“BARA JIWA” NYANYIAN AZLAN TYPEWRITER & MUZZA VELVETTONES DIPILIH SEBAGAI LAGU TEMA RASMI FILEM BLOOD BROTHERS

Monday, 14 April 2025

Lagu rock balada epik berjudul “Bara Jiwa”, hasil gandingan mantap antara Azlan Typewriter dan Muzza VELVETTONES, telah diumumkan secara rasmi sebagai lagu tema bagi filem aksi debaran Blood Brothers: Bara Naga, arahan duo pengarah hebat Abhilash Chandra dan Syafiq Yusof. 

Dibintangi oleh barisan pelakon terkemuka tanah air seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson dan ramai lagi, filem ini menyorot kisah dunia pengawal peribadi elit yang penuh dengan pengkhianatan, pertempuran dan ikatan persaudaraan yang diuji. Lagu “Bara Jiwa” menghidupkan semangat naratif ini melalui lirik puitis dan melodi dramatik yang selari dengan perjalanan emosi serta aksi dalam filem. 

Blood Brothers: Bara Naga mengisahkan Ariff (lakonan Syafiq Kyle), seorang pengawal peribadi yang difitnah dan terpaksa mencari semula abangnya yang telah lama menghilang, Jaki (Syazwan Zulkifly), demi membuktikan kebenaran. Dihambat pula oleh bekas sahabat karibnya sendiri, Ghaz (Sharnaaz Ahmad) – ketua pasukan “Blood Brothers” – Ariff terjerat dalam konflik dalaman, pengkhianatan dan perjuangan yang menggoncang jiwa. Seiring dengan naratif ini, “Bara Jiwa” muncul sebagai suara batin watak-watak utama – membara dengan maruah, semangat dan dendam. Kor lagu seperti “Bara... Jiwa... Menyala...” menjadi gema yang mewakili jiwa mereka yang enggan tunduk walau dihimpit ujian.

Bagi Azlan Typewriter, projek “Bara Jiwa” merupakan salah satu kolaborasi yang paling menarik pernah dijayakannya. Menurut beliau, sudah sekian lama beliau tidak berduet dengan penyanyi lelaki, dan pengalaman bekerjasama dengan Muzza disifatkan sebagai sesuatu yang segar dan penuh karisma. Muzza, katanya, tahu dengan jelas apa yang dimahukan dalam sesebuah karya, menjadikan kerjasama ini berjalan sangat lancar. 

Proses rakaman lagu ini juga sangat pantas – hanya mengambil masa sekitar satu jam. Ini kerana kedua-dua penyanyi telah menerima demo awal dan membuat persediaan yang cukup rapi. Setiap daripada mereka tahu bahagian masing-masing, sekali gus mempercepatkan keseluruhan proses rakaman. Azlan turut memuji kualiti produksi lagu ini yang dianggap berada pada tahap tertinggi, hasil kerja ramai individu berbakat di sebaliknya. 

Azlan menyuarakan harapannya agar “Bara Jiwa” bukan sahaja diterima baik oleh pendengar, malah mampu membawa genre rock ke satu tahap yang lebih tinggi. Beliau juga terbuka untuk bekerjasama lagi dengan Muzza pada masa hadapan, sekiranya ada rezeki dan peluang lain yang sesuai. 

Sementara itu, Muzza VELVETTONES – seorang komposer, penyanyi dan gitaris yang dikenali dengan sentuhan emosional dalam setiap karya – menganggap “Bara Jiwa” sebagai karya istimewa yang dicipta sepenuhnya berdasarkan jalan cerita dan emosi utama dalam filem Blood Brothers: Bara Naga. Muzza mengangkat tema pengorbanan, perjuangan, persaudaraan dan konflik dalaman sebagai inspirasi utama dalam pembikinan lagu ini, dengan harapan dapat menterjemah jiwa watak-watak filem ke dalam bentuk muzik yang mendalam. 

Beliau turut memuji Azlan atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang proses rakaman. Azlan bukan sahaja memahami intipati lagu ini, tetapi berjaya menyampaikannya dengan penuh emosi sehingga memberi nyawa kepada karya tersebut. 

Dari segi muzik, Muzza memilih pendekatan rock balada dengan elemen sinematik untuk menyesuaikan mood dan intensiti filem. Proses pembikinan mengambil masa kira-kira dua bulan, merangkumi penulisan lirik, susunan muzik, rakaman vokal, serta proses mixing dan mastering yang teliti. 

Muzza berharap “Bara Jiwa” mampu memberikan impak emosi yang mendalam kepada penonton dan pendengar, dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi antara industri muzik dan perfileman tempatan pada masa akan datang.

Sejak dilancarkan, “Bara Jiwa” telah mencipta fenomena di platform TikTok dengan lebih 2.4 juta tontonan, membuktikan sambutan hangat dari peminat yang berkongsi momen- momen dramatik dan inspirasi bersama lagu ini. KINI BOLEH DISTRIM DI SEMUA PLATFORM : “Bara Jiwa” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama. 

Lirik video rasmi yang menampilkan babak-babak eksklusif dari filem Blood Brothers: Bara Naga telah dilancarkan pada 14 Mac 2025.


LIRIK LAGU BARA JIWA

Artis: Muza & Azlan Typewriter
Komposer: Muzza
Lirik : Muzza & Nana
Produced : Muzza & Johan John
Ost Filem: Blood Brothers

MUZZA
Bermula sebuah, Kisah Bara Naga,
Di dunia gelap gelora,
Semangat diuji, jiwa ditakluki,
Kini dendam membara…

LAN
Di dalam perjalanan, di setiap persimpangan,
Harungi dengan penuh dugaan,
Semua dilalui, bersama ditempuhi,
Semangatkan satu jiwa…

[Chorus]
MUZZA
Bara,
Membara di jiwa,
Bukti ikrar sejati,
Demi satu kuasa…
LAN
Ikatan abadi,
Setia hingga ke mati, 
Ku teguh berdiri…

CHOIR
Bara…
Jiwa….
Bara….
Menyala…
Bara…
Jiwa…
Aaaaa…
 
Guitar Solo
 
MUZZA
Bara,
Membara di jiwa,
Bukti ikrar sejati,
Demi satu kuasa…
Ikatan abadi,
Setia hingga ke mati,
Ku teguh berdiri…

LAN 
Bara,
Membara di jiwa, 
Bukti ikrar sejati,
Demi satu kuasa… 
Ikatan abadi, 
Setia hingga ke mati,
Ku teguh berdiri… 

MUZZA
Bara…
Jiwa…
Menyala…

LAN
Bara…
Naga…
Membara…
 
MUZZA
Naga…
Bara…
Membara…

LAN
Bara…
Jiwa…
Ahhhhh…

MUZZA
Menyala…


TENTANG SONY MUSIC ENTERTAINMENT
Di Sony Music Entertainment, kami menghormati perjalanan seni. Para pencipta kami membentuk perubahan, budaya, komuniti dan sejarah. Kami telah memainkan peranan penting dalam sejarah muzik. Perjalanan kami bermula dari menubuhkan syarikat rakaman muzik pertama sehingga mencipta rakaman cakera padat. Kami telah membimbing ramai artis ikonik dalam dunia seni muzik dan menerbit beberapa buah rakaman yang berpengaruh sepanjang zaman. Sony Music Entertainment kini mempunyai lebih dari 100 cawangan syarikat di seluruh dunia untuk menyokong pelbagai pencipta yang berbakat pada setiap peringkat serta di setiap pentas persembahan. Di samping muzik, hiburan dan
teknologi, kami juga membawa imaginasi, kepakaran kepada platform dan model perniagaan yang baharu serta peluang untuk menembusi pasaran luar. Semua usaha ini adalah untuk menyokong eksperimen, pengambilan risiko dan kemajuan komuniti kreatif. Sony Music Entertainment telah menerapkan prinsip perkongsian yang mendalam, kepercayaan, punca yang berasas bagi meningkatkan dan memperkuatkan masyarakat di seluruh dunia. Sony Music Entertainment adalah sebahagian daripada keluarga global Sony.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.