Astro mencatat kemenangan kedua dalam penganugerahan ganti rugi statutori oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas sebuah kafe pool tempatan didapati bersalah melanggar hak cipta gara-gara menstrim perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara haram.
Dalam keputusan bertarikh 7 Januari, mahkamah memihak kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd., anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad, dengan menganugerahkan ganti rugi statutori berjumlah RM175,000. Kes ini melibatkan Frenz Pool Café dan Tuwang 69 Sdn. Bhd., yang menstrim kandungan Astro tanpa kebenaran.
Tindakan undang-undang ini membabitkan tayangan awam tanpa kebenaran perlawanan EPL antara Manchester United dengan Brighton pada 16 September 2023, yang disiarkan menerusi Astro Supersport 3. Pelanggaran tersebut turut melibatkan penggunaan logo dan elemen penjenamaan Astro secara tidak sah, yang menjadi faktor penting dalam keputusan mahkamah.
Menyambut baik keputusan tersebut Pengarah Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong, berkata: “Kami amat berbangga menerajui usaha melindungi hak intelek, dan keputusan ini menegaskan komitmen kami untuk memastikan mereka yang mengaut keuntungan daripada kandungan cetak rompak dikenakan tindakan tegas. Perjuangan kami tidak terhenti di sini; kami akan terus bertindak melindungi kandungan bermutu kami bagi membina ekosistem digital yang lebih adil untuk semua.”
Selain ganti rugi, pihak mahkamah turut mengeluarkan injunksi kekal terhadap defendan, melarang mereka daripada menstrim kandungan hak cipta Astro secara tidak sah pada masa akan datang. Defendan juga diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM10,000.
Kemenangan ini susulan kejayaan pertama Astro dalam penganugerahan ganti rugi statutori pada November 2024 yang melibatkan sebuah pub tempatan. Berbeza dengan ganti rugi pampasan yang memerlukan bukti kerugian sebenar, jumlah bagi ganti rugi berkanun tersedia maktub dalam undang-undang.
Astro menganggap kemenangan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempertahankan pencipta, bakat, dan inovasi yang menjadi teras industri hiburan.
***********************
Tentang Astro Malaysia Holdings Berhad
Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) ialah syarikat kandungan dan hiburan utama di Malaysia, berkhidmat untuk 5.3 juta rumah atau 65% isi rumah TV Malaysia, 8,900 perusahaan, 16.6 juta, pendengar mingguan di seluruh radio FM dan dalam talian, 15.6 juta pengguna unik digital bulanan di platform-platform digital kami. Astro menawarkan 3 perkhidmatan berbeza kepada rakyat Malaysia – Astro Pay-TV, NJOI Prabayar dan sooka, platform OTT untuk golongan milenium; dan Astro Fibre, perkhidmatan jalur lebar kami yang menawarkan nilai lebih tinggi dengan bundle kandungan dan jalur lebar kami. Sejuta rumah sudah pun menstrim hiburan terbaik melalui Hybrid 4K UHD Ultra Box dan HD Ulti Box kami yang boleh dipasang sendiri dan digunakan pada kedua-dua satelit dan jalur lebar. Pada hari ini, para pelanggan boleh strim kandungan signatures tempatan kami, Astro Originals, sukan secara langsung dan rancangan global terbaik daripada Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI, TVBAnywhere+, beIN SPORTS CONNECT, BBC Player, Viu, ZEE5, WeTV, Qalbox by MuslimPro dan aplikasi rakan TV kami, Astro GO. Astro Radio, rumah kepada jenama radio yang dinilai tertinggi di negara ini merentasi semua bahasa utama serta jenama digital kami termasuk AWANI, SYOK, Gempak, XUAN dan Astro Ulagam, menyatukan rakyat Malaysia dengan kandungan dan pengisian yang penting.
patutmya kafe tu langgan lah secara sah.
ReplyDeleteWaaah besaaar denda dia . Tapi setujuuuu. Pelanggaran seperti ini yg melibatkan hak cipta memang harus tegas. Biar Orang2 tak semena2 melanggar dan memakai kepunyaan orang lain serta ambil untung dari itu
ReplyDelete