INTEL ALERT! NEONIMUS MENGGEMPURKAN TRAILER RASMI #1 EJEN ALI THE MOVIE 2!

Thursday, 27 March 2025

INTEL ALERT! NEONIMUS MENGGEMPURKAN TRAILER RASMI #1 EJEN ALI THE MOVIE 2! | 300K Tontonan Di YouTube & 1.3 Juta Di TikTok Dalam Tempoh Kurang 24 Jam!

Satria Bangkit! Peminat Ejen Ali kini boleh mula merasai kehangatan ancaman baharu Neonimus dengan pelancaran treler rasmi #1 Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) di saluran YouTube dan platform media sosial Ejen Ali pada 25 Mac, jam 3.00 petang! Kini anda semua boleh mula menghitung hari kerana filem sekuel yang dinanti-nantikan ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada Mei 2025. Siap sedia untuk misi yang lebih mendebarkan, visual lebih hebat, dan kisah penuh emosi yang pasti akan memukau penonton!  


Treler Rasmi #1 ini memberi gambaran awal tentang perkembangan baharu di Cyberaya  yang bakal  menguji kemahiran, kesetiaan dan persahabatan Ali pada tahap maksimum. Hal ini adalah ekoran ancaman Neonimus, seorang penggodam misteri yang ingin mencetuskan kekecohan di Cyberaya, Ali perlu menguasai sut SATRIA dengan segera demi misi untuk melindungi kota futuristik ini. Pada masa yang sama, Ali juga berhadapan dengan perubahan dinamik persahabatannya bersama Alicia, yang kini diberikan peranan baharu sebagai pemakai IRIS. 

Dalam masa yang sama, drama lebih hangat apabila bekas Ejen MATA, Rizwan bekerjasama dengan penjahat Dos dan Trez untuk  bertemu Ali. Ini mencetuskan spekulasi apakah motif sebenar gandingan pemain baharu ini? Sementara itu, agensi rahsia MATA melantik Ketua Teras baru; Ejen Amir (Neuro) dan Ejen Elle (Inviso) untuk mengukuhkan lagi pertahanan bandar Cyberaya bersama pemimpin veteran Ejen Dayang (Tekno) dan Ejen Ganz (Kombat).  Tanpa pengetahuan Ali, pelbagai perubahan radikal yang berlaku di belakang tabir Cyberaya  telah membuka ruang untuk provokasi dari Neonimus yang ingin menjerat Ali dan MATA.  Plot ini bakal menjanjikan sebuah aksi berintensiti tinggi beserta lebih banyak elemen futuristik teknologi MATA.  Bukan itu sahaja, plot ini turut dilengkapi dengan emosi yang mendalam dan bakal memberikan dimensi baharu terhadap perjalanan Ali sebagai ejen rahsia muda.  

Melengkapkan lagi aura epik trailer ini ialah muzik latar yang diolah dari lagu runut bunyi rasmi  EATM2 berjudul “Hanya Kamu,” dendangan artis legenda Dato’ M. Nasir.  Gabungan visual epik dan muzik ikonik ini mencipta getaran “goosebumps” yang diakui sendiri oleh ramai peminat! Lirik dari korus lagu ini seolah memberikan bayangan tentang perjalanan getir Ali demi membuktikan kebolehan dirinya sebagai pengemudi SATRIA.

Sejurus selepas dilancarkan, treler berdurasi 1 minit 23 saat ini mencetuskan fenomena di platform digital dengan mencatatkan 300,000 tontonan di YouTube dan 1.3 juta tontonan di TikTok dalam tempoh kurang daripada 24 jam. Peminat di Malaysia dan luar negara, termasuk dari Indonesia, menunjukkan keterujaan luar biasa apabila rata-rata mereka meluahkan rasa tidak sabar menanti tayangan filem ini di pawagam, malah ada yang menyatakan terasa debaran sehingga meremang bulu roma sewaktu menonton treler tersebut.  Antara komen menarik dari mereka seperti, “Bila nak keluar di Indonesia?”,  “Tak sabar nak tengok Ali dan Cyberaya di layar besar!”

Filem sekuel kepada Ejen Ali The Movie (2019), yang sebelum ini mencatatkan kejayaan sebagai salah satu animasi tempatan paling popular di Malaysia dan serantau, bakal menyajikan pertaruhan risiko yang semakin tinggi, misi yang semakin gempar dan ancaman yang semakin berbahaya. Diterbitkan oleh WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios dan Komet Productions, fenomena berterusan Ejen Ali jelas dilihat menerima sambutan lebih 50,000 penonton sewaktu filem pertama kembali ke pawagam pada musim cuti sekolah Februari 2025 yang lalu.  


Usamah Zaid Yasin, Pengarah Filem EJEN ALI THE MOVIE 2, berkongsi keterujaan beliau melalui komen, “Sejak kami mula berkongsi tentang perkembangan EATM2 tahun lepas, kami menerima banyak teori dan spekulasi dari peminat tentang identiti sebenar Neonimus. Diharapkan naskah ini mampu memberi kepuasan tinggi buat peminat tegar Ejen Ali dan kami pastinya akan membawa lebih banyak kejutan, humor, dan momen menyentuh hati dalam evolusi Ali kepada versi terbaik dirinya dalam EATM2.”

EATM2 dikuasakan oleh Tenaga Nasional dan jangan lepaskan peluang untuk menonton treler  #1 ini! Kongsikan keterujaan anda bersama kami dengan menggunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 serta ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti saluran YouTube rasmi Ejen Ali dan akaun media sosial Primeworks Studios.Film untuk kandungan eksklusif serta kemaskini di sebalik tabir!

Tonton trailer rasmi di:
 YouTube: www.youtube.com/ejenali
 TikTok: www.tiktok.com/@officialejenali
 Facebook: www.facebook.com/ejenali
 Instagram: www.instagram.com/ejen_ali
 Twitter: www.twitter.com/ejen_ali
Bersiap sedia, Ejens! Misi diteruskan! #EjenAli #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #AniMY 

***********************
Mengenai Primeworks Studios
Primeworks Studios adalah syarikat pengeluaran terkemuka di Asia Tenggara yang terlibat dalam perniagaan kandungan kreatif di setiap aspek rantaian media dalam pengeluaran TV dan filem, jualan kandungan, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, kandungan berjenama, serta pelesenan dan peruncitan. Ia adalah syarikat kandungan yang memenangi pelbagai anugerah dan menghasilkan lebih daripada 3,000 jam kandungan menarik setiap tahun untuk pelbagai platform, termasuk televisyen, pawagam, dan digital. Rumah produksi ini adalah tenaga kreatif di sebalik pelbagai genre kandungan termasuk hiburan, animasi, majalah, dokumentari, sukan, dan drama.

Mengenai WAU Animation
WAU Animation adalah sebuah studio animasi CG yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan bakat kreatif dengan pengalaman hingga 17 tahun dalam menghasilkan siri animasi CG dan filem cereka yang memenangi pelbagai anugerah. Di tengah-tengah WAU Animation adalah keinginan untuk mencipta animasi yang dapat menyentuh hati penonton. Kami bercita-cita untuk menceritakan kisah-kisah yang menakjubkan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga bermakna dan memberi inspirasi, sambil pada masa yang sama disuntik dengan elemen tempatan, kerana kami percaya kuat dalam menampilkan identiti Malaysia yang unik.

1 comment

  1. Ga sabaaaaar nak nonton iniiiiii 😍😍😍😍😍. Anak saya juga suka ini. Diapun pasti nak sangat nonton di bioskop kalo nanti dah kluar. 😍😍😍

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.