Drama Review | Senduk Swap (2022)

Sunday, 4 August 2024


Pengarah: Jared Lee
Penulis Skrip: June Tan, Leysha Al-yahya, Megat Zahrin
Pelakon: Dato’ Sri Eizlan Yusof, Fatimah Abu Bakar, Qasrina Karim, Emma Sofea, Chalani Ganeson, Izzrin Irfan, Sham Sunder Binwani, Apek Senario, Ceddy
Syarikat Produksi: Grim Film  
Penyiaran: TA-DAA! (Astro saluran 612), Netflix
Genre: Komedi
Jumlah Episod: 8 Episod (25 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan: 9 September 2022 
Trailer:


Drama Senduk Swap mengisahkan tentang dua orang remaja – Ayu (Qasrina Karim) dan Sofea (Emma Sofea) yang datang dari latar kehidupan berbeza tapi mempunyai impian yang sama iaitu menjadi chef dan menang anugerah prestij, Senduk Emas. 

Ayu yang tinggal bersama neneknya (Fatimah Abu Bakar) di Kampung USA, terletak di sebuah pulau hidup dalam keadaan serba sederhana. Hasrat Ayu adalah untuk mengubah nasib hidupnya dengan menjadi chef terkenal melalui Akademi Senduk Emas, akademi masakan berprestij di Malaysia. Citarasa Ayu lebih kepada menu masakan Melayu dan bahan kegemarannya adalah tempoyak. 


Di akademi masakan, Ayu berjumpa dengan Sofea yang kaya dan berlagak. Sofea terpaksa masuk ke akademi kerana ayahnya, Dato Malek (Dato’ Sri Eizlan Yusof) ugut untuk berhentikan semua elaun dan wang perbelanjaannya. Macam mana nak survive dekat Paris kalau wang pun tak ada? Sofea masuk ke Akademi Senduk Emas dengan Messenger (Izzrin Irfan) sebagai pembantu merangkap kawan baiknya. 

Perbezaan sikap dan citarasa buatkan Ayu dengan Sofea sering bertelagah sampaikan Chef Double Double (Chalani Ganeson) sakit kepala melayan kerenah mereka berdua. Satu hari Ayu dan Sofea tertukar badan dan mula kenal kehidupan masing-masing dan tahu rahsia keluarga mereka. 


Drama santai arahan Jared Lee yang diterbitkan oleh Astro menggunakan tema bertukar badan untuk mengangkat nilai-nilai murni sebagai pengajaran kepada penonton muda. Drama sebanyak 8 episod dengan durasi selama 25 minit setiap episod mempunyai sinematografi yang cantik dengan olahan yang menarik, sesuai dengan genre komedi yang dimasukkan. 

Sesuai sangat lah ambil Qasrina Karim sebagai pelakon utama sebab comel, sama juga dengan Emma Sofea. Kebanyakan masanya kedua-dua watak memerlukan ekpresi berlebihan tanpa terlihat cringe disebabkan genre cerita dan target audience. Makin cerita bergerak, makin banyak perubahan dari kedua-dua watak utama. Watak Din (Ahmad Faiz Najib), Opah dengan Dato Malek pun menghiburkan sebagai watak sampingan utama untuk Ayu dan Sofea. 


‘Pertandingan Raja Burger 2022. Hadiah utama ialah RM20,000 ayah! Kalau Sofea menang, Sofea boleh bayar sendiri percutian Paris saya. Tapi Sofea sedar, kalau Sofea menang, reputasi Sofea akan meningkat jadi orang akan lebih yakin untuk kembali ke Sofea’s Choice.’ – Sofea Dato Malek

Memandangkan drama Senduk Swap berkisarkan dunia masakan, banyak babak yang tonjolkan menu menarik dihasilkan oleh beberapa watak bersama teknik plating yang cantik sampai kita rasa terliur. Dekat hujung drama pun ada resipi ringkas untuk dikongsikan dengan penonton. 


Jalan cerita Senduk Swap ringkas dan bersifat straightforward dengan beberapa konflik yang dimasukkan. Paling kesian dengan Sofea lah sebab terpaksa sesuaikan diri dengan kehidupan luar bandar. Nak guna tandas pun kena berkongsi dengan satu kampung, nak guna internet kena pergi ke kedai runcit. Baik sebagai Ayu ataupun Sofea, Qasrina tonjolkan lakonan dengan baik ditambah dengan chemistry dengan Ahmad Faiz Najib. 

Pelik juga lah Opah tak kenal cucu dia setiap kali bertukar badan padahal perangai berbeza macam langit dan bumi. Kalau Dato Malek tu faham lah juga sebab Sofea memang suka mengelak spend time dengan dia. Nasib baik ada Din yang sabar dan faham tantrum Sofea bila stuck dekat Kampung USA. 


Ending Senduk Swap a bit predictable lah sebab penulis tak berani keluar dari format tipikal padahal tak ada masalah pun kalau buat lain dari yang lain. Apa pun, drama ni seronok lah ditonton sebagai tontonan santai. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +1, 6. Genre +0.6, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.8, 10. Personal Thought +0.6 = 7.8/10

1 comment

  1. dahhhh... vibes drama korea mari...tapi mesti jenis cerita yang santai dan happy untuk semua penonton

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.