TEATER MUZIKAL UPIN & IPIN – PIN PIN POM! DITAYANGKAN DI ASTRO FIRST DENGAN VERSI EKSKLUSIF, LEBIH BANYAK KESAN VISUAL

Tuesday, 16 May 2023

Animasi popular Malaysia, Upin & Ipin telah tampil dengan pementasan Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! pada penghujung tahun lalu di Malaysia serta Singapura. Teater tersebut telah mendapat sambutan positif daripada jutaan penonton yang meliputi anak kecil serta orang dewasa. Rentetan daripada kejayaan tersebut, pihak penerbit Les’Copaque Production membawa Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! untuk dipersembahkan di platform Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 18 Mei ini. Lebih istimewa, versi yang akan ditayangkan di Astro First  adalah berbeza dan memperlihatkan penggunaan kesan visual menggunakan teknologi multimedia  yang lebih banyak sepanjang teater dipersembahkan. 

Menurut Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! ini sangat istimewa kerana ianya mempunyai elemen multimedia serta lagu-lagu yang digubah oleh komposer Les’ Copaque sendiri. Teater ini juga merupakan 100 peratus karya anak tempatan.

Teater berdurasi 1 jam 6 minit ini diarahkan oleh Siti Rohayah Atan dan menampilkan watak-watak utama Upin, Ipin dan kawan-kawan seperti Ehsan, Mail, Jarjit, Mei Mei, Fizi, Susanti serta menampilkan beberapa watak baharu yang kali pertama diketengahkan dalam pementasan teater seperti karakter Pahlawan Magik Upin Ipin dan Nenek Kebayan. Kesemua watak ini dilakonkan sepenuhnya oleh maskot dengan kostum menarik yang direka khas untuk pementasan teater tersebut. 

Cerita asal merupakan hasil idea Hajah Ainon Bt Ariff dan beliau juga merupakan penulis skrip bersama Nur Naquyah Binti Burhanuddin. Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! mengisahkan tentang pengembaraan Upin & Ipin ke dunia Pin Pin Pom! demi menyelamatkan diri dan kawan-kawan daripada cengkaman Nenek Kebayan yang mencari Batu Delima Sakti. Teater ini penuh dengan aksi yang mendebarkan dan mencuit hati di samping lagu-lagu yang menghiburkan. Terdapat 10  buah lagu yang dipersembahkan di teater ini dan mengangkat lagu  Upin & Ipin – Pin Pin Pom! sebagai lagu tema utama pementasan ini. Lagu tersebut menyelitkan dialog simbolik ‘Pin Pin Pom!’ yang amat popular dari salah satu siri Upin & Ipin dan diiringi dengan susuan muzik yang ‘catchy’. 

Selain itu, Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! di Astro First ini turut diselitkan sesi temu ramah eksklusif bersama tenaga-tenaga kreatif di sebalik tabir yang menjayakan teater ini serta barisan pelakon utama alih suara.

Saksikan Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! bermula 18 Mei 2023 Di Pawagam Rumah Anda, Astro First saluran 480 atau strim di On Demand atau Astro GO. Langgan dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter, TikTok Astro First, Astro Shaw dan Astro Gempak.


******************

Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom!


Tajuk : Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom!
Genre: Teater 
Pengarah: Siti Rohayah Atan
Produksi: Les’ Copaque Production Sdn. Bhd.
Bahasa: Bahasa Melayu
Durasi Filem: 1jam 6minit
Tarikh Tayangan di Astro First: 18 Mei 2023

TUNGGAK UTAMA
Dipersembahkan oleh : Les’ Copaque Production Sdn. Bhd.
Penerbit: Haji Burhanuddin Bin Md. Radzi & Keith Sim
Pengarah: Siti Rohayah Atan
Skrip: Hajah Ainon Bt Ariff & Nur Naquyah Binti Burhanuddin
Cerita Asal: Hajah Ainon Bt Ariff
Koreografer: A. Aris A. Kadir 
Pengurus Produksi: Mohd Zarin Bin Abdul Karim
Pengarah Fotografi: Putranda Pahlevi B. Ruslan
Penyunting: Mohamad Firdaus Bin Haini & Muhamad Asyraf Bin Azmi
Pengarah Animasi: Khairul Aimran Bin Ibrahim 
Muzik Skor: Muhammad Ammar Syahid Bin Mohd Arif & Faizal Fauzi
Pengarah Audio & Muzik: Muhamad Zaki Bin Ishak
Pereka Busana: Couture Classics Sdn. Bhd.
Pengurus Teknikal: Mohammad Hafiz Bin Roslan
Jurugambar & Video: Nur Hakim Bin Mat Nor & Mohd Hairuddin Bin Latib

BARISAN PELAKON


Asyiela Putri Bt Azhar sbg Upin & Ipin
Deera Amin sbg Nenek Kebayan
Muhammad Fareez Daniel Bin Sharabuddin sbg Ehsan
Usayd Uqashah Kamsani sbg Mail
Muhammad Hafiz Bin Hassan sbg Jarjit
Tang Ying Sowk sbg Mei Mei
Rufaidah Bt Muhamed Fadzil sbg Fizi
Siti Nor Adwin Bt Safie sbg Susanti
Hajah Ainon Bt Ariff sbg Opah
Siti Khairunnisa Bt Mohamad Riduan sbg Ros
Haji Burhanuddin Bin Md. Radzi sbg Tok Dalang
Mohd Bukhari Bin Amir Hamzah sbg Rembo
Hazimin Bin Hamdan sbg Si Polan
Nik Abdul Razzaq Fahmi Bin Abdul Rashid sbg Monyet

OST
Lagu: Upin & Ipin – Pin Pin Pom!
Penyanyi: Asyiela Putri Bt Azhar
Lirik: Nur Naquyah Binti Burhanuddin
Komposer: Muhammad Ammar Syahid Bin Mohd Arif

SINOPSIS

Upin dan Ipin sedang bermain bersama kawan-kawan apabila Susanti buka cerita tentang lagenda satu batu ajaib, Batu Delima Sakti. Batu ajaib ini hanya berjaya dimiliki oleh Nenek Kebayan. Dengan kuasa batu ajaib ini, pelbagai kerosakan telah dilakukan oleh Nenek Kebayan. Sedang mereka bergembira bermain Nenek Si Bongkok Tiga, Rembo datang buat hal. Tok Dalang datang minta tolong Upin dan Ipin menangkap Rembo yang mencuri seliparnya.

Upin dan Ipin kejar Rembo hingga ke satu rumah usang. Di dalam rumah itu, mereka berjumpa seketul batu merah yang amat cantik. Ipin ambil batu itu dan bawanya pulang tanpa pengetahuan Upin. Setelah mereka keluar dari rumah itu, Nenek Kebayan muncul dan mencari semula Batu Delima Sakti yang dia simpan di Kampung Durian Runtuh. Dengan menggunakan kuasa tongkat sakti, Nenek Kebayan dapat tahu Upin dan Ipin yang mengambil Batu Delima Saktinya. Dengan segera, Nenek Kebayan munculkan diri di hadapan Upin dan Ipin untuk menuntut semula batu sakti itu daripada mereka.


Ketika Nenek Kebayan menggunakan kuasanya terhadap Upin dan Ipin, mereka bertukar menjadi Pahlawan Magik Pin Pin Pom dan cuba untuk melawan semula Nenek Kebayan. Upin dan Ipin berjaya menumpaskan Nenek Kebayan dengan bantuan kuasa dari Batu Delima Sakti. Nenek Kebayan mengarahkan tongkat saktinya untuk mencari kelemahan Upin dan Ipin. Dengan menggunakan kelemahan Upin dan Ipin, Nenek Kebayan mengugut mereka supaya serahkan Batu Delima Sakti.

Upin dan Ipin tiba dekat rumah usang Nenek Kebayan tetapi dia tidak kelihatan. Begitu juga kawan-kawan mereka. Tiba-tiba, Nenek Kebayan muncul dan hantar satu per satu makhluk suruhannya selesaikan Upin dan Ipin. Disebabkan kelalaian Ipin setelah berjaya mengalahkan kesemua makhluk suruhan Nenek Kebayan, Nenek Kebayan dapat merampas semula Batu Delima Sakti tetapi akhirnya terbukti bahawa batu itu palsu!


Dengan bantuan para penonton, Upin dan Ipin berjaya menundukkan Nenek Kebayan. Nenek Kebayan melepaskan kawan-kawan Upin dan Ipin. Dengan segera, Upin dan Ipin memerangkap Nenek Kebayan masuk kembali ke bingkai gambar di dinding rumah usang itu. Kampung Durian Runtuh kembali aman dan selamat.

1 comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.