Dari Sudut Pandangan Golongan LGBT
Sunday, 22 July 2018
Sejak akhir-akhir ni memang banyak status dan beberapa entri
tentang golongan LGBT di Malaysia ni dan kebanyakannya berbaur kecaman dan
ketakutan dengan bala yang bakal menimpa. Dulu pun pernah juga gempar beberapa
kali tentang golongan ni dan sekarang kembali gempar kerana berubahnya tampuk
pimpinan negara yang bersifat lebih terbuka.
Golongan LGBT ialah golongan Lesbian, Gay, Bisexual dan
Transgender yang secara terang menyimpang dari kehidupan normal manusia dan
kontrak sosial masyarakat. Dalam kitab agama juga melarang keras perhubungan
sejenis yang wujud. Bukan setakat agama Islam sahaja tapi agama lain juga.
Bukan setakat bangsa Melayu sahaja yang menentang tapi bangsa yang lainnya juga
sama menentang secara lantang.
Tapi bukan ingin mengulas siapa dan betapa bahayanya
golongan ini sebab dah terlampau ramai yang menerangkan dan tanpa henti menaik
muat status dan kecaman di semua akaun media sosial. Tujuan entri ni cuma ingin
berkongsi pengalaman dan perkenalan bersama golongan mungkar ni.
Masa zaman awal remaja, sama juga seperti manusia lain
membenci, mengecam dan menghina golongan ni tapi bila kenal dan memahami
golongan ni, berhenti secara total dan lebih menghormati. Bukan disebabkan
sudah jatuh cinta ataupun mempunyai hubungan sejenis tapi disebabkan memahami
yang ini ujian mereka. Bersyukurlah kalian dilahirkan ‘normal’ dan mempunyai
iman tertinggi dalam kehidupan bermasyarakat.
Tak semua golongan LGBT bernafsu serakah hidup hanya mencari
lubang jubur atau kepuasan seks semata. Ada yang cuma ingin hidup penuhi impian
seperti manusia normal yang lain. Pernah kenal dengan seorang imam gay. Memang
tak boleh terima macam mana imam yang mengamal dan menghafal surah-surah yang
melaknat manusia seperti dia boleh terjebak dengan kehidupan tersebut. Katanya
ini ujian Tuhan dan tak pernah sekalipun dia berhenti berdoa supaya mengubah
hidupnya yang satu ni.
Ada juga kenalan gay yang baik budi pekerti, jauh lagi baik
dari manusia normal. Walaupun dia dalam golongan tu, hidup dia tak pernah
berpaksikan nafsu dan tak pernah pula dia mendorong sesiapa untuk hidup seperti
dia. Dia hanya hidup dengan cara dia, suka membaca, suka mengembara dan minat
dengan fotografi.
Sedih bila baca golongan ni ditindas, dianiaya, dipukul dan
ada juga yang dibunuh hanya kerana jalan cerita hidup agak berbeza dengan
manusia normal. Ada yang taknak dedahkan identiti sebenar tapi penat dengan
desakan untuk berkahwin lantas memilih untuk berterus-terang. Sudahnya dibuang
keluarga, dihalau keluar rumah walhal niat di hati tak ingin lukakan hati bakal
pasangan.
Betul, golongan ini membawa bahaya baik dari segi dosa dan
masalah sosial tapi adakah dengan membenci, memukul atau membunuh akan
selesaikan masalah? Betul, ada yang saja mencuba untuk ikut trend dan
mempermainkan agama seperti pengasas kosmetik terkenal tapi yang bersifat ini
harus dikecam dan dibenci dan bukan yang ingin hidup seperti manusia lain.
Bukan setakat berkelakuan negatif terhadap golongan ni, tapi
berfikiran negatif juga agak memalukan bila ramai yang hentam keromo berkongsi
fakta yang salah.
Berhenti memalukan diri sendiri dan mula menghormati juga
kekurangan manusia lain. Dan tak semestinya yang menghormati tu menyokong
tindakan golongan ni. Tidak menggalakkan dan tidak pula membenci sehingga perlunya
provokasi ke arah keganasan.
Pernah juga ada yang menyindir nanti kahwin lah dengan kaum sejenis sebab tak sehaluan dengan yang sentiasa mengecam. Last time I checked, my partner is a man and straight. Like I said earlier, tak bermaksud menghormati tu menyokong tindakan tersebut tapi tak pula membenci sehingga perlu mengganas.
Anehnya suara-suara lantang ni hanya lantang apabila isu perkauman dan golongan ni tapi tak pula lantang untuk isu pemimpin berjoli dengan duit rakyat, isu-isu rasuah, isu-isu produk berbahaya ataupun isu pedofil yang semakin ramai di Malaysia walhal isu-isu ni menganiaya manusia lain. Boleh pula suara-suara lantang ni mengambil langkah untuk berdoa supaya manusia-manusia ni berubah dan mendapat hidayah. Aneh.
Cukup kita kuatkan iman sendiri dan bataskan diri
dari terjebak. Berperang dengan nafsu memang susah untuk menang tapi tak layak
kita berlagak menghukum seperti Tuhan tambah pula dosa yang tak menganiaya
manusia lain, dosa yang tertutup hanya dia dan Pencipta yang tahu. We sinned differently.