Movie Review | Mereka Yang Tertewas (2024)

Saturday, 9 November 2024


Pengarah: Dato' Zulkeflie M.Osman.
Penulis Skrip: Hasanuddin Md Isa
Pelakon: Zaidi Omar, Fiza Abdul Halim, Sherie Merlis, Fad Anuar, Mubarak Majid
Syarikat Produksi: Tujuh Pelangi Maju
Pengedar: MEGAMOVIE
Genre: Drama
Durasi Tayangan: 92 minit
Tarikh Tayangan: 7 November 2024
Trailer:


“Mereka Yang Tertewas” mengetengahkan sebuah cerita yang lebih berlatarbelakangkan penerapan Islam dalam hidup sebuah kelompok masyarakat di Kampung Bukit Setugal. Tapa (Zaidi Omar) dari Kampung Padi Setempat beralih arah berhijrah ke tempat lain setelah maruah diri dan keluarganya dicemuh dan dicaci apabila ingin memperisterikan Mimah.

Tapa mengembara mencari kehidupan yang baru serta mendalami ilmu agama untuk melupakan masa silamnya. Tapa berhijrah ke Kampung Bukit Setugal dan memperisterikan Jamilah (Fiza Abdul Halim) anak saudara tok gurunya serta menyebarkan syiar Islam. Walaupun Jamilah serba-serbi sempurna, cantik dan tinggi ilmu agamanya namun dia mandul tapi Tapa tak pernah hiraukan hal zuriat atau waris kerana dia redho dengan ujian Tuhan buat mereka berdua. 


Lebai Pa berusaha untuk mengembalikan pegangan agama penduduk Kampung Bukit Setugal yang semakin goyah dengan hiburan dunia sehinggakan kebanyakan anak-anak muda kampung tersebut terjebak dengan perkara maksiat. Usaha Lebai Pa hanya disokong oleh Uda Puat, Mat Yasin dan Pudin (Adam Shahz).

Niat Tapa atau dikenali sebagai Lebai Pa di kampung tersebut disalahertikan oleh penduduk kampung kerana mereka beranggapan Lebai Pa telah menyebarkan ajaran sesat dan ingin berkuasa di dalam kampung tersebut. Tambahan pula rencana Lebai Pa tersebut tidak disokong oleh Imam Min (Hilal Azman) lantas menjadi alasan yang kuat kepada Yusof (Mubarak Majid) dan Jah (Sherie Merlis) untuk menghasut penduduk kampung yang lain supaya tidak memberi sokongan kepada usaha dakwah Lebai Pa di samping labelnya sebagai pendatang. 


Filem yang diadaptasikan dari novel sastera karya nukilan Hasanuddin Md Isa yang juga pernah memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam 1988 bertemakan cabaran pendakwah Islam di sebuah kampung fiksyen. Menurut pengarah Dato' Zulkeflie M.Osman., novel sastera yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ini sangat popular di kalangan peminat sastera pada tahun ianya diterbitkan. 

Watak Lebai Pa adalah watak yang berusia dan penuh dengan ilmu tapi tetap merendah diri, sama juga dengan isterinya Jamilah. Sesuatu yang segar dan unik bila gandingan utama mempunyai age gap yang agak jauh tapi tak kekok pun berlakon bersama. Sepanjang masa, Jamilah menjadi tunjang yang kuat untuk Lebai Pa dalam menyebarkan dakwah di Bukit Setugal di samping anak angkat mereka berdua, Pudin. 


Filem Mereka Yang Tertewas mempunyai banyak mesej yang dimasukkan seiring dengan matlamat pengarah dalam menghasilkan filem berunsurkan keagamaan. Selain keindahan bersabar dan bersedekah yang ditonjolkan oleh Lebai Pa dan Jamilah, filem Mereka Yang Tertewas terbitan Tujuh Pelangi Maju juga memaparkan kekuatan seni silat yang mempunyai jurus istimewa sampai boleh memberi kesan buruk kepada penerima sekiranya pantang larang dilanggar. Tak diceritakan lebih mendalam tentang Jurus Siliwangi tapi boleh nampak ramai yang masuk kelas silat mengidamkan ilmu Jurus Siliwangi dari Pendekar Atan (Ruzaidi Abdul Rahman). Sekali tampar boleh berguling ke tanah dan cederakan dalaman target. 

Pace filem Mereka Yang Tertewas agak perlahan sedangkan ada banyak babak yang boleh dikembangkan seperti babak silat dari Pendekar Atan ataupun babak pertarungan antara Khidam (Fad Anuar) dengan Pudin. Lebih menarik kalau Jurus Siliwangi bertemu dengan ilmu silat Pencak Seribu Kalimah sebab kedua-dua ilmu silat tersebut popular kalau dilihat dari penceritaan. 


Dialog yang dimasukkan juga agak minimal dan terlihat biasa sedangkan I tertarik dengan bunga bahasa yang dilontarkan dari beberapa watak. Nampak sangat berlapik dan beradab bila bercakap sesama sendiri macam babak Lebai Pa pergi ke Pejabat Agama untuk disoal-siasat. Pegawai yang datang pun tak marah atau hamun, jemput dengan baik, bawa pulang juga dengan baik. Latar masa filem Mereka Yang Tertewas sekitar tahun 70-an atau 80-an dan sebagai generasi baru, agak terkejut bila dapat tahu tentang mas kahwin yang dibayar secara hutang pada ketika itu. 

Filem Mereka Yang Tertewas mungkin bukan filem pilihan kepada generasi baru tapi lebih terarah kepada generasi lama yang mempunyai kenangan dengan novel sastera pada zaman sekolah dahulu. 

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.