Berhibur Sambil Belajar Bersama Mawi Dalam ‘Mawi Jawi’

Wednesday, 14 December 2022

Astro Oasis mengajak penonton berhibur sambil mendalami tulisan jawi dalam program terkini mereka, ‘Mawi Jawi’. Program terbitan MWE Sdn Bhd ini merupakan sebuah program berkonsepkan game show yang melibatkan barisan selebriti, influencers serta para asatizah dalam permainan-permainan yang menggunakan tulisan jawi sebagai medium.

Seperti nama programnya sendiri, ‘Mawi Jawi’ dihoskan oleh juara Akademi Fantasi musim ketiga, Mawi bersama penyampai radio ZAYAN, Anas Tahir di mana kedua-duanya dikenali dengan suara yang lunak dan merdu selama lapan minggu.

‘Mawi Jawi’ menampilkan tiga tetamu jemputan setiap minggu yang diwakili oleh selebriti dan personaliti terkenal mengikut persamaan karier masing-masing sebagai peserta. Setiap daripada mereka akan bermain dua pusingan permainan dalam jawi untuk meraih markah.Dalam pusingan pertama, para peserta akan mencari perkataan tersembunyi atau teka silang kata bergantung kepada episod. 

Dalam permainan mencari perkataan tersembunyi, para peserta perlu mencari perkataan tersebut di Papan Word Search yang disediakan. Mereka perlu mencari sebanyak perkataan yang mereka boleh dalam masa 80 saat secara serentak. Markah akan dikira dengan jumlah perkataan betul yang paling banyak dari setiap peserta. 

Manakala dalam permainan teka silang kata, setiap peserta perlu menyelesaikan silang kata yang diberikan dalam masa yang ditetapkan iaitu 80 saat. Petunjuk akan diberikan di papan teka silang untuk membantu mereka meneka jawapan yang betul. Markah akan dikira melalui berapa banyak teka silang kata yang dapat diselesaikan.

Kumpulan markah daripada pusingan pertama akan dibawa ke permainan pusingan kedua di mana para peserta perlu menulis dalam jawi. Setiap peserta akan ditunjukkan sebaris ayat yang sama dalam rumi. Kemudian mereka akan mula menulis ayat yang diberikan dalam tulisan jawi. Mereka yang menulis perkataan jawi dengan betul akan mendapat markah yang lebih. Pada akhir permainan, peserta yang mendapat jumlah markah tertinggi akan dinobatkan sebagai pemenang.

Walau bagaimanapun, sekiranya para peserta mendapat jumlah markah yang sama pada akhir permainan, pemenang akan ditentukan dengan satu pusingan pantas di mana para peserta dikehendaki menulis perkataan yang diberikan oleh pengacara secara spontan dalam tulisan jawi dalam masa 30 saat sahaja. Peserta yang terpantas dan betul akan dipilih sebagai pemenang.

Lebih menarik, program ini membawa episod istimewa ‘Geng Romantis’ di mana Mawi ditemani oleh isterinya, Ekin sebagai pengacara program dengan menampilkan para peserta berpasangan suami isteri. Pada akhir program, para peserta yang mendapat jumlah markah tertinggi akan memenangi percutian percuma untuk menunaikan umrah.

Keunikan program ini dalam memartabatkan tulisan jawi bersama-sama selebriti dan personaliti terkenal merupakan sebuah konsep baharu yang dapat menggalakkan lebih ramai penonton untuk mendalami jawi dengan cara yang lebih menyeronokkan.

Mawi Jawi akan ditayangkan pada setiap hari Khamis, jam 7.30 malam mulai 15 Disember 2022 secara eksklusif di saluran Astro Oasis (106) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati rancangan hiburan ini di Astro.

PETIKAN KENYATAAN RASMI WAKIL ASTRO

Nadirah Karim - Pengurus Saluran Astro Oasis

“Sebagai sebuah platform yang berkemampuan untuk memartabatkan dan mengangkat keagungan sesuatu bahasa, kami mengambil peluang ini untuk mengembalikan kesempurnaan penggunaan tulisan Jawi dalam aktiviti harian setiap umat Islam dengan cara yang lebih mudah dan menyeronokkan dalam program terkini kami, ‘Mawi Jawi’.

Program ini membawakan konsep permainan yang dilakukan sepenuhnya dalam tulisan jawi seperti teka silang kata dan mencari perkataan tersembunyi, di mana ia mampu membawa perasaan nostalgik para penonton yang mula-mula mengenali tulisan jawi di kelas agama mereka dengan kaedah yang sama. Bukan itu sahaja, program ini juga menampilkan barisan selebriti dan personaliti ternama yang pelbagai karakter untuk melahirkan sedikit gelak tawa dan hiburan yang baharu di kaca televisyen.

‘Mawi Jawi’ menggabungkan dua artis yang cukup dikenali dengan suara yang merdu ketika mereka bertaranum, Mawi dan Anas Tahir pasti akan memberi aura baharu kepada para penonton dengan bakat mereka yang dikatakan sangat serasi dan mempunyai persamaan yang banyak.

Menerusi program ‘Mawi Jawi’ ini, kami berharap para penonton serta rakyat Malaysia mampu menerokai kehebatan dan keagungan tulis Jawi serta menjadikan kaedah permainan-permainan sebegini sebagai jalan untuk mendidik anak-anak muda dalam menguasai tulisan Jawi dalam kehidupan harian mereka.”

SENARAI PESERTA & TEMA MINGGUAN

Episod 1 - Geng Sembang

1. Fara Fauzana

2. Haiza

3. Fiza Frizzy

Episod 2 - Geng Program Realiti

1. Black

2. Aman Aziz

3. Idris Brown

Episod 3 - Geng Usrah

1. Yatt Hamzah

2. Anita Baharom

3. Aisyah Hijanah

Episod 4 - Geng Ketawa

1. Saiful Apek

2. Man Raja Lawak

3. Bell Ngasri

Episod 5 - Geng Vokal

1. Wany Hasrita

2. Amira Othman

3. Bienda

Episod 6 - Geng Romantis

1. Amyra Rosli & Amar Baharin

2. Ardell Aryana & Nadzmi Adhwa

3. Yana Samsuddin & Fadzil Zahari

Pengacara Istimewa : Mawi & Ekin Rahmat

Episod 7 - Geng Dakwah

1. PU Amin

2. Fakhrul UNIC

3. Pu Yeop

Episod 8 -Geng Sukan

1. Muqlis Borhan (Sepak Takraw)

2. Razman Roslan (Bola Sepak)

3. Azlan Mubin (Pengacara Nadi Arena)

3 comments

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.