia Tenggara. Kedua-dua syarikat yakin bahawa “Bandit” bukan sahaja akan menjadi filem perintis, tetapi juga menginspirasi kerjasama masa depan yang akan mengukuhkan ekosistem hiburan serantau.
************************************
Mengenai Oceanus Media Global
Oceanus Media Global adalah sebuah syarikat teknologi media kreatif terkemuka yang memfokuskan kepada media imersif dan produksi maya. Kami menyampaikan pengalaman inovatif dalam pelbagai bidang, termasuk pemetaan set 3D, aktivasi maya dan hybrid, penstriman interaktif, multimedia immersif, dan pemasaran pengalaman. Pendekatan pelbagai disiplin kami menggabungkan kepakaran teknikal, pemikiran eksperimental, dan inovasi pemasaran untuk memenuhi permintaan kandungan digital imersif yang semakin meningkat.
Mengenai Filmforce Studio Malaysia
Filmforce Studio Malaysia adalah sebuah syarikat produksi terkemuka di Asia Tenggara yang terkenal dengan penghasilan filem berkualiti tinggi dan berteraskan budaya. Berpusat di Malaysia, studio ini mempunyai rekod cemerlang dalam pelbagai genre, termasuk kolaborasi terkenal seperti “Modern Dynasty 2” (China-Hong Kong), “Friend Zone” (Thailand), “The Confidence Man JP” (Jepun), dan “Blessings 2” (Singapura). Dengan penggunaan teknologi canggih dalam penggambaran dan pascaproduksi, Filmforce Studio meningkatkan daya tarikan penceritaan dan visual, menghasilkan naratif yang memikat hati penonton di seluruh dunia.