Mechamato Movie, Filem Animasi Keluarga Bertaraf Antarabangsa Di Pawagam 8 Disember Ini

Thursday, 1 December 2022

Satu penantian yang sangat berbaloi buat peminat dan penggemar animasi popular Mechamato apabila Mechamato Movie terbitan bersama MONSTA dan Astro Shaw akan ditayangkan serentak pada 8 Disember ini di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.

Jenama Mechamato sebelum ini telah menunjukkan taringnya apabila siri animasi tersebut berjaya memukau penonton di Jepun, apabila menjadi satu-satunya siri animasi luar yang tersenarai dalam kedudukan TOP 3 Tokyo Anime Award Festival 2023.


Filem ini mengisahkan Amato iaitu bapa kepada BoBoiBoy, secara tidak sengaja bertemu MechaBot sebuah ‘Power Sphera’ yang berkebolehan untuk ‘Mechanize’ dengan objek lain. Keadaan menjadi lebih genting, apabila Mechamato bakal berhadapan dengan alien jahat bernama Grakakus, yang ingin merampas MechaBot dari tangan Amato. Apakah muslihat yang dirancang oleh Grakakus? Mampukah adiwira baharu Mechamato menghalang ancaman Grakakus? Kalau nak tahu apa yang terjadi, kenalah tonton di pawagam nanti.

Mechamato Movie berlatarkan sebuah bandar fiksyen yang diinspirasikan dari Bandar Hilir di Melaka. Ia juga menampilkan keunikan budaya Malaysia seperti silat, budaya peranakan dan makanan tempatan yang digabungkan dengan elemen futuristik seperti robot dan kapal angkasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak yang merupakan penulis dan juga pengarah filem ini berkata, “Ia adalah cita-cita MONSTA untuk memperkasakan budaya Malaysia menerusi Mechamato Movie. Latar tempat utama filem ini dinamakan Kota Hilir — yang diinspirasikan dari seni bina Bandar Hilir dan Kota Melaka. MONSTA turut menampilkan elemen-elemen tradisional seperti destar, keris, beca dan makanan tradisi seperti karipap. MONSTA berharap para penonton lokal dan di peringkat global dapat mengenali keunikan Malaysia menerusi Mechamato Movie.”

Pengarah Nizam Abd Razak turut berkongsi perancangan Mechamato Movie yang seterusnya. Filem animasi 3D tempatan ini akan segera dieksport ke luar negara pada tahun 2023. “Perancangan ini dibuat apabila kami melihat siri Mechamato telah mencapai kejayaan yang luar biasa selepas menembusi 65 buah negara di seluruh dunia sejak dilancarkan pada Disember 2021 yang lalu.”

Seperti filem-filem sebelum ini, MONSTA sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dalam setiap karya yang diterbitkan. Mechamato Movie jelas mempamerkan nilai-nilai murni seperti percaya kepada kebolehan diri, berani mencuba dan berusaha tanpa mudah berputus asa.

Sementara itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan “Kami sangat teruja untuk menerbitkan filem animasi ini yang sudah lama dinantikan peminat. Astro Shaw selaku penerbit bersama yang juga pemasar dan pengedar, mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap produksi animasi tempatan seperti MONSTA. Mereka mempunyai kredibiliti dan trek rekod yang baik dalam membawa nama Malaysia ke peringkat global. Menerusi Mechamato Movie, MONSTA meletakkan standard baharu sebagai filem berkaliber antarabangsa”.


Penghasilan Mechamato Movie terbitan MONSTA dan Astro Shaw telah mendapat sokongan penuh MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation). Bagi memastikan kualiti jenama Mechamato terus unggul dan mengikuti peredaran semasa, proses penghasilan filem ini mengambil masa yang agak lama. Dalam masa 2 tahun, beberapa rombakan daripada pemilihan tema cerita, penulisan skrip dan logo dilakukan dengan sangat teliti sebelum keputusan akhir dicapai pada 2019. Filem ini sepatutnya dijadualkan tayangan pada penghujung 2019 tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. Dalam tempoh tersebut, MONSTA telah membuat penambahbaikan bagi memastikan kualiti cerita yang dipersembahkan dapat memenuhi citarasa penonton.

Sehubungan itu, MONSTA dan Astro Shaw berharap Mechamato Movie akan mengujakan peminat dan penggemar filem negara. Nantikan tayangan Mechamato Movie di pawagam seluruh Malaysia pada 8 Disember ini. Filem ini menjanjikan pengalaman yang pasti akan dapat menghiburkan seluruh keluarga.

TRIVIA

1) Mechamato Movie merupakan kerjasama kedua Astro Shaw dan MONSTA selepas filem BoBoiBoy Movie 2 yang berjaya menjadi filem animasi tempatan pertama yang melepasi kutipan RM30 juta.

2) Selepas ditangguhkan sebanyak 3 kali akibat wabak COVID-19, akhirnya Mechamato Movie bakal ditayangkan di pawagam mulai 8 Disember ini.

3) Mechamato Movie ini akan ditayangkan di 150 buah pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei.

4) Lagu Tema Mechamato Movie berjudul Temaniku dinyanyikan oleh artis tempatan popular Yonnyboii.

5) Treler rasmi pertama Mechamato Movie telah dimuat naik di YouTube Monsta pada 1 Januari 2021.

Nota Khas: Berita baik khusus kepada pelanggan setia Astro. Anda boleh mendapatkan tiket menonton Mechamato Movie secara percuma di TGV bermula Disember ini. Terdapat ratusan tiket, sedia untuk ditebus dengan hanya menyertai peraduan yang dianjurkan oleh Astro Rewards di aplikasi My Astro.

INFO FILEM

TAJUK : Mechamato Movie

GENRE: Adiwira, aksi, pengembaraan, komedi, animasi, kekeluargaan

DURASI: 122 minit

KLASIFIKASI: PG-13

TONTONAN: Keluarga dan kanak-kanak

BAHASA: Bahasa Malaysia dengan sarikata, Bahasa Inggeris dan Mandarin

LOGLINE: Amato menjadi tuan kepada MechaBot, sebuah robot dari angkasa lepas dengan kuasa ‘Mechanize’ yang sedang diburu oleh alien jahat bernama Grakakus.


WATAK UTAMA







WATAK SAMPINGAN





Tajuk : Mechamato Movie

Genre : Action, Adventure, Comedy, Animation, Family.

Pengarah : Nizam Abd Razak

Produksi : Monsta

Bahasa : Bahasa Malaysia dengan sari kata English & Mandarin

Durasi Filem : 122 minit

Jumlah Hari Penggambaran : 24 bulan

Lokasi Penggambaran : Cyberjaya (Animonsta Studios)

Tarikh Tayangan : 8 Disember 2022


BARISAN PELAKON

Armand Ezra Ezal sbg Amato

Muhamad Noradzlan Mohamad Nazir sbg Mechabot

Fadhli Mohd Rawi sbg Grakakus

Ielham Iskandar sbg Pian

Marissa Balqis sbg Mara

Mohd Syabil Syamin sbg Deep

Mohd Fazreen Mohd sbg Tok Sah

Mohd Hazzley Abu Bakar sbg Datuk Bandar Andy

Mohamed Feroz Mohamed Faizal sbg Encik Aman

Mohamed Feroz Mohamed Faizal sbg Troket


TUNGGAK UTAMA

Penulis & Pengarah : Nizam Abd Razak

Pengarah Bersama : Dzubir Mohammed Zakaria

Penerbit : Kee Yong Pin

Penerbit Eksekutif : Ezdiani Ahmad Fawzi, Raja Jastina Raja Arshad

Pengarah Audio : Anas Abdul Aziz

Skor Muzik : Yuri Wong, Nur Sharmine Md Bakri, Simmy Lor

Pengarah Pembangunan Produk : Safwan Ab Karim

Pengarah Animasi : Raja Nukman Raja Mohd Noordin

Pengarah Aksi Animasi : Hafiz Ashraf Saipul Islam

Pengurus Produksi : Ferdiawan Gunarto

Penyelaras Pra-Produksi : Yap Ee Jean

Ketua Seni Konsep : Fakeez Adnan

Ketua Aset : Sharifah Sarah Syed Idros

Ketua Pasca Produksi : Wu Chintya

Ketua Unit Audio : Mohd Syabil Syamin

Penyunting : Dzubir Mohammed Zakaria, Raja Nukman Raja Mohd Noordin, Hafiz Ashraf Saipul Islam

Ketua Bahan Visual : Mohd Faszirul Azzery Abdul Wahid

Pengarah Pemasaran & Penjenamaan : Faiz Zainal Aabidin

Ketua Pemasaran & Pengedaran Filem : Norsalvina Alwee

SINOPSIS

Apabila sebuah kapal angkasa misteri terhempas di Bumi, seorang pemuda bernama Amato bertemu dengan robot berkuasa yang bergelar MechaBot. Dengan mengakali MechaBot dan menjadi tuannya, Amato kini boleh menggunakan kuasa unik MechaBot yang membolehkannya untuk ‘Mechanize’ objek-objek biasa menjadi peralatan yang canggih. Tetapi tanpa pengetahuan mereka, MechaBot sedang diburu oleh alien sibernetik bergelar Grakakus yang sanggup melakukan apa sahaja demi merampas MechaBot untuk rancangan jahatnya sendiri.

1 comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.