Pengarah: S. Baldev Singh
Penulis Skrip: N/A
Pelakon: Sohpia Albarakbah, Shah Hazvee, Izuan Razali, A. Galak, Kanda Khairul, Faha Azhar, Dato Jalaluddin Hassan, Ikhram Juhari, Akim Nordin, Datuk Fauziah Nawi
Syarikat Produksi: White Merpati Entertainment Sdn Bhd
Pengedar: GSC
Genre: Aksi / Drama
Durasi Tayangan: 120 minit
Tarikh Tayangan: 18 Januari 2024
Trailer:
Filem Jiwa 8 Belas arahan S. Baldev Singh mengisahkan dua orang anak muda yang berkawan baik – Isyq (Shah Hazvee) dan Fatien (Sohpia Albarakbah) dalam perjalanan ke negara Thailand. Dalam diam Isyq simpan perasaan terhadap Fatien namun gadis cantik tersebut menjalinkan hubungan cinta bersama Edd (Ikhram Juhari). Dalam perjalanan tersebut, mereka mengalami kemalangan jalan raya akibat terlanggar lori di hadapan.
Kerana motor Isyq hancur dan tak boleh digunakan lagi, mereka berdua ambil keputusan untuk berjalan kaki saja menuju ke pekan berdekatan di kawasan tersebut untuk dapatkan bekalan makanan dan rawatan. Tumpang kereta orang lain pun tak lama kerana yang sudi tumpangkan cuma kereta tua.
Ketika berjalan kaki, Isyq dan Fatien disapa oleh Mat Kitam (Izuan Razali) yang sanggup tumpangkan mereka hingga ke pekan terdekat kerana dia pun menuju ke arah yang sama. Awalnya Isyq terharu dengan kebaikan lelaki asing tersebut tapi hati mula tak sedap bila karakter Mat Kitam tak disenangi. Makin bertambah takut apabila Fatien ternampak senjata api di bawah tempat duduk Mat Kitam. Rupanya Mat Kitam adalah ketua geng pemerdagangan manusia.
Dalam masa yang sama Edd pula bermain cinta dengan wanita lain. Abang Fatien yang tahu tentang perkara tersebut mula mencari keberadaan adiknya. Dia syak Isyq melarikan adiknya namun ibu Isyq (Datuk Fauziah Nawi) menyangkal buruk sangka tersebut.
Naskhah Jiwa 8 Belas mengangkat tema darah panas di mana kebanyakan watak yang terlibat dalam filem tersebut merupakan pelakon muda di dalam industri. Kalau ikutkan filem Jiwa 8 Belas adalah filem debut kepada Sohpia Albarakbah, Shah Hazvee, Izuan Razali, Kanda Khairul, Faha Azhar, Ikhram Juhari dan Akim Nordin namun tayangan agak lambat ekoran kerana pandemik Covid-19.
Bila ramai pelakon baru, bab lakonan mungkin akan jadi kekangan utama namun semua barisan pelakon menggalas tanggungjawab dengan baik. Ada ruang untuk diperbaiki tapi tak ada masalah untuk ditonton. Mungkin juga sebab naskhah aksi yang tak berapa fokus pada mutu lakonan yang tinggi seperti genre-genre lain.
Sebagai pelakon utama, Shah Hazvee ada potensi untuk naik sama tinggi dengan pelakon-pelakon muda sekarang. Dia pandai kawal lakonan dan tona suara sesuai dengan babak yang dilakonkan. Sama juga dengan Akim Nordin sebagai Kucai, pembantu Mat Kitam.
Pelbagai isu sosial yang dimasukkan dalam naskhah Jiwa 8 Belas terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd di mana menjadi maslahah utama anak-anak muda seperti hubungan sosial tanpa batas, penggunaan dadah dan rokok, urusniaga haram supaya cepat kaya dan banyak lagi namun kesemua terlihat sarat kerana olahan sutradara dan editing yang kurang menarik.
Sesetengah babak juga tak dijelaskan dengan baik sama ada mengenai latar masa, latar tempat mahupun pertalian antara watak sehinggakan sukar untuk merasa simpati dengan watak-watak utama sedangkan watak Isyq mempunyai faktor yang kuat untuk mengukuhkan penceritaan.
Pada separuh masa kedua juga watak Isyq tenggelam oleh watak Kanda (Kanda Khairul). Tak sepatutnya berlaku lah kerana watak Isyq mempunyai dendam dan amarah yang lebih tinggi. Tersia lah perasaan tu walhal boleh jadi klimaks yang menarik.
Sinematografi juga antara kelemahan pada cerita bila pengarah terlalu tumpukan pada babak kereta terbakar sedangkan khidmat CGI tak disunting dengan cantik. Sepatutnya pengarah sorok kelemahan tersebut dengan bunyi letupan dan fokus pada Isyq dan Fatien yang sedang berlari untuk selamatkan diri.
Jiwa 8 Belas mungkin lebih menarik jika lebih banyak babak aksi daripada crammed di separuh masa kedua.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.