FILEM KELUANG MAN KINI DALAM SESI PENGGAMBARAN, ASTRO SHAW UMUM BARISAN PELAKON LAIN

Monday, 10 June 2024

Filem aksi superhero ikonik Malaysia yang paling dinanti-nantikan, KELUANG MAN terbitan Astro Shaw telah memulakan penggambaran secara rasmi mulai 4 Mei lalu! Penggambaran dijalankan di sekitar Lembah Klang serta lokasi yang amat sinonim dengan animasi Keluang Man iaitu Kluang, Johor. 

Selepas enam bulan para pelakon menjalani persiapan latihan fizikal dan koreografi, barisan pelakon menghadiri sesi ‘script reading’ baru-baru ini. Tujuannya agar mereka memahami lebih mendalam tentang watak yang dilakonkan, latar belakang cerita, dan arah keseluruhan filem. Sesi script reading dihadiri Penerbit Eksekutif Filem Keluang Man yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, Pengarah Anwari Ashraf, para pelakon, tenaga kreatif dan sebahagian kru produksi. 




Astro Shaw turut mengumumkan secara rasmi nama pelakon lain yang akan turut bersama Nas Muammar Zar, Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal dan Datuk Rosyam Nor dalam menjayakan Keluang Man, termasuk ikon penyampai radio, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ratu cantik Malaysia 2019, Shweta Sekhon. Beberapa nama pelakon popular lain akan diumumkan kelak. 

Filem Keluang Man memaparkan kisah seorang pesakit psikiatri yang menjadi adiwira dalam membenteras jenayah. Naskhah ini diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo, yang juga pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf. Beliau turut bertindak sebagai penulis skrip filem Keluang Man. 


Penerbit Eksekutif Keluang Man dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Selepas enam bulan persediaan, kini tiba masanya untuk kami memulakan fasa penggambaran. Semua yang terlibat dalam menjayakan filem Keluang Man adalah yang terbaik dalam industri buat masa ini. Kami amat menitik beratkan kualiti dan memastikan dapat memberi ‘justice’ kepada superhero ikonik kebanggaan Malaysia ini. Kami juga dengan bangganya memperkenalkan secara rasmi para pelakon lain yang terlibat dalam filem Keluang Man. Namun, kami masih menyimpan beberapa kejutan yang akan diumumkan kelak. Kami mengharapkan segala urusan dipermudahkan sepanjang sesi penggambaran dalam tempoh dua bulan ini dan mengharapkan fokus yang tinggi dalam menghasilkan produk berkualiti”.  





Keluang Man merupakan siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia. Penerbit dan peneraju industri perfileman tanah air, Astro Shaw mengumumkan untuk mengangkat adiwira animasi legenda ini ke layar perak dalam bentuk ‘live action movie’ selepas menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio.  Usaha ini secara tidak langsung memperkenalkan semula superhero Keluang Man kepada generasi baharu serta melahirkan universe adiwira tempatan terbesar negara. 

Sementara menantikan filem KELUANG MAN ditayangkan, peminat setia serta penonton generasi baru boleh menonton siri animasi popular ini di www.keluangman.com bermula dari musim pertama sehingga musim ketiga. 

Keluang Man menjalin kerjasama strategik pemasaran bersama WONDA Coffee. Nantikan filem adiwira ikonik Malaysia KELUANG MAN yang akan menemui penonton di pawagam tahun 2025. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik KELUANG MAN di TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak. Gunakan #KeluangMan bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini.  

1 comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.