AKIBAT PENYIARAN HARAM, SYARIKAT RANGKAIAN RESTORAN NASI KANDAR BAYAR PAMPASAN RM221K KEPADA ASTRO

Wednesday, 21 August 2024

Sebuah syarikat rangkaian restoran nasi kandar yang terkenal terpaksa menanggung padah berjumlah ratusan ribuan ringgit gara-gara menyiarkan kandungan dan pengisian Astro secara haram.

Dalam penyelesaian yang dibuat menerusi penghakiman persetujuan, Thaqwa (Malaysia) Sdn Bhd bersetuju untuk membayar RM221,773.20 kepada Measat Broadcast Systems Sdn Bhd — iaitu anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad — kerana melanggar syarat langganan dengan menyiarkan siaran Astro secara tidak sah di beberapa cawangan restoran milik syarikat terbabit.

Thaqwa hanya mempunyai langganan sah untuk dua premis sahaja, namun begitu ia telah menyiarkan siaran Astro di lapan lagi restoran miliknya tanpa kebenaran dengan menggunakan peranti-peranti seperti kad pintar dan dekoder Astro bagi tujuan tersebut.

Selain daripada pembayaran pampasan, Thaqwa turut bersetuju untuk memastikan langganan Astro miliknya hanya digunakan di lokasi yang dibenarkan bagi menghormati hak cipta dan harta intelek Astro.

Ketua Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata: "Astro sangat komited dalam usaha memerangi cetak rompak digital kerana kami tahu betapa besar kesannya kepada industri media dan kreatif. Dengan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan melindungi hak harta intelek, Astro membantu memastikan para pencipta dan artis mendapat ganjaran yang adil. Usaha ini penting untuk memastikan industri ini terus hidup dan berkembang, membuka ruang untuk idea dan pengisian baru."

Di Malaysia, adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana premis komersial untuk menayangkan penyiaran kepada orang awam jika pengisian tersebut diambil secara tidak sah; ini termasuklah penyiaran rancangan Astro tanpa lesen komersial yang sahih.

Kes Thaqwa ini adalah salah satu daripada kebanyakan kes yang sedang dikendalikan oleh Astro bagi melindungi hak harta intelek miliknya.

Sebelum ini, di Ipoh, seorang individu berusia 22 tahun didenda RM10,000 pada Februari lalu selepas mengaku bersalah menjual kotak Android yang telah dimuatkan dengan pengisian Astro secara haram. Peranti itu ditemui dalam satu serbuan pada Oktober 2023.

Pada Julai tahun yang sama, dua individu di Seremban turut berdepan tuduhan yang serupa.

Seorang daripadanya ditahan kerana menjual kotak TV haram di sebuah kedai. Suspek mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM7,000 sementara menunggu perbicaraan pada bulan September akan datang, manakala individu yang kedua mengaku bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM10,000, dengan bayaran serta-merta.

Kes-kes ini mencerminkan usaha keras Astro dalam memerangi cetak rompak digital dan memastikan pematuhan syarat-syarat langganan pengisian Astro.

**************************************

Tentang Astro Malaysia Holdings Berhad

Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) ialah syarikat kandungan dan hiburan utama di Malaysia, berkhidmat untuk 5.3 juta rumah atau 66% isi rumah TV Malaysia, 8,400 perusahaan, 17.0 juta pendengar mingguan di seluruh radio FM dan dalam talian, 20 juta pengguna unik digital bulanan di platform-platform digital kami. Astro menawarkan 3 perkhidmatan berbeza kepada rakyat Malaysia –Astro Pay-TV, NJOI Prabayar dan sooka, platform OTT untuk golongan milenium; dan Astro Fibre, perkhidmatan jalur lebar kami yang menawarkan nilai lebih tinggi dengan bundle kandungan dan jalur lebar kami. Sejuta rumah sudah pun menstrim hiburan terbaik melalui Hybrid 4K UHD Ultra Box dan HD Ulti Box kami yang boleh dipasang sendiri dan digunakan pada kedua-dua satelit dan jalur lebar. Pada hari ini, para pelanggan boleh strim kandungan signatures tempatan kami, Astro Originals, sukan secara langsung dan rancangan global terbaik daripada Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI, TVBAnywhere+, beIN SPORTS CONNECT, BBC Player, Viu, ZEE5, WeTV, Qalbox by MuslimPro dan aplikasi rakan TV kami, Astro GO. Astro Radio, rumah kepada jenama radio yang dinilai tertinggi di negara ini merentasi semua bahasa utama serta jenama digital kami termasuk AWANI, SYOK, Gempak, XUAN dan Astro Ulagam, menyatukan rakyat Malaysia dengan kandungan dan pengisian yang penting.

1 comment

  1. sepuluh tahun lepas kita pernah guna kotak tu..dapat siaran macam macam... lepas tu keputusan exam anak merudum teruk. terus stop guna. sakan masing masing tgk tv

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.