Showing posts with label Media Prima. Show all posts
Showing posts with label Media Prima. Show all posts

DARI KUIH TRADISIONAL KE LAYAR PERAK

Thursday, 24 April 2025

DARI KUIH TRADISIONAL KE LAYAR PERAK | TEROKAI FAKTA MENARIK 6 JILAKE YANG PASTI BUAT ANDA TAK SABAR MENONTONNYA!

6 Jilake bukan sekadar hiburan ringan, tetapi sebuah naskhah unik yang membuktikan filem tempatan mampu menyerlah dengan keaslian budaya dan sentuhan sinematik segar. Diilhamkan daripada sejarah sebenar Perak abad ke-18, filem ini membawa penonton ke zaman penjajahan Belanda yang cuba menguasai perlombongan bijih timah, dengan konflik dan watak yang diangkat berdasarkan suasana politik dan budaya Melayu ketika itu.

Dengan penampilan barisan pelakon utama yang cukup hebat dan berpengalaman seperti pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 35, Bell Ngasri, pelawak legenda tanah air, Saiful Apek, Pelakon Pembantu Terbaik AIFFA, Amerul Affendi, Asmidar, Kazar Saizi, Kamarool Hj Yusof, Jalil Hamid, Wan Raja, Mamak Puteh dan Wan Gegau, menjadikan naskhah ini sarat dengan kombinasi lakonan bertenaga, elemen komedi dan drama yang penuh warna.

Ini dia beberapa fakta menarik yang wajib anda tahu tentang filem 6 Jilake: 

1. Mengangkat Martabat Kuih Tradisional Melayu

Apa yang benar-benar membezakan 6 Jilake adalah kreativiti luar biasa dalam pemilihan nama-nama watak. Setiap ahli kumpulan utama diberi nama kuih tradisional Melayu, Pulut Panggang, Kole Kacang, Badak Berendam, Tatnanas, Bingka Ubi, dan Nagasari. Selain mencetuskan senyum, nama-nama ini secara simbolik mencerminkan keunikan personaliti setiap karakter. Pendekatan ini bukan sahaja menyuntik elemen jenaka yang segar, malah secara tidak langsung menjadi penghormatan kepada warisan kulinari Melayu yang kaya dan berwarna-warni.

2. Aksi pertarungan yang digarap dengan elemen seni silat dan senjata tradisional Melayu

Dari segi aksi, 6 Jilake bukan calang-calang filem. Ia menyajikan pertarungan yang penuh gaya, diinspirasikan oleh seni silat dan senjata tradisional seperti Kayu Selengan Kembar, Tekpi, dan Nanchaku Tahi Besi 1000 Tahun. Koreografi pertarungan dipersembahkan secara dramatik, tetapi tidak keterlaluan, menjadikannya mudah dihayati penonton pelbagai lapisan umur. Unsur seni mempertahankan diri ini bukan sekadar tambahan, malah menjadi teras penting dalam membina identiti filem ini.

3. Komedi bergaya tempatan, masak ranum dengan rasa asli Malaysia

Walaupun bertemakan perjuangan dan penindasan, elemen komedi dalam filem ini tetap menonjol. Gabungan lawak fizikal, permainan kata, dan situasi yang mencuit hati menjadikan 6 Jilake sebuah filem aksi-komedi yang ‘masak ranum’. Ia tidak terlalu serius, tetapi cukup menyengat untuk menyampaikan mesej dan hiburan secara seimbang. Ini menjadikannya sesuai untuk tontonan seisi keluarga, sesuatu yang jarang ditemui dalam genre aksi tempatan.

4. Watak antagonis diberikan sorotan utama pada awal penceritaan

Tambahan lagi, 6 Jilake juga mengambil pendekatan berani dari segi struktur naratif dengan memperkenalkan watak antagonis secara mendalam sebelum kemunculan penuh watak hero. Kaedah ini menambahkan ketegangan dan memperkayakan penceritaan, memberi ruang kepada penonton untuk memahami sisi gelap sebelum menyaksikan kemunculan harapan.


5. Naskhah penuh identiti dari Aziz M. Osman, digerakkan oleh tenaga baharu Eartistic Entertainment

Di sebalik semua keunikan ini, berdirilah nama besar dalam industri perfileman tanah air, Aziz M. Osman sebagai pengarah, disokong oleh penerbitan Eartistic Entertainment, sebuah syarikat produksi baharu yang diterajui oleh Dr. Shasa Aziz. Gabungan antara pengalaman dan semangat baharu ini mencetuskan nadi sinematik yang segar untuk industri filem Malaysia.

Jangan tunggu lagi! Segera ke pawagam berhampiran anda dan saksikan filem 6 Jilake yang akan mula menemui penonton pada 24 April 2025 di pawagam terpilih seluruh Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman epik zaman dahulu yang penuh dengan aksi dan budaya!