Gandingan Romantis Baharu, Erysha Emyra & Hun Haqeem Menerusi ‘Chinta Wrong Direction’

Tuesday, 4 July 2023

 

Apabila dua jiwa yang larut dalam pergelutan hidup masing-masing bertembung, mereka membuka hati untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Begitulah penceritaan drama terkini Astro Ria, ‘Chinta Wrong Direction’ menampilkan pelakon baharu, Erysha Emyra sebagai Chinta yang hidup dalam kesengsaraan kejaman bapanya.

Chinta bertemu dengan Raja Akid, bosnya di tempat kerja baharu. Raja Akid bak lelaki sempurna; pandai bergaya dan kaya. Namun dia sebenarnya mempunyai trauma dengan golongan wanita yang berpunca daripada kisah keluarganya yang lampau. Kehadiran Chinta dalam hidupnya mengubah segala-galanya. Dari dua latar belakang berbeza, mereka saling melengkapi dan mengatasi kekurangan diri masing-masing. 

‘Chinta Wrong Direction’ merupakan drama rom-com yang sarat dengan hubungan kekeluargaan dan konflik kasih sayang. Penceritaan daripada novelis popular, Norhayati Berahim ini juga disaluti unsur-unsur humor dalam memaparkan sisi-sisi romantik watak utamanya serta menyampai mesej dan jalan cerita yang dekat dengan masyarakat sebagai hiburan.

Hun Haqeem menerajui drama ini sebagai hero utamanya, Raja Akid, di samping Erysha Emyra yang membuat kemunculan pertamanya di slot Megadrama Astro. Pemenang tempat ketiga Dewi Remaja 2022, Kimberly Chuah turut tampil sebagai kawan rapat kepada Chinta, Candy. Manakala Raff Roslee memegang watak sebagai kawan rapat dan “pasangan” kepada Raja Akid iaitu Fuad. 

‘Chinta Wrong Direction’ terbitan Juita Viden Sdn Bhd diarahkan oleh sutradara Hadith Omar ini akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula 26 Jun 2023, jam 10.00 malam secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Alami pengalaman Astro Baharu dan strim tanpa gangguan hujan dengan Astro Ultra Box. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk mendapatkan Pek Primary Astro.

Norzeha Mohd Salleh - Ketua Saluran Astro Ria

“Drama slot MegaDrama sering memaparkan storytelling yang berat dan sarat dengan pergelutan jiwa. Namun kali ini kami menyampaikan naratif yang lebih santai dan diselitkan unsur-unsur humor yang mampu membuat para penonton tersenyum.

‘Chinta Wrong Direction’ memaparkan kisah romantik antara dua watak utamanya, Akid dan Chinta yang mula berputik ketika bekerja bersama. Jalan cerita sebegini amat digemari penonton-penonton muda yang sentiasa inginkan penceritaan romantik K-drama. Lantas kami mahu memenuhi kehendak penonton dan MegaDrama merupakan platform yang terbaik untuk melakukannya.

Naratif yang dipaparkan pada kali ini mempunyai dua gambaran. Walaupun kisah kehidupan watak-watak utamanya berat dengan cabaran masing-masing, kami menyeimbangi jalan cerita mereka berdua dengan kisah pertemuan yang romantis bak cerita ‘first love’ yang mampu menarik para penonton kepada gandingan baharu ini. Semestinya penceritaan sebegini akan menambat hati para peminat drama romantis Korea yang selalunya mempunyai elemen-elemen berat yang disulami dengan side story kisah hero dan heroin yang lebih mengujakan sehingga ke pengakhirannya.

Selain daripada itu, kami ingin mengalu-alukan Erysha Emyra ke slot MegaDrama Astro Ria. Perwatakan Erysha sangat dekat dengan apa yang kami inginkan buat watak Chinta. Gandingannya bersama Hun Haqeem yang memainkan watak Raja Akid sangat hebat. Mereka bijak menyampaikan setiap perasaan dengan betul dan juga pandai dalam memberi ekspresi yang tepat untuk babak-babak yang berat. Kami yakin gandingan baharu ini bakal menjadi sensasi dengan keserasian mereka. Kami juga berharap para penonton dapat melihat kelebihan mereka menerusi drama ini.”

Hadith Omar - Pengarah drama ‘Chinta Wrong Direction’

“Walaupun Erysha merupakan seorang pendatang baharu, dia merupakan seorang yang berbakat dan dapat menyesuaikan diri dengan cepat dengan keadaan di set penggambaran. Hun dan Erysha sudah ditemukan sebelum penggambaran bermula lagi untuk memudahkan mereka mencipta chemistry antara satu sama lain. Hun merupakan seorang pelakon yang amat membantu pasangan lakonannya. Hun banyak memberikan tunjuk ajar dan memberikan tips sepanjang penggambaran dijalankan. Erysha juga amat komited untuk melaksanakan permintaan saya sebagai pengarah.

Drama ini diinspirasikan daripada novel ‘Chinta’ karya Norhayati Berahim. Terdapat improvisasi yang dilakukan daripada novel asal untuk menyesuaikan dengan trend terkini dan untuk mengembangkan cerita sesuai untuk tayangan televisyen. Ini adalah interpretasi kami sebagai produksi untuk menterjemahkan naskhah novel yang mendapat sambutan ramai ini.

Cabaran terbesar untuk drama ini adalah percaturan kami untuk mengetengahkan bakat-bakat muda dan baharu. Kami ingin menyampaikan sesuatu yang fresh kepada para penonton, dan kami berharap mereka dapat menerima generasi baharu ini kerana mereka berbakat besar.

Selain itu kami juga berdepan dengan cabaran di mana Hun dijangkiti virus Covid ketika di peringkat awal penggambaran. Hun juga ke Korea pada pertengahan penggambaran namun semuanya dapat dijalankan sehingga sempurna penggambaran. Peminat drama patut menonton drama ‘Chinta Wrong Direction’ ini kerana ia menampilkan bakat-bakat baharu selain jalan ceritanya yang mengandungi pelbagai emosi. Ada cinta, ada suka, ada duka.

Drama ini juga sarat dengan elemen kekeluargaan yang saya rasa ramai penonton di luar sana yang boleh relate dengan isu dipaparkan. Terdapat beberapa pengajaran yang boleh diperoleh daripada drama ini. Antara pengajaran besar yang dipaparkan adalah pentingnya ikatan kekeluargaan. Sebaik mana atau seburuk mana seseorang ahli keluarga, mereka adalah orang yang akan sentiasa bersama kita susah dan senang. Hormat kepada kedua orang tua kita. Selain itu drama ini juga mengetengahkan isu kesihatan mental.”

PECAHAN WATAK DRAMA ‘CHINTA WRONG DIRECTION’

Hun Haqeem sbg Raja Akid

Erysha Emyra sbg Chinta

Kimberly Chuah sbg Candy

Raff Roslee sbg Fuad

Datuk Hilal sbg Azman Kamal

Wan Nor Azlin sbg Cik Molek

Azhar Amir sbg Raja Haidar

Sharifah Shahorah sbg Shima

Hazeeq Dean sbg Saiful

Shaza Bae sbg Akma


SINOPSIS DRAMA ‘CHINTA WRONG DIRECTION’


Chinta hidup dalam kesengsaraan bersama ayahnya yang sering menghukum dan mencari kesalahannya. Manakala Raja Akid pula mempunyai trauma terhadap golongan wanita yang berpunca daripada kesilapan ibunya dalam perhubungan. Disebabkan itu, Raja Akid sering mengelak daripada menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita sehingga dia bertemu dengan Chinta di tempat kerjanya. 

Kehadiran Chinta dalam hidupnya membuatkan dia lebih selesa. Namun, Raja Akid berbelah bahagi terhadap perasaannya kepada Chinta serta kebenciannya terhadap wanita. Walaupun kedua-duanya perlu mengharungi pelbagai masalah keluarga yang rumit, keberadaan di sisi masing-masing membuatkan kehidupan mereka berasa bahagia.

2 comments

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.