Potluck Sebelum Ramadhan 2024

Sunday, 21 April 2024

Hujung tahun lepas kitorang dah pernah buat potluck dan tu adalah potluck pertama sejak HQ berpindah ke Oasis Square Ara Damansara. Kali ni kitorang plan untuk potluck dan layan movie seram sebelum bulan puasa datang. Potluck ni pertama dan terakhir juga untuk Haziq dengan Fhirhard sebab internship diorang dah nak habis dah dekat Ram Reza & Muhammad. 

Menu potluck sama juga macam sebelum ni - Oden dan air Cha Bang Ang sebagai menu utama. Syu bawa kek pisang, brownies dengan kek batik. Teha bawa kuih talam seri muka. 





Sebab sebelum ni tak cukup air cha bang ang ni, Kak Ida guna bekas yang lebih besar supaya semua boleh minum banyak. Oden pun sama sampai dua periuk untuk cater perut semua yang ada untuk potluck ni. 

Hari yang sama dengan potluck ni ada long call Sheera dekat KL High Court tapi tak dapat nak pergi sebab hujan lebat. Tasya ada hearing, Aufa pergi serve document dekat Kuala Selangor, Ain pulak work from home sebab anak dia tak sihat. Kak Nurul pun tak dapat join sebab work from home setiap Jumaat. So kitorang buat yang mana ada je lah sebab kalau nak tunggu semua memang tak berjalan plan ni. 






Macam biasa lah kalau cerita seram, I akan pilih movie mana yang best tapi silap pulak pilih movie The Seoul Ghost Story sebab tak seram tapi gore. Dah lah tengah makan, habis tak tertelan semua orang. Sudahnya kita tukar pergi ke movie Indigo: What Do You See (2023). Baru lah seronok dengar suara Atie menjerit bila hantu keluar. 






Sebelum ni kalau buat potluck memang tak habis pun oden tu dan kitorang akan biar je dekat training room. Siapa yang nak makan pergi ambil je makan sebab hari Jumaat jarang ada meeting atau discussion sebab masing-masing dah slow down untuk weekend. 

Sama juga lah kali ni memang biarkan je supaya Tasya dengan Aufa boleh makan bila balik ke office. Petang tu lepak dengan Aufa makan oden sambil tengok movie Kultus Iblis. Tapi tengok tak tengok sangat lah sebab Aufa mengarang submission, tangan I pulak update minutes book company client. Eh memang tak lah tangan duduk saja kan, tengah office hour kot hshshs kbai.

SHERIFF RAIH KUTIPAN MELEBIHI RM1 JUTA PADA TAYANGAN AWAL!

Friday, 19 April 2024

Filem arahan Syafiq Yusof, SHERIFF telah meraih kutipan melebihi RM 1 juta pada tayangan awal (‘sneak preview’) pada 17 April di pawagam dan sekali gus berada di tangga pertama di carta Top 10 GSC Malaysia dan mengetepikan filem antarabangsa. Sheriff merupakan terbitan dua penerbit besar tempatan iaitu Skop Productions bersama Astro Shaw, dan akan memulakan tayangan rasminya pada hari ini di panggung wayang seluruh negara. 

Pengarah, Cerita Asal dan Lakon Layar filem Sheriff, Syafiq Yusof berkata, “Alhamdulillah atas sambutan memberangsangkan pada tayangan awal semalam. Ini adalah permulaan yang baik untuk Sheriff dan kami menjangkakan penonton akan pergi ke pawagam terutamanya pada hujung minggu ini untuk menyaksikan Sheriff. Kami mengharapkan filem ini mampu menepati cita rasa penonton. Ajak rakan-rakan atau keluarga meluangkan masa bersama dengan menikmati Sheriff yang memaparkan subjek ‘polis tangkap polis’ dari lakonan mantap pelakon-pelakon tanah air. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat pihak media dan pemamer dalam memberi sokongan padu pada Sheriff.” 

Sheriff menampilkan watak Nazri, seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa. Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas dari cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman. Dalam masa yang sama, Sheriff, seorang anggota daripada Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

Temui barisan pelakon Sheriff di pawagam-pawagam terpilih sekitar Lembah Klang pada 20, 21, 27 dan 28 April. Ikuti perkembangan dan maklumat lanjut di akaun media sosial Astro Shaw atau Skop Productions, Facebook, TikTok, Instagram dan X. Gunakan tanda pagar #Sheriff #NarkoIntegriti #TakSemuaBolehSettle untuk kongsikan keterujaan dan pengalaman anda menonton Sheriff.

‘RAJA PLOT TWIST’ SYAFIQ YUSOF SEKALI LAGI MENGEJUTKAN PEMINAT MENERUSI FILEM AKSI THRILLER DI LUAR JANGKAAN | Gandingan Hebat Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Dato’ Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan

Sheriff yang bakal menggegarkan pawagam seluruh negara merupakan sentuhan terbaru pengarah filem aksi box office nombor satu Malaysia, Polis Evo 3, iaitu Syafiq Yusof. Filem aksi thriller terbitan dua studio gergasi tanah air, Skop Productions dan Astro Shaw ini akan menemui penonton di pawagam Malaysia dan Singapura bermula 18 April. 


Perbezaan di antara naskhah Sheriff dengan filem kepolisan yang lain ialah subjek ‘polis tangkap polis’. Ia menampilkan konsep baru yang jarang dipersembahkan dalam karya tempatan yang dipanggil ‘reverse whodunnit’ atau lebih dikenali sebagai ‘howcatchem’, sebuah konsep di mana penonton sudah tahu siapa pembunuh tetapi bagaimana dia akan ditangkap. 

Syafiq yang dilabel sebagai ‘Raja Plot Twist’ oleh penggemar filem di Malaysia pastinya tidak akan menghampakan penonton dengan jalan cerita yang penuh teka-teki. 


Watak-watak di dalam filem Sheriff digerakkan oleh barisan pelakon hebat tempatan seperti, Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Dato Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan, Sharuddin Tamby, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Hazama, Azri Iskandar, dan ramai lagi. Zul Ariffin menyerlahkan sisi berbezanya menerusi watak Sheriffudin Hussein, di mana penonton akan mengalami pelbagai konflik emosi sehingga menimbulkan perasaan ‘love-hate’ terhadap karakter ini. 

Selain itu, Sheriff turut mempersembahkan babak-babak aksi memukau di antara Zul Ariffin, Dato’ Aaron Aziz dan Syafiq Kyle, serta penampilan pertama Azira Shafinaz sebagai Inspektor Polis yang beraksi lasak apabila berdepan dengan Elizabeth Tan.  


Menurut Pengarah, Cerita Asal dan Lakon Layar filem Sheriff, Syafiq Yusof berkata, “Sheriff membawakan sebuah perspektif yang belum pernah dibawa oleh filem-filem kepolisian terbitan Skop Productions sebelum ini. Idea filem Sheriff ini tercetus daripada gabungan Datuk Yusof Haslam dan saya sendiri berdasarkan filem-filem kepolisian yang pernah kami hasilkan sepert KL Special Force dan juga Polis Evo 3. Namun untuk karya Sheriff, saya tambahkan sentuhan istimewa untuk penggemar-penggemar genre filem psikologi.”

Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif Bersama Sheriff, Datuk Yusof Haslam, “Filem ini menjadi lebih menarik apabila pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) Bukit Aman turut bekerjasama dan memberi nasihat dalam proses pembikinan filem. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM Bukit Aman dan rakan penerbit, Astro Shaw kerana sentiasa memberikan kerjasama yang sangat memberangsangkan sepanjang menghasilkan karya ini. Kami berharap agar penonton-penonton di Malaysia dapat menikmati filem ini dan reaksi positif mereka adalah tanda sokongan kepada filem tempatan, di samping membawa kejayaan kepada genre yang baru dan segar.”


Sementara itu, Penerbit Eksekutif dan juga Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan, Astro Shaw amat teruja untuk mempersembahkan sebuah lagi filem arahan Syafiq Yusof dan optimis ia bakal mencatatkan satu lagi sejarah dalam industri perfileman negara. “Sheriff merupakan filem ke-enam hasil daripada kerjasama bersama Skop Productions selepas Polis Evo 3, Abang Long Fadil 2 dan 3, KL Special Force dan Misteri Dilaila. Meskipun industri filem tempatan diwarnai dengan pelbagai naskhah yang membabitkan badan beruniform. Namun, kehadiran Sheriff tentunya berbeza dengan filem-filem yang sedia ada kerana ia dipersembahkan melalui plot, babak dan dialog yang penuh kejutan. Memandangkan filem ini akan ditayangkan ketika minggu perayaan Aidilfitri, jadi kami merasakan ia adalah waktu yang tepat untuk ditonton bersama keluarga, rakan-rakan dan insan tersayang. Tentunya kami mengharapkan Sheriff dapat diterima semua penonton, sekali gus mampu mencipta satu lagi fenomena.”  


Sheriff menampilkan watak Nazri, seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa. Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas dari cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman. Dalam masa yang sama, Sheriff, seorang anggota daripada Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan. 

Pembelian tiket filem Sheriff sudah boleh dibeli sejak 4 April dan peminat berpeluang untuk menonton sehari awal iaitu 17 April di pawagam. 


Temui barisan pelakon Sheriff di pawagam-pawagam terpilih sekitar Lembah Klang pada 20, 21, 27 dan 28 April. Ikuti perkembangan dan maklumat lanjut di akaun media sosial Astro Shaw atau Skop Productions, Facebook, TikTok, Instagram dan X. Gunakan tanda pagar #Sheriff #NarkoIntegriti #TakSemuaBolehSettle untuk kongsikan keterujaan dan pengalaman anda menonton Sheriff. 

Movie Review | Sheriff: Narko Integriti (2024)

Thursday, 18 April 2024


Pengarah: Syafiq Yusof  
Penulis Skrip: Nazifdin Nasrudin  
Pelakon: Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Aaron Aziz, Elizabeth Tan, Azira Shafinaz, Amir Nafis, Esma Daniel, Shaharuddin Thamby, Hazama, Hasnul Rahmat, Kodi Rasheed
Syarikat Produksi: Skop Productions, Astro Shaw
Pengedar:  Astro Shaw
Genre: Aksi / Thriller
Durasi Tayangan: 110 minit
Tarikh Tayangan: 18 April 2024 (Malaysia & Singapura)
Trailer:


Filem terbaru Sheriff: Narko Integriti merupakan idea asal dari Yusof Haslam yang berlatarkan Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia. Kisah bermula dengan ASP Malik (Shaharuddin Thamby) dibunuh oleh Meth Killer (Syafiq Kyle) ketika dalam misi undercover untuk mendapatkan intel tentang makmal dadah milik Tony Ifrit (Dato’ Aaron Aziz). 

Meth Killer telah melakukan 9 pembunuhan dengan modus operandi menikam mayat bertalu-talu kemudiannya dibersihkan untuk bersihkan sebarang jejak atau bukti. Kemudian mayat mangsa dibalut dengan plastik lalu dibawa ke kawasan sunyi yang tidak mempunyai CCTV. Mayat tersebut ditaburkan dadah syabu di atasnya. 


Kesemua 9 orang mangsa tersebut berkait rapat dengan Tony yang sering saja terlepas dari hukuman kerana tidak mempunyai bukti yang cukup untuk disabitkan kesalahan. Jabatan Narkotik pernah menghantar Inspektor Shazwani sebagai undercover namun malangnya ada tikus yang bekerja dengan Tony. 

Pihak atasan PDRM menghantar ASP Jennifer Wong (Elizabeth Tan) untuk menyiasat pembunuhan ASP Malik sementara DSP Sheriffudin Hussein (Zul Ariffin) dari Unit Khas juga dihantar untuk menjejak Meth Killer dan Tony. Sejak awal lagi DSP Sheriff syak Inspektor Nazri (Syafiq Kyle) sebagai Meth Killer kerana dia mempunyai motif yang kuat untuk membunuh Tony. 


Tapi bukti rakaman video CCTV antara ASP Syazlin (Azira Syafinaz) dan ASP Malik pada hari kejadian juga kukuh sebagai motif pembunuhan. DSP Sheriff dan ASP Jane sedia maklum yang Meth Killer adalah dari Jabatan Narkotik kerana semua maklumat tentang mangsa adalah sulit dan hanya boleh diakses oleh Jabatan Narkotik sahaja. 

Naskhah Sheriff: Narko Integriti adalah naskhah ketiga yang bertemakan unit PDRM selepas filem KL Special Force (2018) dan Polis Evo 3 (2023) di bawah arahan Syafiq Yusof. Uniknya filem Sheriff: Narko Integriti adalah filem yang dihasilkan di bawah Astro Studios menggunakan teknologi perfileman yang setanding dengan industri antarabangsa. 


Sinematografi hasil kerja Rahimi Maidin dan musik dari Sham Stalin juga Latt menghasilkan sinergi yang kukuh untuk beberapa babak-babak aksi yang dipaparkan dalam Sheriff: Narko Integriti. Babak operasi Jabatan Narkotik di kilang Tony baik dalam angan-angan Nazri ataupun realiti terlihat realistik. Bila tengok babak ni boleh nampak yang unit PDRM berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk menangkap penjenayah. Sayangnya filem Sheriff: Narko Integriti ni tak banyak babak aksi walhal genre utama adalah aksi. 

Kalau nak kata Sheriff: Narko Integriti ni adalah naskhah untuk mencuci imej PDRM pun tak juga sebab watak DSP Sheriff dari Unit Khas di mana dia adalah polis yang menangkap polis. Mana-mana unit pun ada bahagian buruknya dan tak semua polis yang bekerja sebagai polis adalah busuk. Watak Inspektor Nazri pun ada character development yang bagus sebab kalau dia tak tersalah bunuh ASP Malik, dia dah boleh diangkat sebagai Vigilante. Tapi dekat sini lah mesej yang penulis nak sampaikan bila negara kita ada undang-undang, cepat atau lambat kejahatan tetap akan dihukum. 


Walaupun jalan cerita Sheriff: Narko Integriti terlihat menarik tapi ada juga beberapa hal yang lemah macam watak ASP Syazlin. Lakonan Azira Syafinaz nampak kaku dan canggung terutamanya untuk babak-babak melibatkan drama atau perlukan emosi dan ekspresi. Macam babak dia peluk Nazri sebab Meth Killer dah berjaya ditangkap ataupun masa dia confront Naz dengan DSP Sheriff dekat rumah. 

Babak dia jumpa kanak-kanak yang overdose dalam kontena tu pun lemah. Tak ada perasaan langsung padahal Tony nak Meth Killer yang jumpa situasi tu. Geram juga lah kenapa penulis tukar watak sedangkan kita dah tertunggu-tunggu reaksi Meth Killer bila tengok Tony Ifrit guna budak-budak sebagai pusher. Bila tengok watak ASP Syazlin ni pelik juga macam mana dia boleh jadi ketua sebab watak dia agak lemah, sama juga dengan judgement dia. Berbeza sangat keadaan mangsa ke-10 dibunuh oleh Meth Killer tapi dia boleh yakin sangat itu adalah Meth Killer sebenar.


Watak Firdaus pun tak dikembangkan dengan baik, dari awal lagi dah boleh tahu dia tengah undercover sebab cara dia push Kapak untuk bawa dia jumpa Tony pun nampak terdesak. Kenapa dia setuju untuk jadi undercover pun tak diceritakan dan kenapa Naz boleh minta dia buat tugas terakhir tu sedangkan dah nampak condition Firdaus dah barai sebab dadah Tony. Masa dia guna morse code dalam bilik siasatan pun tak clean sebab ketara sangat. First half dah cantik alur cerita Sheriff: Narko Integriti ni tapi bila masuk second half, watak Naz mula jadi lemah untuk kuatkan lagi watak DSP Sheriff. 

Plot twist yang dibawa masuk oleh Syafiq Yusof tak kuat mana pun sebab tikus-tikus Tony Ifrit tu pun dah boleh dibaca dari awal siapa gerangannya. Lagi seronok kalau Syafiq tak dedahkan siapa Meth Killer dan biar kita berteka-teki antara ASP Syazlin atau Inspektor Nazri tapi mungkin dia nak keluar dari cerita tipikal dan fokus kepada aksi kejar-mengejar antara DSP Sheriff dan Meth Killer. Babak komedi yang dimasukkan lebih kurang sama dengan drama Gerak Khas sebab menggunakan dua orang watak polis berbangsa Cina dan India. 


Nak kata filem Sheriff: Narko Integriti ni tak seronok pun tak juga sebab lakonan Zul Ariffin yang banyak carry filem ni dari awal sampai ke hujung cerita. Babak dia datang tangkap ASP Amirul (Hazama) dengan perbualan dia dengan Tony tentang tikus dan Meth Killer tu antara highlight dalam filem ni. Tone suara yang Zul Ariffin dan Elizabeth Tan guna perfect untuk convey watak diorang sekaligus elevates the emotion for certain scenes. Lakonan Syafiq Kyle dan Elizabeth Tan pun cemerlang dalam filem ni. Personally for me, filem Sheriff: Narko Integriti bukan lah filem yang sempurna tapi satu naskhah yang perlu diberi perhatian untuk peminat filem tempatan. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.6, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.4/10

Drama Review | Flex X Cop (2024)

Sunday, 14 April 2024


Director: Kim Jae-hong
Writer: Kim Ba-da
Cast: Ahn Bo-hyun, Park Ji-hyun
Production Companies: Studio S, Big Ocean ENM, B.A. Entertainment
Distributor: SBS TV, Disney+ Hotstar, Wavve
Genre: Action / Comedy / Crime / Romance
Running Episodes: 16 episodes (minutes per episode)
Release Date: 26 January 2024 – 23 March 2024 
Trailer:


Remake dari TV series Rusia berjudul Silver Spoon (2015), Flex X Cop mengisahkan tentang Jin I-soo (Ahn Bo-hyun), anak bongsu kepada pemilik Hansu Group. Kekayaan keluarganya membolehkan dia untuk hidup mewah dan menggunakan harta dan networking untuk berseronok. I-soo minat dengan sukan lasak dan aktif di media sosial lantas mempunyai pengikut yang ramai. 

Gaya hidup I-soo tidak disenangi oleh ibu tirinya, Cho Hee-ja (Jeon Hye-jin) kerana anaknya, Jin Seung-ju (Kwak Si-yang) yang banyak menguruskan hal syarikat. I-soo merupakan anak kepada Jin Myeong-chul (Jang Hyun-sung) bersama wanita lain lalu dibawa masuk ke dalam keluarga tersebut setelah kematian ibu kandungnya akibat kemurungan. 


Satu hari, I-soo menangkap lelaki asing yang menyerang rakannya secara rambang. Ketua Detektif Lee Gang-hyun (Park Ji-hyun) yang sedang bertugas di kawasan tersebut menangkap I-soo kerana salah sangka kemudiannya menahan I-soo di lokap. Insiden tersebut diketahui oleh pihak media sekaligus menjadi kontroversi kepada Jin Myeong-chul yang sedang bertanding sebagai Datuk Bandar.

Setelah disiasat, Jin Seung-ju cadangkan supaya I-soo menjadi detektif di balai polis tersebut menerusi lantikan khas akibat tindakan melulu Jabatan Penyiasatan 1 menuduh adiknya sebagai suspek kes jenayah. Sejak kehadiran I-soo KPI kumpulan tersebut meningkat secara mendadak hingga banyak kes dapat diselesaikan dengan cepat sehinggalah I-soo bertemu dengan Doktor Seo Yu-kyung (Choi Hee-jin) yang pernah merawat I-soo setelah kematian ibunya melalui kaedah hipnosis.


Drama aksi komedi yang menampilkan generasi ketiga chaebol mempunyai plot utama yang kuat sebab kita sedia maklum siasatan polis ambil masa yang lama gara-gara protokol, prosedur ataupun kekangan fasiliti juga dana. Senang sangat terhibur bila tengok Jin I-soo dengan mudahnya selesaikan beberapa kes menggunakan kelebihan yang dia ada. Nak kata watak I-soo adalah watak yang lemah pun tak juga sebab dia ada kemahiran tertentu dan kelulusan tersendiri. Bosan sangat ada banyak duit sampai ambil Ijazah dalam beberapa bidang. 

Lakonan Ahn Bo-hyun sebagai Jin I-soo bukan sesuatu yang baru sebab dia pernah berlakon dalam drama Military Prosecutor Doberman (2022) yang menggunakan genre yang sama juga. Watak Jin I-soo juga mempunyai trauma yang tercetus akibat kematian orang tua. Bezanya, kali ni Ahn Bo-hyun nampak lebih selesa dalam watak Jin I-soo dan chemistry juga dinamik yang lebih kukuh bersama Park Ji-hyun. 


Dekat episod-episod awal drama arahan Kim Jae-hong ni rasa menyampah sangat dengan perangai Detektif Lee Gang-hyun. Kalau dia menyampah dengan I-soo sebab jadi polis melalui lantikan khas tu boleh faham lah tapi salah dia jugak, siapa suruh tak siasat betul-betul. Dah la tak rasa bersalah dengan tindakan dia, minta maaf pun tidak. 

Bila I-soo nak gerak sendiri, dia marah suruh inform dan minta kebenaran dulu tapi bila I-soo call nak minta kebenaran, dia tak nak angkat call. Bila I-soo tak tahu nak menyumbang apa untuk siasatan kes, dia marah tapi bila meeting dia tak bagi pun I-soo join sekali. Benda ni berlarutan sampai kes ketiga sedangkan sejak dari awal lagi I-soo berjaya selesaikan semua kes dalam masa yang singkat. Apa yang dia nak bitter entah sebab I-soo duduk dekat jabatan tu pun sampai ayah dia habis bertanding je. Kalau I-soo tak buat kerja langsung lain cerita lah. Nasib baik lah dekat pertengahan drama tu dia dah boleh berkawan dengan I-soo. 


Macam susah nak percaya Detektif Lee Gang-hyun dapat jadi ketua sebab dapat selesaikan 34 kes jenayah dalam masa 3 tahun sebab tengok dia selesaikan beberapa kes pun lemah benar. Kita yang tak banyak maklumat ni pun boleh teka dengan tepat siapa pembunuhnya. Lagi bertambah kelakar bila dia ignore maklumat penting dari I-soo sebab dia rasa benda tu merepek padahal tak merepek pun, cuma tak wujud dalam dunia orang kebanyakan. Itu belum kira dia dismiss suspek walhal ada banyak bukti dekat crime scene. 

Penceritaan drama Flex X Cop bersilih ganti antara latar masa sekarang dengan flashback gara-gara aspek trauma yang dimasukkan oleh penulis. Sedikit demi sedikit trauma dan kisah silam Jin I-soo didedahkan kepada penonton jadi ada lah beberapa babak yang repetitive terutamanya di penghujung drama. Memandangkan drama Flex X Cop tayang dekat SBS TV setiap Jumaat dan Sabtu, mungkin teknik penceritaan ni penting tapi untuk kita yang tengok dekat streaming platform dan marathon dalam masa dua hari, memang rasa bosan. 


Walaupun drama Flex X Cop ni seronok untuk ditonton tapi personally I tak suka bila penulis kacau keluarga I-soo terutamanya abang dia. Cliché sangat bila keluarga I-soo berantakan gara-gara kuasa sedangkan watak Jin Seung-ju boleh berkembang ke arah positif, seiring dengan perkembangan watak I-soo. Tak ada masalah pun kalau tak ada konflik keluarga dekat penghujung tu sebab dah hilang dah mood kelakar dan menghiburkan dekat awal drama tu. 

Patutnya kembangkan je lah watak dan bonding antara I-soo dengan ayah dia sebab watak Jin Myeong-chul tersepit dalam keadaan yang dia sendiri tak sangka. Dapat sikit sangat momen antara dua beranak ni padahal sweet je tengok Myeong-chul bangga dengan pencapaian I-soo sebagai detektif. Banyak sangat missed opportunity dari si penulis untuk wujudkan drama yang easy going dan menghiburkan. Tak hairan lah ramai yang skip sampai Flex X Cop tak dicanang sangat pun oleh peminat K-drama. 


Musim kedua untuk drama Flex X Cop dah confirm akan sambung perjalanan I-soo sebagai chaebol yang bekerja sebagai pegawai polis tapi dah tak seronok lah sebab abang dia dah tak ada. Comel kot bonding I-soo dengan Seung-ju walaupun berbeza karakter. Kalau I bosan sangat, mungkin tengok lah kot sekuel. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +1, 6. Genre +0.7, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.4 = 7.5/10

Movie Review | Budi Pekerti (2023)


Pengarah: Wregas Bhanuteja 
Penulis Skrip: Wregas Bhanuteja
Pelakon: Sha Ine Febriyanti, Dwi Sasono, Angga Yunanda, Prilly Latuconsina, Omara Esteghlal, Ari Lesmana 
Syarikat Produksi: Rekata Studio, Kaninga Pictures
Pengedar: Netflix  
Genre: Drama 
Durasi Tayangan: 110 minit
Tarikh Tayangan:  9 September 2023 (TIFF), 25 Oktober 2023 (Jakarta Film Week), 2 November 2023 (Indonesia)
Trailer:


Bu Prani Siswoyo (Sha Ine Febriyanti) terpaksa menjalani kehidupan yang sukar setelah insiden pergaduhan bersama pelanggan lain di gerai putu bambu tular di media sosial. Perkataan yang disebut dalam Bahasa Jawa kedengaran seperti makian lantas dijadikan meme. Netizen bahaskan isu tersebut kerana tidak wajar bagi seorang guru untuk bersikap tidak sopan di khalayak umum. 

Pihak sekolah minta Bu Prani supaya segera meminta maaf kepada lelaki yang dituduhnya supaya nama baik sekolah tidak tercemar. Lebih teruk lagi Bu Prani mungkin tidak akan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengetua Sekolah sekiranya dia terpalit dalam kontroversi tersebut.  


Anak bongsunya, Muklas (Angga Yunanda) melarang ibunya dari menjelaskan perkara sebenar kerana dia sudah menafikan wanita yang viral tersebut bukan ibunya. Banyak produk akan menarik sponsor sekiranya imejnya rosak. Berbeza pula pandangan kakaknya, Tita Sulastri (Prilly Latuconsina) yang sedia membantu ibunya untuk tampil sebelum keadaan menjadi lebih buruk. 

Filem yang mendapat 17 pencalonan anugerah dalam pelbagai kategori di Festival Filem Indonesia adalah karya terbaru pengarah Wregas Bhanuteja selepas naskhah Penyalin Cahaya (2021). Naskhah drama berjudul Budi Pekerti yang ditayangkan di Netflix mengangkat topik cancel culture atau media trial yang selalunya bersifat ekstrem sehingga mendatangkan keburukan lebih banyak dari kebaikannya. 


‘Jangan jadi macam burung kakak tua yang mudah marah. Tapi jadilah burung barau-barau. Bunyinya indah dan menenangkan.’ – Muklas Animalia Waseso

Plot yang dibawakan terlihat kemas dengan alur cerita yang mudah difahami walaupun sarat dengan konflik dan drama baik dari dalam keluarga Bu Prani sendiri mahupun dari orang luar. Sukar untuk dijangka perjalanan cerita Budi Pekerti kerana perangai manusia yang bersifat berbolak-balik dalam tempoh masa yang singkat. 


Watak Bu Prani terutamanya terlihat solid dan menarik kerana aktiviti refleksi kepada para pelajar nakal atau melanggar peraturan terlihat kreatif berbanding hukuman fizikal yang mencederakan. Lakonan Sha Ine Febriyanti dalam persona guru dan ibu di pertengahan usia terlihat cemerlang sepanjang 110 minit durasi filem ini. 

Filem Budi Pekerti berlatarkan tempoh pandemik dan juga masyarakat Jawa. Untuk menghidupkan lagi suasana masyarakat tersebut, kesemua pelakon utama diwajibkan mengambil latihan berbahasa Jawa sekitar 3 bulan sebelum shooting. Pelakon Sha Ine sendiri mengambil kesempatan untuk bergaul dengan masyarakat Jawa di Yogyakarta supaya dialeknya lancar, lenggok percakapan dan juga budaya diterapkan dalam lakonannya. 


Lega lah juga screentime Prilly tak banyak walaupun watak dia penting sebaliknya pengarah dan penulis Wregas lebih cenderung terhadap watak Muklas yang menggunakan media sosial untuk mewujudkan dunia idealnya. Tak perasan langsung watak Muklas tu dilakonkan oleh Angga sebab berbeza sangat karakter Muklas dengan watak-watak lakonan Angga sebelum ni. Boleh kata Prilly dibawa masuk sebagai daya penarik untuk promosikan filem Budi Pekerti sebab watak dia tak lari jauh dari filem-filem yang lain. 

Sembang tentang dunia ideal, ketiga-tiga watak yang dimasukkan dalam Budi Pekerti membawakan dunia ideal yang diidamkan. Contohnya Bu Prani yang menggunakan refleksi dan bukan hukuman, Muklas pula mewujudkan dunia yang tenang juga harmoni melalui sifat-sifat haiwan sementara Tita lebih cenderung untuk menegakkan keadilan melalui aktiviti-aktiviti dan postingan di media sosial. Netizen pula menginginkan dunia yang bebas dari salah laku dan menghukum individu sepuas hati mereka. 


Sekali lagi pengarah Wregas bekerjasama dengan Gunnar Nimpuno untuk sinematografi supaya boleh menghidupkan dunia Budi Pekerti seperti visinya. Uniknya filem Budi Pekerti menggunakan warna kuning jingga sebagai tona utama yang boleh dilihat dalam poster dan trailer. Warna kuning dipilih sebagai elemen positif yang dibawakan oleh watak Bu Prani sebagai kaunselor sekolah yang banyak berjasa kepada anak muridnya untuk menjadi manusia yang baik peribadinya. Warna biru juga digunakan sebagai simbolik kepada elemen ketenangan yang dimasukkan dalam beberapa babak.

Berbeza dengan filem sebelumnya, Wregas lebih banyak menggunakan close-up untuk paparkan ekspresi dan emosi yang dilontarkan oleh barisan pelakon utama. Beberapa babak penting sarat dengan elemen yang selayaknya. Babak Bu Prani dengan Anggoro Sambudi Putra a.k.a. "Gora" (Omara Esteghlal) baring dalam kolam air jadi simbolik kepada kekacauan yang berlaku di dunia luar. Hasilnya, Bu Prani berjaya buat keputusan yang tepat untuk diri dia, keluarga dan juga Gora. 


Sama seperti Penyalin Cahaya, naskhah Budi Pekerti juga terhasil cantik sesuai dengan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat. for those yang belum tengok lagi dua filem arahan Wregas ni, boleh tonton di Netflix. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +1, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 10/10

Movie Review | Ganjil Genap (2023)

Friday, 5 April 2024


Pengarah:  Bene Dion Rajagukguk
Penulis Skrip: Bene Dion Rajagukguk, Sigit Sulistyo
Pelakon: Clara Bernadeth, Oka Antara, Baskara Mahendra, Josephine Firmstone
Syarikat Produksi: MD Pictures 
Pengedar: 
Genre: Romantik / Komedi
Durasi Tayangan: 124 minit
Tarikh Tayangan: 28 Jun 2023 
Trailer:


Ganjil Genap mengisahkan tentang sepasih kekasih, Gala (Clara Bernadeth) dan Bara (Baskara Mahendra) yang bercinta selama 8 tahun sejak zaman kuliah. Gala patah hati selepas Bara minta putus atas alasan dia sudah tawar hati dengan perhubungan mereka. Dia cuba mencari penjelasan di sebalik perpisahan tersebut tapi sikap Bara yang menghindar buatkan dia tertanya-tanya di mana silap dia. 

Bagi Bara pula, Gala lebih mementingkan kerjaya dari dirinya lantas dia bertemu dengan Risty (Josephine Firmstone), rakan sekerja yang sudah lama ada perasaan terhadapnya. Tak ambil masa yang lama pun untuk Bara melamar Risty kerana sikap  wanita tersebut yang selalu meluangkan masa dengannya. Berbeza dengan Gala yang bahagikan masa untuk kerjaya, Bara dan teman-temannya. 


Nandi (Joshua Suherman) dan Sydney (Nadine Alexandra) pujuk Gala untuk mencari teman lelaki supaya dia boleh cepat move on dari Bara. Namun ternyata sukar kerana setiap lelaki yang datang ke blind date tak mampu menandingi kelebihan Bara. Sampai lah satu hari tanpa sengaja Gala berjumpa dengan Dr. Aiman (Oka Antara) di dalam pawagam. 

Mudah sangat untuk mereka berdua mesra dan rapat sebab Dr. Aiman suka karakter Gala yang kelakar dan bersahaja. Mereka juga sentiasa terserempak di kota Jakarta dan mempunyai minat yang sama. Ketika Gala yakin Dr. Aiman akan jadi pengganti Bara, Dr. Aiman pula mengundur dari komited dalam perhubungan kerana mempunyai trauma sejak kecil. 


Naskhah romantik komedi Ganjil Genap merupakan adaptasi dari novel ketiga penulis Almira Bastari yang diterbitkan pada tahun 2020. Kalau ikutkan pada cerita asal, Gala dan Bara bercinta selama 13 tahun lalu putus pada tahun ke-13 yang ganjil. Gala juga mempunyai adik yang bakal berkahwin dan akan membuatkan keluarga mereka jadi bilangan ganjil. For me, konflik yang dialami oleh Gala di dalam novel lebih mendalam berbanding dengan filem arahan dan penulisan Bene Dion Rajagukguk. 

But still filem Ganjil Genap seronok untuk ditonton sebab jalan ceritanya yang unik kerana penggunaan konsep ganjil dan genap sepanjang 124 minit bersiaran. Cuma pelik lah sebab kita tak diterangkan kenapa dunia kesemua watak ni berpaksikan bilangan ganjil dan genap. Penggunaan konsep ni ekstrem juga sebab Gala hampir disaman oleh pihak polis kerana mulakan perjalanan sebelum jam 9 malam yang bersifat ganjil. 


Personally I tak berapa gemar dengan Oka sebab watak yang dia selalu lakonkan bernada serious dan muka dia juga nampak berusia untuk digandingkan dengan Clara. Tapi tak sangka dengan mudah dia lakonkan babak kelakar sampai kita yang tengok juga terhibur. Macam tak percaya filem Ganjil Genap adalah filem romcom pertama Oka. Berbeza pula dengan Bara yang lebih kacak dan boyfriend material tapi minta putus dengan Gala hanya sebab dia dapat mimpi berkahwin dengan perempuan lain. 

Alur cerita yang bersifat straightforward dan senang difahami membuatkan naskhah Ganjil Genap tampak kuat dalam genre romantik komedi. Sinematografi dari Padri Nadeak juga buatkan suasana kota Jakarta nampak indah dalam dunia Gala-Bara-Dr. Aiman diiringi dengan music score yang tepat untuk beberapa babak. 


Filem terbitan MD Pictures mempunyai mesej self love di mana memaparkan perubahan Gala selepas putus cinta dengan Bara dan perkenalan dia bersama Dr. Aiman. Kalau dekat awal dia kelihatan seperti watak yang lemah tanpa Bara, di second half pula dia lebih yakin dan berani sebagai wanita bujang. Pendek kata filem Ganjil Genap adalah filem wajib tonton untuk peminat genre romantik komedi. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 9.5/10