Destinasi Unggul Kandungan Melayu, Astro Persembahkan Tiga Drama Hebat

Wednesday, 26 July 2023

Sebagai pelopor drama tempatan terbesar di negara, Astro mempersembahkan koleksi drama-drama terbaharu yang bakal menggegarkan landskap drama rantaian tempatan dengan kepelbagaian genre untuk kesemua golongan penonton di Malaysia.

Astro memperluaskan lagi karya drama rantaiannya kepada golongan muda dengan ‘Budak Hostel Otaknya Sewel’, manakala memperkuatkan lagi proposisi drama di Tiara menerusi ‘Bukan Cinta Sempurna’ lantas mengembalikan drama rantaian keagamaan, ‘Tanah Kubur’ yang senantiasa menjadi kegemaran di kalangan ramai penonton drama Astro yang tegar.

Dengan landskap hiburan yang kian kompetitif, Astro mempertaruhkan drama-dramanya yang menyelit pelbagai genre dan elemen penceritaan untuk menarik minat golongan tua mahupun muda yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Selain daripada memupuk minat terhadap kandungan-kandungan tempatan yang hebat, karya-karya ini turut mengetengahkan bakat-bakat yang bakal menerajui dunia hiburan Malaysia.

Budak Hostel Otaknya Sewel

MegaDrama di Astro Ria bakal diperkenalkan dengan drama berkonsepkan coming-of-age yang memaparkan ramai muka baharu dalam industri lakonan tempatan iaitu ‘Budak Hostel Otaknya Sewel’.

Drama rantaian 16 episod ini mengisahkan empat orang pelajar yang mempunyai pertalian persahabatan yang kuat, menuntut di sebuah sekolah asrama. Mat Piah, Cupin, Akhil dan Widad mengharungi kisah suka duka zaman remaja termasuk tekanan rakan sebaya, jatuh cinta serta kenakalan yang sering membuatkan mereka ‘terkantoi’ dengan pihak berkuasa di sekolah. Dengan setiap kisah serta cabaran yang ada, kekuatan persahabatan mereka pasti mengatasi segalanya. 

Dibintangi muka-muka baharu termasuk alumni Big Stage 4, Tuah Adzmi, Adam Eji, Izz Ilham dan Baihaqi Majid sebagai tunggak utama. Manakala para pelakon A-List Malaysia seperti Sharnaaz Ahmad, Azhan Rani dan Didie Alias menguatkan casting drama ini. Diterbitkan oleh Radius One, drama berkonsepkan keremajaan ini diarahkan oleh Mr. Labu yang diadaptasi daripada novel nukilan Hasrul Rizwan yang sama judul.

‘Budak Hostel Otaknya Sewel’ memaparkan penceritaan berani yang akan menarik minat para penonton muda. Apa yang membuatkan drama rantaian ini lebih relevan adalah pelakon-pelakon muda yang diambil bakal dilihat oleh golongan penonton ini sebagai representasi realistik yang mencerminkan siapa diri mereka.

‘Budak Hostel Otaknya Sewel’ akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis bermula 31 Julai 2023, jam 10.00 malam secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104).

Bukan Cinta Sempurna

‘Bukan Cinta Sempurna’ mendominasi slot Tiara pada kali ini dengan menampilkan Ayda Jebat sebagai Qistina, pekerja ladang yang berhadapan dengan pelbagai cabaran bersama ibunya setelah dia jatuh cinta dengan Luqman, anak kepada Tuan Budi, pemilik ladang tersebut. Namun percintaan mereka dipenuhi onak duri lantaran kematian Tuan Budi apabila hubungan mereka dihujani fitnah. Nasib Qistina menjadi lebih tragis apabila dia ditinggalkan dalam keadaan hamil oleh Luqman yang sudah terkesan dengan fitnah, memaksa Qistina untuk keluar dan membina kehidupan sendiri.


Ayda Jebat didampingi hero-hero hebat, Fadlan Hazim sebagai Luqman beserta Amar Baharin sebagai anak sulung Tuan Budi iaitu Zyan. Kisah yang turut menyelit pemerkasaan wanita ini diarahkan oleh sutradara Azri Izhar serta dibarisi barisan pelakon berpengalaman seperti Dato’ Ziela Jalil, Emelda Rosemila, Husna Mustaffa, Dato’ Raja Shah Rezza dan Shah Iskandar.

‘Bukan Cinta Sempurna’ akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula 31 Julai 2023, jam 6.00 petang secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104).

Tanah Kubur Musim ke-16

Selepas penantian selama 7 tahun, para penggemar drama rantaian bersiri ‘Tanah Kubur’ kini kembali untuk musim ke-16 yang bakal bersiaran di Astro Oasis. Dengan penceritaan yang berpaksikan keagamaan dan moral, drama ini merupakan antara drama yang terlama bertakhta di Astro dengan meraih pujian serta minat ramai penonton.

‘Tanah Kubur’ musim terbaharu ini kekal memaparkan kisah hal kematian yang perlu dihadapi Tok Adi sebagai penggali kubur di kampungnya. Setiap kali menguruskan jenazah, dia sentiasa menghadapi pelbagai dugaan dan perkara aneh yang menjadikan kisahnya padat dengan elemen religi dan kemasyarakatan. Masih diterajui pelakon veteran Nasir Bilal Khan, musim baharu ini turut menampilkan wajah-wajah hebat sebagai pelakon jemputan seperti Naim Daniel, Nad Zainal, Dato’ Aaron Aziz dan ramai lagi.


Penggambaran drama ini dilakukan di Ijok, Sekinchan, Rawang dan Kuala Lumpur dengan hasil karya berkualiti arahan Rashid Sibir bersama kru produksi yang sama. Namun penceritaan kali ini dihiasi nafas baharu dengan pelbagai topik penuh iktibar dan pengajaran yang bermanfaat. ‘Tanah Kubur’ musim ke-16 ini akan ditayangkan pada setiap hari Jumaat, bermula 11 Ogos 2023, jam 7.30 malam secara eksklusif di saluran Astro Oasis (106).

Kesemua drama-drama terbaharu Astro ini turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan  aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Alami pengalaman Astro Baharu. Strim tanpa gangguan hujan dengan Astro Ultra Box. Untuk melanggan Pek Primary, WhatsApp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838.

Raqim Ahmad - Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro


“Genre drama kian berkembang dan sentiasa melalui proses transformasi untuk memastikan percambahan penonton dan minat ditampung. Kemunculan generasi baharu, muda malah ‘digital natives’ amat ketara dan kian mendadak. Cita rasa mereka berbeza dengan golongan matang dan mereka yang sudah bekerja. Dengan adanya segmen seperti ini, kami telah mengenal pasti wujudnya permintaan untuk drama berpandukan kehendak golongan muda seperti genre coming-of-age yang akan dipaparkan di slot MegaDrama iaitu Budak Hostel Otaknya Sewel.

Manakala Tiara kembali memperkukuhkan lagi dominasi drama di slot jam 6 petang. Dengan Ayda Jebat menjadi pertaruhan pada kali ini, kami menjangkakan peralihan ramai penonton muda ke slot Tiara untuk mengikuti Bukan Cinta Sempurna di saluran Astro Ria mahupun strim menerusi On Demand. Kami yakin kekuatan casting drama ini akan ungguli saingan yang ada dan bakal menjadi topik perbualan di laman media sosial di kalangan Netizen.

Bukan itu sahaja, kembalinya Tanah Kubur di platform kami menunjukkan betapa kompetitif drama-drama kami dengan kepelbagaian penceritaan dan genre. Tanah Kubur begitu sinonim dengan Astro. 

Dengan memasuki musim ke-16, gandingan Rashid Sibir dan Nasir Bilal Khan bakal menguatkan lagikedudukan Astro sebagai pembikin drama kandungan utama di negara. Ramai pasti akan menonton drama rantaian ini dan ramai penonton baharu pula akan mula menyaksikan drama yang telah banyak melakar sukses serta meninggalkan impak di kalangan para penonton.

Uniknya drama-drama kami adalah gandingan di antara yang lama dan baharu. Kami percaya kombinasi tenaga kerja serta barisan pelakon tanpa kira usia membolehkan karya-karya di Astro berkembang secara kreatif dan sentiasa mengubah trend tersedia ada dengan penceritaan yang berani dan lain. Inilah trademark Astro yang selalu membawa pembaharuan dalam apa jua kami lakukan.”

1 comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.