Astro Ria membawa pergolakan kisah cinta yang mengharungi pelbagai dugaan mendatang menerusi slot MegaDrama yang bertajuk ‘Akira Khan’. Drama adaptasi novel terlaris karya Ammara Ayyash ini menampilkan percintaan sejauh 4, 518 kilometer di antara dua keturunan dan budaya yang berbeza yakni Melayu dan Pakistan yang bakal menjadi keterujaan ramai peminat.
Penceritaan menerusi 26 episod ini berkisarkan seorang gadis berdarah Pakistani-Melayu bernama Akira Khan yang telah bertemu dan jatuh cinta kepada seorang jejaka Melayu bernama Radin. Walau bagaimanapun, percintaan mereka dihalang kerana perbezaan keturunan dan bangsa. Kisah cinta mereka menjadi lebih rumit dengan perkahwinan rahsia mereka kerana sebuah insiden yang berlaku di antara mereka. Sayang sekali, perkahwinan ini hancur apabila Radin ditimpa kemalangan dan hilang ingatan ketika Akira pulang ke Pakistan. Ujian demi ujian menimpa Akira dalam mendapatkan suaminya kembali tetapi hanya takdir yang mampu menyatukan cinta mereka semula.
‘Akira Khan’ merupakan terbitan penerbit drama terkenal iaitu SR One Sdn Bhd yang membawa kembali lakonan hebat pasangan suami isteri, Uqasha Senrose dan Kamal Adli sebagai Akira Khan dan Radin. Dengan berlatarbelakangkan dua negara, penggambaran drama ini turut dilakukan di Pakistan dengan menampilkan lokasi-lokasi yang cantik serta sarat dengan sinematografi indah.
Barisan pelakon yang terlibat turut mempelajari bahasa Pakistan untuk menguasai watak masing-masing. Selain daripada barisan pelakon utama kami, MegaDrama kali ini turut memperkenalkan pelakon baharu Irfan Zaini yang amat dikenali di kalangan penonton yang berbahasa tamil. Memegang watak sebagai Zafar dalam drama ini, Irfan merupakan pelakon yang aktif dalam drama-drama berbahasa tamil dan kini mengorak langkah ke drama melayu.
Drama hasil pengarahan sutradara Jamal Khan ini turut dibintangi Julia Farhana Marin sebagai Liyana, Esma Daniel sebagai Kamarul, Datin Maria Farida sebagai Fareedah, Idzham Ismail sebagai Joe dan Saidah Kamarudin sebagai Faten, sepupu kepada Akira. Saksikan ‘Akira Khan’ bermula 18 Januari ini pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot MegaDrama Astro Ria (saluran 104). Untuk pilihan lebih fleksibel, strim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.
PETIKAN KENYATAAN RASMI
Norzeha Mohd Salleh - Ketua Saluran Astro Ria “Kisah cinta merupakan antara genre yang evergreen, sentiasa digemari ramai, tidak kira muda atau pun tua.
Namun, kisah seperti ini juga mampu dikembangkan dalam pelbagai naratif dengan memaparkan sisi-sisi emosi yang relevan kepada para penonton. Untuk memastikan penceritaan berkesan, kreativiti dan daya imaginasi haruslah tegar dan konsisten. ‘Akira Khan’ merupakan hasil buah tangan terkini pihak Astro yang mengolah dan menggabungkan kedua-dua elemen penceritaan ini.
‘Akira Khan’ merupakan sebuah drama yang menceritakan hubungan cinta antara dua orang insan yang berasal daripada dua bangsa dan budaya berbeza. Dari Pakistan ke Malaysia, ceritanya berpaksikan dugaan dalam hubungan yang terjalin atas perbezaan ini serta keupayaan untuk membina semula mahligai yang retak dan berhancuran.
Kami amat berbangga dan teruja dengan kerjasama yang sekali lagi terjalin dengan Siti Rosmizah. Drama-drama terbitannya sememangnya sangat menarik dan sering terpaut di hati para penonton. ‘Akira Khan’ juga mendapat sentuhan unik daripada sutradara berbakat besar, Jamal Khan yang membuatkan kami teruja dengan hasil arahannya.
Bukan itu sahaja, kembalinya pasangan yang tidak lekang daripada mulut para peminat turut menjayakan drama ini sebagai watak utama selepas penampilan mereka dalam siri Setelah Terlafaznya Akad 1 & 2. Kami masih berasa sangat kagum dengan profesionalisme Uqasha Senrose dan Kamal Adli dalam karakter masing-masing sebagai Akira dan Radin walaupun pada hakikatnya mereka merupakan suami isteri sebenar. Kedua-duanya wajar dipuji oleh semua pihak atas dedikasi mereka.
‘Akira Khan’ memberi nafas baharu kepada penceritaan berkisahkan cinta menerusi slot kami. Gabungan budaya serta adegan-adegan yang berlatarbelakangkan negara kita dan Pakistan turut akan mempesonakan ramai yang menonton. Pihak Astro berharap agar semua terhibur dan semestinya kagum dengan ‘Akira Khan’.
Jamal Khan - Pengarah drama ‘Akira Khan’
“Seperti naratif drama ini, ‘Akira Khan’ memang sudah lama ada dalam keturunan Pakistan iaitu keluarga yang menentukan jodoh. Sehingga ke hari ini, tradisi ini masih wujud di negaranya.Drama ini membawa keistimewaan di mana ia turut berlatarbelakangkan budaya orang Pakistan. Sebagai seorang gadis yang berasal daripada Pakistan, Akira mempunyai keluarga dengan pegangan yang ketat terhadap tradisinya. Oleh itu, kami terbang ke sana untuk meneruskan penggambaran.
Pada mulanya saya ingin ke Turki untuk lokasi-lokasi penggambaran yang berbeza dan selesa. Namun saya ingin membawa budaya Pakistan ini dengan lebih natural ke dalam penceritaannya. Mereka mempunyai lokasi dan budaya yang berbeza, itulah yang istimewanya selain daripada kisah cinta.
Namun, ia juga memberi cabaran kepada kami kerana sewaktu perjalanan pulang ke hotel dari lokasi, kami menghadapi kejadian tanah runtuh. Jadi sebarang kenderaan tidak dibenarkan untuk lalu. Kami terpaksa bermalam di hotel yang berlainan tanpa membawa sebarang persalinan.
Saya ingin berterima kasih kepada Kak Siti Rosmizah yang sudah lama menawarkan naskhah ini kepada saya. Jalan penceritaannya sangat menarik, memang rezeki buat saya. Kisah cinta Akira dan Radin ini sangat bermakna kerana ia juga dilakonkan oleh pasangan sebenar Uqasha dan Kamal berbanding drama-drama romantik yang lain, jadi saya berharap para peminat novel Kak Siti Rosmizah akan sentiasa memberi sokongan terhadap drama ini.”
PECAHAN WATAK DRAMA ‘AKIRA KHAN’
Uqasha Senrose sbg Akira Khan
Kamal Adli sbg Radin
Julia Farhana sbg Marin Liyana
Esma Daniel sbg Kamarul
Datin Maria Farida sbg Fareedah
Idzham Ismail sbg Joe
Irfan Zaini sbg Zafar
Saidah Kamarudin sbg Faten
SINOPSIS DRAMA ‘AKIRA KHAN’
Akira merupakan seorang gadis berkacukan Pakistan-Melayu. Pada suatu hari, dia dan keluarganya datang ke Terengganu untuk meraikan majlis pertunangan sepupunya. Di majlis itu, Akira berkenalan dengan seorang lelaki bernama Radin dan jatuh cinta kepadanya walaupun sudah mempunyai calon yang dipilih oleh ibunya iaitu Zafar. Akira menganggap Zafar sebagai abangnya, namun dia akur dengan arahan ibunya kerana dia tahu bahawa Radin juga sudah mempunyai kekasih bernama Liyana.
Ketika Radin berasa kecewa kerana cintanya didustakan, Akira mengajak Radin bersiar-siar di pantai. Apabila cuaca berubah menjadi buruk, mereka lari berteduh dan terperangkap di sebuah rumah usang. Akibat terpedaya dengan bisikan syaitan, mereka tewas dengan nafsu sehingga mereka terlanjur. Atas rasa bertanggungjawab, Radin ingin menikahi Akira kerana tidak mahu perkara yang buruk berlaku. Akira bersetuju untuk berkahwin tetapi dengan syarat perkahwinan itu dirahsiakan daripada keluarga masing-masing.
Liyana yang masih sayangkan Radin datang kembali untuk meraih cintanya. Namun Radin hanya mencintai Akira. Ketika perasaan cinta itu baru sahaja berputik, Akira perlu pulang ke Hunza, Pakistan kerana datuknya meninggal dunia. Radin berjanji kepada Akira untuk datang ke Hunza dan berterus-terang kepada keluarganya. Namun sebelum dia pergi ke Hunza, Radin ditimpa kemalangan dan hilang ingatan. Akira yang menanti suaminya di Hunza, Pakistan tidak dapat menghubungi Radin dan sangka Radin sudah melupakan hubungan mereka dan kembali kepada Liyana.
Akira kembali ke Malaysia untuk mencari Radin, namun mendapat tahu bahawa Radin sudah tidak mengenalinya. Pelbagai dugaan terpaksa dilalui oleh mereka dalam hubungan ini. Namun dengan kesabaran Akira, akhirnya ingatan Radin pulih kembali. Tetapi adakah mereka akan tetap bersama? Dan bolehkah mereka bersatu demi cinta mereka?
Wah.. pasangan serasi.. Jalan cerita nampak menarik..
ReplyDeletesedih pulak ceritanya
ReplyDeleteSelamat menonton
ReplyDeletewahhhh mesti menarik ni, lagila bila uqasha pakai baju ala bollywood tu mesti cantik dia dahla putih melepak
ReplyDelete