KOLABORASI HEBAT AYU DAMIT DAN EMEER BAKRI DALAM ‘CUKUP KITA’
Thursday, 17 April 2025
KOLABORASI HEBAT AYU DAMIT DAN EMEER BAKRI DALAM ‘CUKUP KITA’ | Runut Bunyi Drama Calon Isteri Buat Suami Di TV3
Bila cinta tak lagi cukup untuk mempertahankan segalanya, maka lepaskanlah walau hati masih berharap. Inilah denyut emosi yang diangkat menerusi lagu Cukup Kita, nyanyian duet Ayu Damit dan Emeer Bakri, yang kini menjadi runut bunyi (OST) untuk drama terbaharu slot Akasia TV3, Calon Isteri Buat Suami.
Menyentuh tentang setia yang dikhianati dan janji yang tidak ditepati, lagu ini mengalir sebagai suara hati mereka yang pernah terluka dalam cinta. Dengan gabungan balada moden, string sinematik dan harmoni vokal yang mendalam, Cukup Kita hadir bukan sekadar sebagai OST, tetapi sebagai luahan rasa yang mencerminkan retaknya sebuah hubungan.
Menurut pencipta lagu dan penulis lirik, Amsyar Sabri dan Emeer Bakri, idea asal hadir sewaktu mereka sedang mendengar lagu-lagu Inggeris yang berunsur pop balada moden. Mereka sedar genre sebegitu sudah lama tidak diketengahkan di Malaysia, lantas terinspirasi untuk mencuba pendekatan serupa, dengan sentuhan yang dekat di hati pendengar tempatan.
“Keunikan lagu ini terletak pada genre yang jarang diterbitkan di Malaysia, dengan sentuhan rock yang dimasukkan pada bahagian bridge dan selebihnya. Proses penciptaan melodi dan demo hanya mengambil masa sehari, sementara keseluruhan lagu siap dalam tempoh dua minggu. Namun, yang paling bermakna bagi saya adalah dapat berkolaborasi bersama Kak Ayu, seorang legenda dengan vokal yang begitu dikenali dan berkuasa,” jelas Emeer Bakri.
Ayu Damit, yang kini tampil dengan single keempat bersama Alternate Records, menyifatkan Cukup Kita sebagai sebuah karya yang istimewa hasil kolaborasi yang cukup serasi. “Emeer seorang yang sangat kreatif dan senang bekerjasama, proses rakaman pun berjalan lancar. Cukup Kita menyatukan kekuatan vokal kami dalam sebuah lagu yang mudah diingati, penuh emosi dan sarat mesej,” ujar beliau yang mengambil masa dua sesi untuk melengkapkan rakaman.
Drama Calon Isteri Buat Suami baru sahaja mula bersiaran pada 8 April lalu, namun sudah pun mencuri perhatian ramai dengan kisah penuh konflik dan emosi. Menariknya, beberapa elemen dalam lirik lagu Cukup Kita turut diinspirasikan daripada jalan cerita drama ini. Bagi yang mengikuti kisah Nazim dan Haizi, lagu ini pasti memberikan resonansi yang lebih mendalam kerana ia menggambarkan dilema serta cabaran yang mereka hadapi dalam perjalanan cinta dan hubungan yang penuh dugaan.
Teruskan strim Cukup Kita di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube, dan banyak lagi. Saksikan juga drama Calon Isteri Buat Suami yang menampilkan gandingan barisan pelakon hebat seperti Siti Hariesa, Jazmy Juma, dan Trisha Ooi, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3.
Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.
************************************
Mengenai Alternate Records & Talents
Alternate Records & Talents merupakan sebuah agensi mencungkil bakat muzik dan lakonan bakat yang mantap dan serba boleh. Ditubuhkan pada tahun 2006, Alternate Records and Talents (dahulunya dikenali sebagai Monkeybone) telah meningkatkan industri hiburan dan artis berasaskan muzik di Malaysia dengan mempamerkan portfolio luar biasa dengan bakat bakat memenangi anugerah, muzik yang menduduki carta teratas, Pemilikan IP dan banyak pengedaran. Artis mereka berjaya secara komersial telah menjadi trend di YouTube, Twitter dan Tiktok dan sebagainya.