GABUNGAN THRILLER, SERAM, AKSI DAN ELEMEN SUPERHERO,‘QODRAT 2’ TONJOLKAN PERTARUNGAN LEBIH DAHSYAT | ‘Filem Seram Terbaik Indonesia Tahun Ini Bersedia Menghantui Penonton Malaysia Bermula 17 April 2025’
Selepas melakar kejayaan di Indonesia, kini perjuangan Qodrat 2 bakal disaksikan oleh penonton Malaysia di pawagam seluruh negara bermula 17 April ini menerusi kerjasama dengan Astro Shaw.
Filem Qodrat 2 menjadi filem seram yang cukup besar di Indonesia kerana melibatkan beberapa produksi berpengaruh dalam proses pembikinannya seperti MAGMA Entertainment, Rapi Films, Legacy Pictures, Astro Shaw, Ideosource Entertainment, Virtuelines Entertainment, Caravan Studio, dan Beacon Films.
Filem box office Indonesia ini berjaya menerima 72,377 penonton pada hari pertama pembukaan tayangan iaitu hari Lebaran 31 Mac lalu menerusi lebih 400 pawagam. Sehingga kini Qodrat 2 menerima melebihi 2 juta penonton.
Filem ini mempersembahkan hasil produksi dan skala penceritaan lebih besar dengan menggabungkan elemen aksi, thriller, seram, superhero dengan tema keagamaan. Ini sekali gus membezakan Qodrat 2 dengan filem klise seram Indonesia yang lain.
Tanpa babak ‘jumpscare’ yang berlebihan, Qodrat 2 akan membuatkan penonton terpesona dengan koreografi adegan pertarungan, penggunaan kesan khas yang menjadikan iblis Asu’ala nampak begitu menyeramkan, serta emosi yang menyentuh perasaan di antara ustaz Qodrat lakonan hebat Vino G. Bastian dan watak baru dalam sekuel ini iaitu Azizah lakonan mantap Acha Septriasa.
Filem Qodrat pertama memberi tumpuan kepada kesedihan Qodrat, serta imannya yang goyah selepas gagal menyelamatkan anaknya. Manakala Qodrat 2, dibuka dengan perspektif berbeza, di mana kali ini penonton dibawa menyaksikan kisah dari sudut pandang isteri Qodrat iaitu Azizah, pada detik yang sama ketika Qodrat sedang berusaha menyelamatkan anak mereka.
Qodrat mencari Azizah yang mengalami depresi selepas isterinya itu menyerahkan keimanannya kepada syaitan Asu’ala demi menyelamatkan anak mereka. Apabila Azizah keluar dari rumah sakit jiwa dan mula bekerja di sebuah kilang fabrik misteri, Qodrat tekad ingin menyelamatkan Azizah meskipun berdepan dengan perangkap iblis.
Qodrat 2 turut menandakan kemunculan semula Acha Septriasa selepas lama tidak tampil di layar perak. Lebih mengujakan, filem ini juga menemukan semula Acha dan Vino selepas 17 tahun berganding dalam sebuah naskhah romantik drama. Antara pelakon lain yang menjayakan filem arahan Charles Gozali ini ialah Donny Alamsyah, Della Dartyan, Hanna Saraswati, Septian Dwi Cahyo dan ramai lagi.
Penerbit Eksekutif Qodrat 2 merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Filem Qodrat 2 membawa aras baharu dalam penghasilan filem seram, di mana penceritaan yang dipersembahkan tidak bergantung semata-mata pada elemen seram dan kejutan, tetapi diseimbangkan dengan adegan aksi ala superhero, emosi dan unsur agama, seterusnya memberi ruang kepada watak dan tema filem untuk diketengahkan. Formula ini telah diterima baik oleh penggemar filem di Indonesia, dan ia dibuktikan dengan pencapaian jumlah box office di sana. Kami mengharapkan reaksi positif itu turut memberi keterujaan serta pengalaman berbeza buat penonton di Malaysia.
Dalam pada itu, kami berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi dengan MAGMA Entertainment dalam meneruskan legasi Qodrat. Ini juga mencerminkan komitmen Astro Shaw sebagai rakan strategik dalam memperkukuh kolaborasi rentas negara dan menyokong penghasilan kandungan serantau yang berkualiti tinggi. Usaha ini juga selari dengan misi Astro Shaw untuk terus meneroka peluang kerjasama dan memperluas pilihan kandungan yang relevan serta menghiburkan kepada penonton Malaysia.”
Menurut Penerbit Filem Qodrat 2, Linda Gozali Arya berkata, “Qodrat 2 bukan hanya lanjutan dari filem seram yang mempunyai unsur agama paling berjaya di Indonesia, tetapi juga memberi penonton sebuah pengalaman spiritual dan sinematik yang lebih dalam dan besar. Kami rasa bangga dapat mempersembahkan karya ini kepada penonton Malaysia, yang kami percaya mempunyai budaya dan semangat yang sama. Kami harap penonton di Malaysia dapat merasakan kekuatan cerita dan energi luar biasa daripada filem ini.”
Terdahulu, Qodrat pertama berjaya mencatat kejayaan luar biasa dengan menerima lebih 1.7 juta penonton di Indonesia dan kutipan box office mencecah IDR60 bilion (USD 5.3 juta). Lebih membanggakan, Qodrat turut berjaya merasuk di pawagam-pawagam negara luar seperti Malaysia, Singapura, Kemboja, Myanmar, dan Vietnam. Tayangan filem ini di Malaysia yang dipasarkan oleh Astro Shaw, turut meraih kutipan RM6 juta.
Saksikan filem Qodrat 2 di pawagam bermula 17 April ini. Gunakan #Qodrat #FilmQodrat2 #Qodrat2MY di media sosial untuk berkongsikan pendapat tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta info menarik tentang Qodrat 2 di platform digital Astro Shaw.
Ok, nanti nak tonton dan hayati!
ReplyDelete