Penghijrahan yang paling bererti apabila dua kalimah syahadah dilafazkan tatkala cabaran hidup kian melara. Begitulah naratif terkini slot Tiara yang memaparkan kisah seorang wanita, Jannah/ Janet yang memeluk Islam demi untuk bersama kekasihnya, Syawal Fitri. Namun pengorbanannya turut menyaksikan diri Jannah disisih oleh keluarganya sendiri, malah penerimaan ibu mertuanya bagaikan racun menyusuk perhubungan suami isteri antara Syawal dan Jannah. Walaupun mengharungi pelbagai dugaan termasuk dimadukan, Jannah tetap mendalami ilmu agama demi menjadi seorang isteri yang baik. Dalam usaha mencari ilmu, Jannah bertemu dengan Zakri, salah seorang fasilitator agama yang mula jatuh cinta dengannya.
‘Hijrah Jannah’ memaparkan polemik perkahwinan serta tugas dan tanggungjawab lelaki sebagai suami di dalam kerangka poligami. Drama kali ini turut memberi penekanan terhadap penerimaan golongan mualaf di kalangan keluarga dan masyarakat.
Remy Ishak turut membuat penampilan pertamanya di slot Tiara sebagai Syawal, hero drama rantaian ini. Pertaruhan kali ini turut melihat Puteri Sarah memegang watak antagonis, Munirah yakni isteri kedua Syawal manakala pelakon jelita, Daniella Sya memegang watak utama, Jannah/Janet. ‘Hijrah Jannah’ turut didukung oleh pelakon-pelakon hebat seperti Ezaidi Aziz, Khalidah Atlibah, Daniel Fong, Angeline Tan, Kenji Sawahi dan ramai lagi.
‘Hijrah Jannah’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 5 Jun 2023, jam 6.00 petang secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.
Norzeha Mohd Salleh - Ketua Saluran Astro Ria
“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah penceritaan ‘Hijrah Jannah’ yang memaparkan sisi-sisi liku perjalanan seorang mualaf dalam memulakan kehidupan baharunya, terutamanya apabila diri tertekan dengan ketidakterimaan keluarga serta tentangan yang diterima daripada keluarga mertua.
Drama rantaian kali ini memaparkan Janet atau Jannah, sebagai protagonis utama drama yang mengharungi pelbagai dugaan dan tentangan yang diterima daripada pelbagai pihak, termasuklah keluarganya sendiri serta keluarga suaminya.
Lakonan Daniella Sya amat berkesan serta efektif. Dia berjaya mendalami watak yang kompleks yang jarang sekali dipaparkan menerusi platform mainstream secara mendalam. Jarang sekali kita dipertontonkan drama yang penuh dengan titipan-titipan agama yang memerlukan penelitian dalam menjelaskan hukum-hukum yang ada. Kelainan seperti ini mampu mencabar pembikin-pembikin drama dalam memperluaskan penceritaan kepada elemen religi yang seharusnya menjadi antara kandungan utama dalam drama-drama rantaian di Malaysia.
Kepelbagaian dalam gandingan pelakon turut melihatkan kesungguhan kami dalam memperkasakan kandungan yang ada. Kemajmukan negara kita membolehkan ‘cross vernacular’ berlaku dengan mudahnya. Kami percaya drama rantaian ‘Hijrah Jannah’ mampu menarik bukan sahaja para penonton berbahasa Melayu malah penonton-penonton yang bertutur dalam vernakular lain untuk menontonnya. Semoga slot Tiara sentiasa kukuh dalam menjadi antara slot drama terkuat di Malaysia menerusi ‘Hijrah Jannah’ dengan membawa naratif-naratif berbeza dan mencabar yang merupakan objektif utama kami di Astro.”
Feroz Kader - Pengarah Drama ‘Hijrah Jannah’
“Gabungan pelakon dalam drama ini samada yang baru atau lama merupakan gandingan yang bagus, sangat positif. Kami memaparkan pelakon-pelakon pelapis. Kami juga kekalkan pelakon lama membawakan watak-watak yang berat dan tak lupa pelakon baharu yang berbakat besar. Selain itu, gabungan itu dapat memberi ilmu kepada pelakon baharu untuk menimba pengalaman. Sebagai pengarah, saya suka bekerja dengan orang baharu kerana saya nampak mereka sangat berusaha untuk buat sesuatu dan tahu bila digandingkan dengan pelakon lama, mereka teruja. Mereka rasa bertanggungjawab dan buat yang terbaik.
Cabaran drama ‘Hijrah Jannah’ adalah lebih kepada karakter. Kami mahu warnakan setiap watak yang ada. Saya tahu Remy boleh membawa karakter dengan sangat berkesan dan baik. Saya pernah bekerja dengan Daniella menerusi kisah aksi, tetapi ini kali pertama dia melakonkan sesuatu yang sangat beremosi bersentimenkan keluarga, kasih sayang dan dia banyak menitis air mata. Jadi saya tahu dia boleh bawa dengan baik. Gandingan antara Daniella dan Remy sangat baik. Saya banyak berbincang dengan Remy untuk warnakan karakter dia sebab nak lari daripada dikena stereotaip. Saya berharap agar para penonton teruja dengan kisah ‘Hijrah Jannah’ serta dinamik para pelakonnya.”
PECAHAN WATAK DRAMA ‘HIJRAH JANNAH’
Daniella Sya sbg Jannah/ Janet
Remy Ishak sbg Syawal Fitri
Puteri Sarah Liyana sbg Munirah
Khalidah Atlibah sbg Puan Sri Rafidah
Daniel Fong sbg Danial
Ezaidi Aziz sbg Zakri
Hanna Halim sbg Zahra
Riz Amin sbg Azim
Erynn Abdullah sbg Medina
Rahim Jailani sbg Tan Sri Shaharudin
Angeline Tan sbg Puan Lian
Kenji Sawahi sbg Encik Kiat
LOGLINE DRAMA ‘HIJRAH JANNAH’
Janet memeluk Islam sebaik berkahwin dengan kekasihnya, Syawal Fitri. Namun bahtera perkahwinan mereka diduga dengan tentangan daripada ibu Syawal, Puan Sri Rafidah yang juga memaksa Syawal untuk menerima menantu pilihannya, Munirah sebagai madu kepada Janet.
SINOPSIS DRAMA ‘HIJRAH JANNAH’
Setelah berkahwin dengan Syawal Fitri, Janet memeluk islam dan lantas dibuang keluarganya. Namun kesukaran hidupnya itu bertambah buruk apabila ibu syawal, Puan Sri Rafidah bertekad untuk menyeksa hidup menantunya itu. Setiap langkah Janet, kini Jannah tidak pernah betul, ada sahaja yang tidak kena. Kebenciannya terhadap Jannah membawa kepada dia memaksa anaknya untuk berkahwin lagi sekali, kini dengan wanita pilihannya, Munirah. Syawal akur dan menerima Munirah, tetapi dia tidak sama sekali menyangka isteri baharunya itu merupakan seorang yang berpura-pura baik sahaja. Pernikahannya dengan Munirah bakal membawa pergolakkan di antara Syawal dan Jannah. Demi mendalami agama baharunya, Jannah mengambil inisiatif untuk belajar dan dalam proses berkenaan, dia berkenalan dengan Zakri, salah seorang fasilitator di pusat pembelajarannya itu. Zakri simpati dengan nasib Jannah dan pada masa yang sama menyimpan perasaan terhadapnya. Munirah yang sedar tentang perasaan dan niat Zakri mengambil peluang ini untuk menyemai benih sangsi di dalam hati Syawal.
Thanks for your review...
ReplyDeletejalan cerita menarik..
ReplyDelete