Showing posts with label Amazon Prime Video. Show all posts
Showing posts with label Amazon Prime Video. Show all posts

Prime Video Kini Di Astro Ultra Dan Ulti Box

Thursday, 24 April 2025

Prime Video Kini Di Astro Ultra Dan Ulti Box | Nikmati akses 2 bulan tanpa caj tambahan ke Prime Video untuk semua pelanggan Ultra dan Ulti Box bermula 24 April hingga 23 Jun 2025

Astro, peneraju hiburan dan kandungan di Malaysia, bersama Amazon, peneraju global dalam penstriman hiburan, hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan pelancaran aplikasi Amazon Prime Video di Astro Ultra dan Ulti Box. Kolaborasi ini menjanjikan pengalaman penstriman tanpa batas dengan menggabungkan filem dan siri popular dari Prime Video bersama kandungan Astro yang pelbagai.

Kerjasama ini turut membuktikan komitmen kolektif Astro dan Amazon dalam membawakan kandungan global terbaik kepada pelanggannya. Dengan mengintegrasi aplikasi Prime Video terus ke dalam Astro Ultra dan Ulti Box, pelanggan boleh mendapat akses mudah kepada pelbagai kandungan hiburan – daripada Amazon Originals yang diiktiraf, ke filem pecah panggung, sehinggalah siri TV kegemaran ramai - semuanya melalui platform Astro. Semua pelanggan Astro dengan Ultra atau Ulti Box boleh mengaktifkan akses dua bulan Prime Video tanpa caj tambahan bermula 24 April sehingga 23 Jun 2025*, dengan penjimatan sebanyak RM50.

Euan Smith, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Astro, berkata, “Kami amat teruja dapat bekerjasama dengan Amazon untuk membawakan Prime Video ke Ultra dan Ulti Box. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menawarkan kandungan berkualiti tinggi dan pelbagai di satu platform.  Dengan menawarkan akses mudah ke kandungan Prime Video berserta kandungan sedia ada kami dan on-demand, kami menawarkan pelanggan pilihan dan nilai terbaik, semuanya menerusi akses Ultra atau Ulti box mereka. Kerjasama ini meningkatkan lagi komitmen Astro untuk bukan sekadar memberi yang terbaik tetapi juga memudahkan pengalaman hiburan pelanggan.”

David Simonsen, Pengarah Amazon Prime Video bagi Asia Tenggara & MENA, berkata, “Matlamat kami adalah untuk memberikan pengalaman tontonan terbaik, dan melalui integrasi Prime Video ke dalam ekosistem Astro, kami memastikan pelanggan boleh mengakses rancangan dan filem kegemaran mereka dengan lebih mudah di pelbagai peranti, meggariskan obsesi kami dalam membawa keselesaan dan kualiti kepada penonton. Dengan kerjasama ini, penonton kini boleh menikmati pilihan kandungan yang lebih luas dari Prime Video Originals seperti Lord of The Ring: The Rings of Power, The Boys, Mirzapur, drama popular seperti Marry My Husband, dan Reacher serta produksi tempatan seperti Budak Flat.”

Pelanggan Astro kini boleh menikmati pelbagai pilihan filem Hollywood, Korea, tempatan dan serantau, siri TV, serta Prime Video Originals, semestinya ada sesuatu untuk semua. Kandungan yang ditawarkan oleh Prime Video telah mendapat sambutan popular di Malaysia menerusi Amazon Originals seperti G20, You’re Cordially Invited, The Idea of You, Fallout, dan The Boys telah melakar kejayaan luar biasa. Produksi tempatan seperti Kayangan, HOUSEKEEPING?, That Cover Girl, Budak Flat dan Tebus, juga mendapat sambutan pelanggan tempatan, mengangkat penceritaan dan bakat Malaysia. Tambahan itu, kandungan popular dari Korea, termasuk The Divorce Insurance, Marry My Husband, Newtopia, dan kandungan popular dari India dan Indonesia seperti Mirzapur dan Induk Gajah turut menjadi kegemaran ramai.

Pelanggan Astro dengan Ultra atau Ulti Box boleh mengaktifkan akses dua bulan Prime Video tanpa caj tambahan dengan menekan butang “Home” pada alat kawalan Astro mereka dan pilih aplikasi Prime Video di bahagian “Apps”. Kemudian, pelanggan boleh mengikuti langkah di skrin untuk mendaftar akaun Amazon Prime dan mengimbas kod QR untuk memaut Ultra atau Ulti Box mereka ke akaun Amazon Prime mereka. Setelah selesai, pelanggan boleh terus menonton kandungan ekslusif Prima Video dengan mudah.

Astro juga menawarkan fleksibiliti untuk menyesuaikan pek langganan anda dengan penambahan lebih 13 aplikasi penstriman popular, termasuk Prime Video, Max, Netflix, Disney+ Hotstar, Viu, iQIYI, WeTV, Zee5, Simply South dan banyak lagi. Pelanggan boleh mengurus dan mengubah langganan Astro mereka pada bila-bila masa menerusi aplikasi My Astro, termasuk mengemaskini pek, menukar penambahan dan servis penstriman atau memilih penambahan lain pada bila-bila masa.

Langgan Pek Astro One dengan hanya RM49.99/sebulan. Strim Senang Hati, Hiburan Tanpa Henti Untuk Seisi Keluarga. Tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan dengan hanya RM139.99/sebulan. Untuk melanggan atau menaik taraf ke Astro One, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ‘Hi’ ke 03 9543 3838.

*Tertakluk kepada terma dan syarat. Durasi promosi tertakluk kepada Astro.

Tebus Angkat Prinsip, Harga Diri Manusia

Friday, 1 September 2023

Duit memberi definisi yang pelbagai oleh setiap manusia. Ada yang hidup mewah kerana duit malah tidak kurang yang masih bermati-matian bekerja untuk hanya mencari duit untuk digunakan sehari-harian.

Meski ‘si kaya’ mahupun ‘si miskin’, selagi namanya sebuah kehidupan, memiliki duit adalah satu keperluan untuk kelangsungan hidup.

Tetapi adakah setiap manusia menggunakan ‘jalan’ yang ‘lurus’ dan betul untuk mendapatkan duit? 

Barangkali isu inilah yang sangat signifikan dan mahu diangkat oleh Jason Chong lewat naskhah terbaharu arahannya, Tebus dan diedarkan oleh MyContent Distribution. 

Tebus yang dibawakan oleh Vian Media Sdn Bhd ditunjangi oleh bintang hebat tanah air iaitu Aedy Ashraf, Azhan Rani, Jay Iswazir dan Marisa Yasmin.

Bersama mereka, pendatang baharu yang semakin meningkat naik, Ahirene Ahirudin dan Idan Aedan menyuntik kelainan dan sesuatu yang segar dalam karya hasil tulisan Sky Khor.

Ia bukan sembarangan naskhah meski masih mengangkat tema kehidupan masa kini. Tebus memiliki sesuatu yang unik dan mampu membuat audiens berfikir setelah menontonnya.

“Satu perkara yang tidak boleh dinafikan kita kini hidup dalam dunia yang penuh konflik. Sama ada ia peperangan antara negara, skandal tanpa penyudah dan perebutan kuasa namun tanpa disedari kita juga secara peribadi berdepan dengan konflik yang ‘membunuh’ jika tidak dikendalikan dengan baik.

“Tebus akan menjadi sebuah naskhah yang mengajak kita berfikir bahawa manusia boleh berubah kerana banyak perkara sama ada ia baik atau buruk.

“Dan duit adalah antara faktor utama yang merubah manusia. Kenapa saya katakan begitu? Anda akan menemui jawapannya di dalam Tebus,” ujar Jason Chong yang juga merupakan  Penerbit Eksekutif Tebus.

Mengangkat kisah tentang seorang pengawal keselamatan, Johan yang telah menculik pewaris barangan kemas, Ana untuk mendapatkan jantung di pasaran gelap bagi membantu adiknya, Jalil.

Kerana terdesak Johan melakukan perbuatan jahat tersebut namun perancangannya tidak berjalan lancar apabila Bakar (bapa tiri Ana) tidak mahu membayar walau satu sen pun hasil penculikan tersebut.

Berdasarkan situasi tersebut, Tebus yang berdurasi 114 minit membawa penonton masuk ke dalam dunianya yang penuh dengan aksi, kasih sayang, kemanusiaan, empati dan berkenalan dengan ‘dunia gelap’ yang sentiasa menanti untuk menjerumuskan seseorang ke dalam kemusnahan.

Menurut calon Pengarah Terbaik dari Festival Filem ke-23 ini, pemilihan barisan pelakon seperti Aedy yang digabungkan bersama Idan dan Ahirene adalah sebuah keputusan yang tepat setelah melihat hasil kerjasama mereka di layar skrin.

“Seperti kita ketahui Aedy Ashraf adalah seorang aktor yang baik dan mampu memainkan apapun peranan yang diberikan kepadanya. Walaupun dia perlu bekerja dengan pemain baharu dalam industri, chemistry di antara mereka pantas tercetus. Dan Ahirene menepati kriteria Tebus yang memiliki unsur aksi dan romantik, begitu juga sifat spontan yang ada dalam diri Idan menghidupkan naskhah ini dengan sangat baik,” kata Jason Chong.

Tebus yang menjalani penggambaran 100 peratus di Kuching, Sarawak dijangka menemui penonton pada 31 Ogos di Prime Video dan boleh ditonton di seluruh Asia Tenggara. Langganan Prime berharga RM25 di Malaysia dan penonton boleh melanggan secara percuma selama 7 hari untuk menonton filem Tebus.

Filem ini dihasilkan dengan Bantuan Kewangan oleh Film in Malaysia Incentive (FIMI)  dan rebat tunai (cash rebate) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Jangan terlepas menyaksikan Tebus edaran MyContent Distribution ini kerana menerusi naskhah ini anda akan menemukan erti menjalani kehidupan dengan keputusan paling tepat agar ia menjadi sebuah kembara yang sangat bermakna.