SAKSIKAN ‘DIDI & FRIENDS RESCUE SQUAD’ SELAMATKAN PEKAN HOREY
Monday, 5 September 2022
Warnakala Studios dengan berbesar hati mengumumkan siri animasi kanak-kanak popularnya hasil usahasama dengan Astro, ‘Didi & Friends’ kembali dengan siri terbaharu ‘Didi & Friends Rescue Squad’ yang berkisarkan tentang keselamatan dan adiwira-adiwira.
Pengisian kandungan siri ini lebih padat dengan intipati pembelajaran awal bagi kanak-kanak tentang cara-cara untuk mengendali kecemasan serta sikap-sikap positif yang perlu dilakukan untuk menjaga keselamatan ketika berada dalam keadaan kecemasan. Musim baharu ini merangkumi 8 episod dan akan disiarkan di Astro Ceria (saluran 611) bermula pada 8 September ini.
Kejayaan siri lagu-lagu dan animasi 3D Didi & Friends yang bertemakan pelbagai jenis kenderaan penyelamat seperti ambulans, polis, bomba, helikopter dan kapal selam pada musim terdahulu telah mencetuskan sebuah konsep dan panduan untuk ‘Didi & Friends Rescue Squad’. Lagu-lagu ini telah mendapat banyak perhatian dan tontonan di platform penstriman Astro, On Demand dan dalam platform linear serta YouTube Didi & Friends dalam masa 2 tahun. Antara jumlah tontonan tersebut adalah :
i. Jumlah tontonan di platform penstriman Astro, On Demand:
Kereta Polis – 782 ribu tontonan
Ambulans – 977 ribu tontonan
Trak Bomba – 877 ribu tontonan
Helikopter – 940 ribu tontonan
ii. Jumlah tontonan di YouTube Didi & Friends Malaysia:
Kereta Polis – 26 juta tontonan
Ambulans – 17 juta tontonan
Trak Bomba – 9.7 juta tontonan
Helikopter – 8.3 juta tontonan
Susulan kejayaan ini, Warnakala Studios dan Astro telah mengembangkan tema ini menjadi sebuah siri spin-off terbaharu mereka, ‘Didi & Friends Rescue Squad’. Musim terbaharu ini juga merupakan permintaan daripada ibu bapa yang inginkan lebih kandungan berpandukan pendidikan dan pembelajaran di luar bilik darjah serta tinjauan daripada para penonton yang sukakan lagu-lagu bergenre wira yang memberi inspirasi kepada kanak-kanak.
Episod-episod siri terbaharu ‘Didi & Friends Rescue Squad’ memegang tema utama iaitu untuk mengajar kanak-kanak cara untuk mengelak diri daripada keadaan yang berbahaya dan kaedah untuk bertindak dengan tenang semasa kecemasan. Karakter kegemaran kanak-kanak ini termasuk Didi, Nana dan Jojo akan memakai kostum baharu yang menarik serta alatan-alatan seperti gajet, gear dan menaiki kenderaan untuk menyelamatkan dan mempertahankan warga Pekan Horey yang menghadapi pelbagai keadaan bahaya dan kemalangan. Dengan kata sepakat “Respon dengan Tenang, Susah Jadi Senang”, Didi dan rakan sekumpulannya akan sentiasa bersedia untuk mengharungi pelbagai pengembaraan, sama ada di darat, udara atau pun di laut.
Farah Fauzana Zainul Kamar, Pengurus Kandungan Kanak-Kanak Astro, berkata “Rata-rata kita dapat saksikan reaksi positif kanak-kanak terhadap francais Didi & Friends, di mana mereka mengenali karakter-karakter dan menghafal lagu-lagu daripada siri ini. Di sini kami nampak betapa pentingnya untuk Didi & Friends sentiasa menampilkan sesuatu yang baru selaras dengan perkembangan minda dan trend kanak-kanak zaman sekarang. Oleh itu, Didi Rescue Squad ditampilkan untuk menjadi inspirasi baharu mereka dengan harapan untuk menerapkan nilai-nilai murni berbuat baik dan sentiasa suka menolong orang di sekeliling, seperti seorang adiwira yang sebenar.”
“Reaksi positif yang kami telah terima daripada peminat-peminat salah satu lagu daripada Didi & Friends musim keempat iaitu Ambulans telah mendorong kami untuk menghasilkan siri terbaharu ‘Didi & Friends Rescue Squad’ ini. Kami percaya ini merupakan petunjuk bahawa para peminat Didi & Friends mahukan sesuatu yang berbeza, lantas siri yang bertemakan adiwira ini dihasilkan untuk menemui citarasa mereka. Kami yakin kanak-kanak yang meminati siri animasi ini akan menantikan perjalanan terbaharu Didi & Friends.” - Khairul Ammar Jamal, Ketua Pegawai Kandungan Warnakala Studios dan Pengarah Didi & Friends Rescue Squad
Hairulfaizalizwan Bin Ahmad Sofian, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios Sdn Bhd, pula berkata “Kami telah lama menulis dan mencipta lagu-lagu untuk Didi & Friends dan kali ini, kami memerlukan sesuatu yang baharu dan berbeza. Begitulah ‘Didi & Friends Rescue Squad’ telah terhasil. Kami percaya siri terbaharu ini bersesuaian dengan kanak-kanak di bawah umur enam tahun kerana ia mempunyai intipati yang boleh mengajar mereka tentang tingkah laku yang baik seperti membantu orang yang memerlukan dan banyak lagi. ‘Didi & Friends Rescue Squad’ akan pasti lebih menyeronokkan dan mendebarkan para penonton!”
Sempena musim terbaharu ‘Didi & Friends Rescue Squad’ ini, Didi & Friends telah berkolaborasi dengan Fire Fighter Industry Sdn Bhd, iaitu sebuah Syarikat Keselamatan Kebakaran No.1 di Malaysia. Misi mereka adalah “fireproof Malaysia” dan kolaborasi ini bertujuan untuk mendidik kanak-kanak tentang keselamatan kebakaran, di mana syarikat tersebut telah menghasilkan beberapa Alat Pemadam Api DRS edisi terhad yang juga kids-friendly untuk kanak-kanak.
Didi & Friends juga telah menganjurkan beberapa usaha untuk mempromosikan siri ini sebagai sebahagian daripada pengenalan kepada musim terbaharunya iaitu dengan pemberian Didi & Friends Rescue Box kepada selebriti-selebriti yang sudah bergelar ibu serta anak-anak mereka. Didi & Friends Rescue Box mempunyai beberapa barangan edisi terhad daripada ‘Didi & Friends Rescue Squad’ seperti alat pemadam api mesra kanak-kanak, pelitup muka edisi terhad, baju T-Shirt DRS dan juga kad perantis DRS. Setiap yang menerima kotak tersebut akan membuka dan memuat naik rakaman video “unboxing” mereka ke platform media sosial atau YouTube masing-masing.
Untuk aktiviti hujung minggu bersempena cuti sekolah pada bulan September ini, Didi & Friends akan menganjurkan sebuah kempen ‘Jom Kenali Didi & Friends Rescue Squad’ pada 9 hingga 11 September 2022 ini di Quill City Mall, Kuala Lumpur. Pelbagai aktiviti yang menarik termasuk Mini Muzikal Didi & Friends, kemunculan maskot dan penjualan barangan Didi & Friends pada harga istimewa akan diadakan untuk ibu bapa dan anak-anak cilik mereka bagi meluangkan masa bersama karakter-karakter Didi & Friends.
Siri animasi ‘Didi & Friends Rescue Squad’ ini akan ditayangkan bermula 8 September 2022, jam 3.00 petang secara eksklusif di Astro Ceria (saluran 611). Siri ini turut boleh distrim melalui platform On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Selain itu, siri animasi terbaharu ini juga boleh ditonton di Youtube Didi & Friends Malaysia setiap hari Khamis bermula 15 September ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai Didi & Friends, sila layari https://www.warnakala.com/