Penulis : Anis Akhir
Penerbit : Dear Novels Sdn Bhd
Helaian: 263 mukasurat / 42 bab 1 epilog
Genre: Seram / Thriller
Tarikh Cetakan: Cetakan Pertama – 2019
Harga: RM 24.00 (Semenanjung Malaysia), RM 27.00 (Sabah & Sarawak)
Sinopsis:
Sembilan mawar kucari...
“Nama saya Mawar Zulina.”
Lapan dari darah sendiri...
“Kenapa tok ma masukkan dua aje bunga mawar tu? Kan ada lagi tujuh botol.” Aina pelik.
“Dua bunga mawar tu aje yang elok. Yang lain belum kembang cantik lagi. Tapi, macam boleh buat untuk sebotol lagi ni,” jawab tok ma dengan senyuman misteri.
Satu lagi liar berduri...
Tiba-tiba satu suara gemeresik lagi halus kedengaran. Merdina mula cuak. Bulu romanya naik mencacak. Peluh-peluh mula terbit. Pelbagai andaian liar mula menapak di fikirannya. Perlahan-lahan Merdina meninggalkan dapur dengan degupan jantungnya yang mula laju mengepam darah ke seluruh tubuh.
Sanggup kutuntut sampai mati...
“Waalaikumussalam. Hati-hati di jalan nanti. Kalau ada yang nak tumpang jangan berhenti,” pesan gadis kaunter.
Terus berubah riak pada wajah masing-masing selepas menerima pesanan.
Review:
Tengok cover novel MAWAR ni nampak ringkas juga memukau disebabkan penggunaan bunga mawar yang berdarah ditambah pula blurb yang menarik. Rasa tertarik untuk tahu apa kisah yang akan dibawakan oleh penulis Anis Akhir dalam kisah seram thriller.
Latar masa untuk novel MAWAR ni agak lama sampai makan masa 100 tahun lamanya walaupun mukasurat tak lah tebal mana. Peralihan dari satu bab kepada bab yang lain tak ambil masa yang lama pun. Dari generasi sebelum Mawar Zulina, watak utama lahir lalu memilih ilmu hitam untuk kekal cantik dan berkuasa sehingga lah berjumpa dengan cucu-cucunya, Mawar Sakinah, Mawar Jannah, Mawar Anne, Mawar Amni, Mawar Aina, Mawar Aisyah, Mawar Atikah Mawar Tiara dan juga Mawar Merdina yang berkahwin dengan cucu lelakinya bernama Luqman.
Idea untuk menghasilkan watak yang bertuhankan syaitan dan menggunakan bunga mawar sebagai signature tu menarik. Tapi kenapa bunga mawar tak pula diceritakan dengan baik. Di hujung cerita ada sejarah tentang bagaimana watak Surti dan Bunga terjumpa batu sakti yang menjadi bualan penduduk kampung. Juga macam mana Surti mampu terus mengekalkan kuasa sakti batu tersebut tanpa hidup melarat dek sumpahan tapi anehnya mangsa Surti bukan bernama Mawar jadi bagaimana peralihan dari mangsa random kepada mangsa bernama Mawar pun tak diceritakan juga.
Like I've said earlier, latar masa dia lama tapi ada 263 mukasurat je jadi boleh nampak lah ada beberapa tempoh masa yang dipendekkan untuk beri laluan kepada beberapa latar. Dekat awal novel penulis ceritakan tentang kehidupan Mawar Zulina sebelum amalkan ilmu hitam kemudiannya berkahwin dengan pemuda kacak bernama Zulkipli. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat orang anak lelaki.
Bila tragedi berlaku sampai Mawar Zulina bertindak untuk seru sesuatu dari alam sana, terus masuk ke latar masa di mana cucu-cucunya semua sudah membesar. Banyak juga lah persoalan timbul macam bagaimana kehidupan Mawar Zulina besarkan anak-anak lelaki dia. Kalau sumpahan tu tak menganggu, kenapa ada dialog Armawi risau mak dia ulang perangai lama? Kalau sumpahan menganggu macam apa yang Armawi risaukan, kenapa Armawi benarkan Mawar Atikah, Mawar Tiara, Luqman dan Mawar Merdina pergi ke Vila Sri Amah?
Dekat plot tu dah nampak jalan cerita yang bercelaru. Kalau tengok pada bab sebelum tu, nampak keturunan Mawar Zulina ni menjaga ibadah sebab dah bercampur dengan keturunan lain dan duduk jauh dari Mawar yang amalkan ilmu hitam. Ada penulis ceritakan keluarga Luqman merewang dekat surau atau sembang tentang solat Subuh. Dekat hujung cerita pun ada part Huzair laungkan azan untuk buka pintu bilik yang terkunci kerana gangguan syaitan.
Jadi membuka balik persoalan kenapa semua watak yang pergi ke rumah Mawar Zulina tak solat? Kalau cucu perempuan tak solat boleh terima lah sebab ada fasa datang bulan tetapi yang lelaki apa cerita pulak? Kalau dari hari pertama bermalam dekat rumah Mawar Zulina, confirm dah boleh syak ada sesuatu tak kena dekat vila tu. Kalau sekali azan pun dah boleh keluar bau darah, apatah lagi kalau solat kan?
Alur cerita di bahagian awal novel tu dah seronok dah tapi bila masuk latar masa sekarang terutamanya bila semua cucu berkumpul di Vila Sri Amah dah mula longgar jalan cerita dan mengelirukan. Di bab-bab yang hujung pun dah mula bercanggah dengan bab sebelumnya sampai rasa malas nak ambik port dan habiskan bacaan supaya boleh tahu pengakhiran cerita.
Sayanglah sebab cerita ni ada potensi tapi tak boleh pergi jauh. Gaya penceritaan penulis pun tak menarik untuk dibaca. Dalam satu perenggan ada banyak sangat pengulangan perkataan sampai jadi jelak. Sebab tu juga ambil masa sampai sebulan lebih untuk habiskan bacaan. Ni pun pulun habiskan juga sebab nak pulangkan dekat perpustakaan.
1. Author +0.5, 2. Plot +0.3, 3. Genre +0.4, 4. Social Message +0.5, 5. Personal Thought +0.3 = 2/5
Sayang bila konsep dan idea da cantik tapi penyampaian tak okay..
ReplyDeleteAwal-awal best ek, lepas tu hambar ye..
ReplyDelete