Drama Review | Teluh Darah (2023)

Sunday, 11 June 2023


Pengarah : Kimo Stamboel
Penulis Skrip : Agasyah Karim, Khalid Kashogi, Bayu Kurnia, Kimo Stamboel
Pelakon: Mikha Tambayong, Deva Mahenra, Lukman Sardi, Imelda Therinne, Justin Adiwinata, Willem Bevers, Shenina Cinnamon, Kiki Narendra
Syarikat Produksi: Rapi Films 
Penyiaran: Disney+ Hotstar
Genre: Seram / Misteri
Jumlah Episod: 10 Episod (47 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan : 25 Februari – 29 April 2023
Trailer : 


Kebahagiaan dalam keluarga Wulan Kusumawijaya (Mikha Tambayong) direntap setelah mengalami kejadian aneh yang bermula dengan tompokan air pada siling rumah, kehadiran ulat dan juga kematian musang. Setiap hari ada saja perkara aneh yang berlaku namun Wulan tak ambil pusing dengan gangguan tersebut kerana dia wanita moden yang tak percaya dengan alam ghaib. 

Adiknya, Wisnu (Justin Adiwinata) syak mereka disantau kerana perkara yang sama juga dialami oleh rakannya tapi Wulan menyanggah keras andaian tersebut. Ada banyak lagi perkara yang perlu difikirkan seperti projek pelaburan di Lonbor, majlis perkahwinannya yang dibatalkan ataupun bekas isteri pertama ayahnya, Tante Rima (Ruth Marini) yang sering datang menuntut wang. 


‘Ini semua tu nggak masuk akal tapi ini benar-benar terjadi dan satu-satunya cara kita buat untuk bisa nemuin jalan keluar ialah kita harus percaya.’ - Esa

Dalam masa yang sama, Esa (Deva Mahenra) terpaksa melihat kematian tragis ayahnya yang juga berpunca dari santau. Kerana perkara tersebut Esa dapat tahu ayahnya, Bondan Prasetyo (Willem Bevers) berkawan baik dengan Ahmad Kusumawijaya (Lukman Sardi). Setelah kematian Bondan juga, Ahmad dan isterinya, Astuti (Imelda Therinne) mengalami sakit yang sama malah lebih menyeksakan.

 
Sebelum melarat lebih teruk, Wulan dan Esa mula meminta bantuan setelah Harna (Otig Pakis) guna ritual untuk mengesan di mana bungkusan ilmu hitam ditanam di rumah Wulan. Dari kejadian tersebut, mereka menjejak kembali tragedi yang berlaku di Bayuwangi pada tahun 80-an di mana Ahmad dan Bondan bekerja bersama di P.T. AKW Energy. 

Daerah Bayuwangi mempunyai peristiwa jenayah yang menghantui penduduk di sana dan menggemparkan negara Indonesia kerana kewujudan ‘Hantu Ninja’ di mana mereka membunuh dukun, kiyai dan pelajar tahfiz. Dari jenayah tersebut, penulis mendapat ilham untuk penceritaan drama Teluh Darah terbitan Rapi Films. 


Uniknya drama Teluh Darah tak menggunakan hantu tapi gangguan yang berterusan dari serangga seperti ulat, tebuan, lipas dan lipan. Dengar perkataan tebuan pun dah seriau sebab takut disengat, bayangkan kalau tebuan bersarang dalam badan. Bila malam mula rasa seram sebab takut tengok beberapa watak menjerit minta tolong. Kalau terkena santau bukannya boleh bawa jumpa doktor. Of course, keluarga Wulan bawa Ahmad pergi hospital tapi apa yang doktor boleh buat bila tebuan bersarang dalam badan? Doktor pun terkaku tengok skrin ultrasound tu. 

Visual drama Teluh Darah dibikin kelam untuk menguatkan elemen seram terutamanya di kawasan rumah Wulan. Agak terganggu lah bila tak nampak jelas dengan apa yang ada dalam babak tu tapi kalau jelas pun rasa kembang tekak jugak. Penggunaan CGI untuk kesemua serangga tapi tak lah nampak sangat, mungkin sebab tu juga pengarah pilih lighting macam tu supaya tak nampak jelas kesan CGI tu. Music score dan montaj intro juga cemerlang.


Drama Teluh Darah tak ada sedikit pun momen yang buatkan penceritaan rasa tersia atau mendatar sebab setiap episod ada twist dan misterinya yang tersendiri. Tak hairan pun kalau boleh habis dalam masa sehari sebab penasaran dengan rahsia di Bayuwangi, siapa dukun yang menyantau mereka sekeluarga dan apa kesudahan nasib Wulan sekeluarga. 

Drama ni tak sesuai untuk tontonan keluarga sebab ada adegan yang ekstrem, penggunaan darah, kata kesat dan juga adegan tak sesuai ditonton bawah umur. Jangan tengok masa makan juga. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +1, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 10/10

2 comments

  1. Aduh.. Kalau filem seram je memang kena kelam eh.. Stress tau tak nampak dengan jelas.. huhuhu.. Walaupun tak berapa berani tapi kadang-kadang lepas baca review Farhana teringin juga nak tengok.. Tapi kalau kelam, tak jadilah..

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.