Jangan Pandang Rendah Kuasa Kreativiti dalam Sektor Pendidikan: Kesilapan Kritikal Yang Perlu Dielakkan

Tuesday, 16 January 2024

Jangan Pandang Rendah Kuasa Kreativiti dalam Sektor Pendidikan: Kesilapan Kritikal Yang Perlu Dielakkan | Oleh Andrew Woon, Pengarah Urusan Faber-Castell Malaysia

Dalam dunia yang sentiasa berubah ini, landskap pendidikan turut mengalami transformasi radikal. Corak pembelajaran konvensional yang tertumpu pada buku teks, hafalan dan pemeriksaan tidak lagi mencukupi untuk menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran pada abad ke-21 ini. Sebaliknya, ia memerlukan peralihan kepada kaedah pembelajaran lebih kontemporari, yang menekankan literasi asas, pemikiran kritis dan pembangunan sahsiah.

Walaupun kreativiti berperanan penting untuk memupuk kriteria-kriteria ini yang menyokong perkembangan pelajar, namun mengapakah ia sering dipandang rendah dan diabaikan dalam bilik darjah?

Tatkala kita melangkah ke tahun 2024 dan menantikan pembangunan Pelan Kurikulum Persekolahan 2027 Kementerian Pendidikan Malaysia,pihak sekolah dan ibu bapa perlu memahami kepentingan penerapan kreativiti ke dalam pendidikan serta kaedah untuk memupuk kemahiran ini.

Peranan penting kreativiti bagi memupuk pelajar yang bersedia untuk masa hadapan

Selari dengan Pelan Kurikulum Persekolahan 2027 untuk melahirkan pelajar seimbang, kreativiti merupakan pemangkin penting untuk merangsang pembinaan sahsiah, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat. Ia menawarkan pelbagai manfaat yang melangkaui skop bilik darjah. Antara kelebihannya termasuk peningkatan motivasi intrinsik dan pengalaman penglibatan pelajar. Jika pembelajaran dijadikan saluran untuk ekspresi kreatif, maka pelajar akan lebih terlibat dalam proses pendidikan, seterusnya mencetuskan minat sebenar untuk menimba ilmu. Motivasi bukan hanya meningkatkan pencapaian akademik, tetapi juga memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat, demi memperkasakan pelajar mengharungi pelbagai cabaran rumit.

Penerapan kreativiti ke dalam pembelajaran akan merapatkan jurang antara pembelajaran bilik darjah tradisional dan aplikasi kehidupan sebenar. Apabila pelajar terlibat dalam latihan dan projek kreatif, mereka akan lebih memahami bagaimana pengetahuan teori seperti numerasi, saintifik dan literasi sivik dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal bagi menghadapi cabaran dunia sebenar. Malah itu, kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman juga menjadikan kandungan akademik lebih relevan apabila diaplikasikan dalam konteks kehidupan harian.

Paling penting, kreativiti menyemarakkan rasa ingin tahu, pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah. Apabila pelajar menghadapi cabaran dalam sesuatu tugasan, kreativiti akan mendorong mereka meneroka idea dan perspektif baharu bagi menjana penyelesaian yang inovatif. Ini seterusnya melahirkan pelajar yang berfikiran terbuka, fleksibel dan bijak, yang sedar terdapat pelbagai cara untuk menghadapi dan menyelesaikan sesuatu masalah.

Menaik taraf pengalaman pembelajaran bilik darjah

Kreativiti harus dilaksanakan dengan tujuan yang jelas dan dinilai keberkesanannya dalam kurikulum sekolah. Ia harus diiktiraf sebagai satu keperluan dan bukannya satu kehendak.

Di Faber-Castell, kami percaya guru harus menyambut baik kaedah pembelajaran inovatif dan mencari idea kreatif untuk menarik perhatian pelajar. Dengan sokongan Kementerian Pendidikan, kami memperkenalkan program Pembelajaran Kreatif Score A bagi melengkapkan guru dengan 10 teknik pembelajaran kreatif praktikal untuk disampaikan kepada pelajar mereka. Salah seorang peserta program itu, Cik Lo Ming Jun, guru fizik di SMK Methodist Sibu, telah menerapkan kreativiti ke dalam pelajarannya dengan menggunakan emoji dan slanga internet. Sementara itu, pelajarnya, Vicky Tiong telah menemui cara unik untuk menyatukan minat mendalam terhadap seni dengan pengambilan nota. Keputusannya cukup memberangsangkan – pembelajaran Vicky bukan sahaja menjadi lebih bermakna, malah keberkesanan pembelajaran dan prestasi akademiknya juga meningkat. Selain bidang akademik, Vicky juga memanfaatkan pencapaian daripada program Score A dalam permohonan kolej dan universitinya.

Di samping itu, saya juga berpeluang menyaksikan kisah-kisah inspirasi yang menonjolkan impak pembelajaran kreatif. Salah satu kisah luar biasa itu melibatkan Nur Qaleesya Soffiya, pelajar SK Jalan 3, Bangi, yang merupakan peserta program Score A 2023. Menerusi program itu, beliau menemui gaya pembelajaran visual, yang telah meningkatkan pemahamannya dengan menerapkan warna, watak haiwan dan peta minda ke dalam notanya. Pendekatan kreatif ini bukan sahaja menjadikan pembelajarannya lebih berkesan tetapi juga lebih unik dan menarik.

Seni sebagai pemangkin pembelajaran dan kreativiti

Mendidik pelajar muda tentang isu global seperti alam sekitar dan perubahan iklim adalah mencabar. Justeru, seni menyediakan cara pembelajaran yang kreatif dengan menyatukan visual, emosi, cerita dan kemahiran berfikir. Ini terbukti dengan Anugerah Artis Muda yang telah membantu pelajar bukan sahaja dari sudut seni tetapi juga pemahaman tentang isu alam sekitar.

Pada tahun 2023, pelajar di seluruh negara telah melakar rekod baharu dalam Malaysia Book of Records dengan jumlah penyertaan tertinggi, menjadikanAnugerah Artis Muda 2023 sebagai ‘Peraduan Mewarna Artis Muda yang Terbesar’., Tiga karya seni yang terbaik akan menjadi sebahagian daripada koleksi UTme! by UNIQLO dan akan dipamerkan di cawangan-cawangan UNIQLO tahun ini. Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk membangunkan serta menginspirasikan artis muda. Karya-karya seni yang bertemakan kelestarian oleh artis-artis muda ini bukan sahaja memberi suntikan inspirasi, tetapi juga menunjukkan penyelesaian masalah dan pemikiran analitikal dalam menangani cabaran global. Bakat seorang finalis, Raja Ahmad Alauddin telah terserlah dalam program itu.

Berasal daripada keluarga kreatif, Raja Ahmad menemui minatnya dalam seni pada usia seawal empat tahun. Beliau telah menjalinkan kerjasama dengan artis tempatan seperti Ujang, yang terus menginspirasikan perjalanan seninya. Sebagai seorang ilustrator muda, beliau bercita-cita meningkatkan kesedaran umum melalui karya seni yang berkesan. Jadi, kita harus terus menyokong anak-anak muda Malaysia untuk melihat seni bukan sahaja sebagai saluran kreativiti tetapi juga sebagai kerjaya masa depan.

Sebagai peneraju untuk pembelajaran dan kreativiti, Faber-Castell komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi menerajui inisiatif pembelajaran inovatif seperti program Score A dan Anugerah Artis Muda. Pelan Kurikulum Persekolahan 2027 merupakan satu langkah penting ke arah memupuk generasi pelapis negara yang mempunyai cara pemikiran yang berkembang, daya saing dan daya tahan. Kami menggalakkan pihak sekolah dan ibu bapa untuk menyambut baik inisiatif yang mengutamakan kreativiti serta kemahiran-kemahiran yang penting untuk kejayaan pelajar.

Pendekatan ini bukan hanya bermanfaat untuk anak-anak muda Malaysia tetapi juga untuk kemajuan dan kesejahteraan keseluruhan negara dan masyarakat. Kita tidak harus memandang rendah kuasa kreativiti dalam pendidikan.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.