Hanya takdir dapat menentukan cinta yang berhak diterima - Antara cinta yang diatur atau cinta yang hadir tanpa diduga. Slot Tiara di saluran Astro Prima mempersembahkan ‘Takdir Cinta Dhia’ yang bakal memaparkan kisah tragedi cinta yang diduga dengan perasaan hasad dengki serta dendam keluarga. Malah penceritaan drama kali ini menyelit kisah jenayah dan drama kekeluargaan yang pasti memberi elemen saspens bertalu-talu kepada para penonton.
Penceritaan menerusi 40 episod ini mengisahkan kehidupan Dhia yang penuh cabaran apabila dia terpaksa tinggal di rumah abang iparnya - Fayyad - selepas kematian bapanya dalam sebuah kemalangan dalam perjalanan untuk bertemu dengan Huzair. Huzair adalah tunang Dhia yang diatur buat pertama kali. Fayyad ingin mengambil hak penjagaan Dhia daripada abang Dhia sendiri, Fikri. Namun di sebalik niat tersebut, terdapat rahsia gelap yang tidak mahu dibongkarkan.
Niat asalnya untuk membunuh Dhia demi menutup jenayahnya, gagal apabila hadir perasaan cinta. Huzair pula pulang ke tanah air setelah kematian ayahnya dan ingin mencari gadis yang telah ditunangkan dengannya. Namun dia terpedaya dengan komplot Tasha untuk membuat Huzair percaya bahawa Nadia – adik ipar Dhia merupakan tunangannya.
Drama yang bergenre crime-thriller ini turut menyelit kisah-kisah keluarga yang bermasalah dengan menampilkan barisan pelakon pujaan ramai seperti Dato’ Aaron Aziz, Datin Elvina Mohamad dan Shah Jaszle.
Drama terbitan pasangan Datuk Rosyam Nor dan Datin Runika Mohd Yusof ini diarahkan oleh Idora Abd Rahman serta didukung oleh barisan pelakon yang berbakat besar seperti Nada Nur Syuhada, Khalida Balqis dan Nazrief Nazri.
‘Takdir Cinta Dhia’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 12 September 2022 secara eksklusif di slot Tiara melalui saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro.
PETIKAN KENYATAAN RASMI
Norzeha Mohd Salleh - Pengurus Saluran Astro Prima
“Drama demi drama, itulah janji Astro Prima berikan kepada para penonton dan slot Tiara merupakan destinasi utama yang membawakan kisah-kisah dramatis yang menjadi ikutan ramai.
Kali ini, kami mempertaruhkan judul ‘Takdir Cinta Dhia’ yang bakal menjanjikan saspens serta bibit-bibit percintaan yang romantis dan tidak dapat dilupakan.
Menyusuli kejayaan ‘Cinta Hilang Kata’, Astro Prima berteguh untuk mengekalkan momentum kejayaan drama-drama kami memandangkan impak yang diberikan amat besar di kalangan pengikut-pengikut drama tempatan.
Sinonim dengan itu, ‘Takdir Cinta Dhia’ merupakan drama yang bakal mengikut jejak langkah drama-drama terdahulu serta mampu mengukir sukses yang setanding dengan tajuk-tajuk yang lalu.
Elemen penceritaan ‘Takdir Cinta Dhia’ yang dramatis merupakan antara daya tarikan yang mampu menarik minat peminat-peminat drama di negara kita. Drama ini turut membawa signature Slot Tiara sebagai slot drama yang memaparkan penceritaan yang berat dan sarat dengan permainan emosi. Penceritaan yang merangkumi perasaan dengki, kebencian dan dendam ditambah pula dengan perasaan cinta yang hadir sebagai plot twist antara watak utama untuk melembutkan hati para penonton yang membara. Elemen-elemen seperti inilah yang menjadi faktor penarik di kalangan penonton-penonton yang hauskan drama dengan jalan cerita yang sarat dengan pelbagai genre.
Bukan itu sahaja, Dato Aaron Aziz kembali menyerikan Slot Tiara kali ini dengan gandingannya bersama Datin Elvina. Peminat pasti akan teruja dengan wataknya yang kali ini lebih kepada seseorang antagonis yang akhirnya luluh menjadi romantik kepada wanita pujaannya. Lakonan Dato Aaron yang mantap persis jejaka idaman setiap wanita dalam drama-drama pasti akan menarik hati lebih ramai peminat ke drama ini.
Gandingannya bersama Datin Elvina juga merupakan satu pembaharuan yang kami bina dalam drama slot Tiara kami. Pastinya duo ini bakal menarik minat para penonton tersedia ada dan malah mereka yang baru sahaja berkecimpung di dalam dunia drama tempatan. Kami yakin kombinasi mereka akan membawa aura baharu yang akan terus meninggalkan impak di kalangan penonton-penonton kami bersama-sama dengan barisan pelakon hebat yang lain termasuk Shah Jaszle, Nada Nur Syuhada dan Nazrief Nazri.
Kami turut berbangga bekerja dengan antara pengarah drama yang berbakat di negara kita, Idora Abd Rahman. Gaya garapannya yang begitu signifikan mampu menghasilkan lakonan yang efektif di kalangan para pelakonnya. Kami berharap hasil ini boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap mereka yang menonton.
‘Takdir Cinta Dhia’ pasti memenuhi kemahuan mereka yang inginkan sesuatu yang boleh menggerakkan emosi mereka. Dengan penceritaannya yang penuh dengan pergolakan emosi, gandingan baharu antara watak utamanya serta hasil pengarahan daripada Idora yang sangat menitikberatkan kualiti, para penonton pasti akan teruja dalam menantikan episod baharunya hari demi hari. Kami berharap drama ini akan meninggalkan impak yang bakal menjadi topik perbualan peminat-peminat drama serta para pelanggan kami kelak.
Idora Abd Rahman - Pengarah Drama ‘Takdir Cinta Dhia’
“Takdir Cinta Dhia membawa penceritaan yang sarat dengan kisah konflik keluarga dan permainan perasaan antara lelaki dan wanita yang saya andaikan ramai boleh rasai.
Bermula daripada kematian kedua-dua ayah watak Dhia dan Huzair yang sepatutnya disatukan sehinggalah apabila mereka cuba mencari pembunuh yang sebenar berkaitan dengan Fayyad. Drama yang intense kali ini diekspreskan oleh Dato’ Aaron Aziz yang kita tahu memang hebat dalam cerita-cerita aksi. Plot twist bermula apabila perasaan cinta daripada Fayyad ini terjadi.
Walaupun agak berat penceritaannya, barisan pelakon yang ada mempunyai bakat tulen yang saya sendiri bangga. Tentu sahaja di kalangan pelakon baharu yang gementar apabila mereka terpaksa berhadapan dengan pelakon yang lebih berpengalaman tetapi mereka tidak kekok untuk belajar kerana watak utama kami seperti Dato’ Aaron Aziz, Datin Elvina Mohamad dan juga Shah Jaszle sangat memberikan sokongan. Mereka sentiasa berkongsi idea dan memberi teguran bagaimana untuk mencantikkan sesebuah adegan.
Selain itu, apa yang diterapkan dalam drama ini untuk menjadi pengajaran buat para penonton ialah kemaafan itu merupakan dendam yang terindah. Kita janganlah terlalu cepat menghukum seseorang jika kita tidak tahu apa yang mereka terpaksa hadapi untuk hidup.
Cabaran utama yang saya hadapi untuk menghasilkan drama ini tentulah apabila ia perlu dilakukan ketika dalam era Covid-19. Tiga kali produksi terpaksa dihentikan kerana ada yang perlu kuarantin. Hal ini membawa kepada masalah kekangan masa kerana kami perlu mengejar ‘dateline’ untuk menghabiskan drama ini dengan secepat mungkin.
Menerusi ‘Takdir Cinta Dhia’, saya berharap para penonton dapat melihat sisi-sisi yang baharu daripada pelakon-pelakon kami. Kita tahu Dato’ Aaron Aziz memang hebat dalam cerita yang melibatkan aksi dan permainan emosi. Dalam penceritaan kali ini, mereka akan dapat melihat kedua-dua perwatakan ini di mana ada kejahatan dan ada sisi-sisi romantik yang bersahaja, ditambah juga dengan sisi-sisi yang sedih air mata apabila melibatkan kisah keluarga. Para penonton pasti akan terikut dengan suka dukanya yang mengimbangi kesemua kriteria sesebuah drama.”
TRIVIA MENARIK DRAMA ‘TAKDIR CINTA DHIA’
1.‘Takdir Cinta Dhia’ merupakan lakonan kedua Dato’ Aaron Aziz untuk slot Tiara selepas ‘Jodoh Jodoh Annisa’ sebagai antagonis.
2. Drama ini merupakan taruhan pertama Datin Elvina Mohamad untuk penonton-penonton slot Tiara.
3. Skrip untuk drama ini adalah adaptasi hasil karya kerjasama penulis daripada Indonesia dan Malaysia.
4. Drama ini dilakukan di sekitar Lembah Klang ketika PKP 2.0 dan PKP 3.0.
5. Cinta Pasti Bersatu nyanyian Margosa bersama Aepol Roza merupakan runut bunyi utama drama ini.
6. Dalam satu penggambaran drama ini, Datin Elvina telah cedera ketika melakukan babak kejar-mengejar dengan Dato’ Aaron Aziz.
PECAHAN WATAK DRAMA ‘TAKDIR CINTA DHIA’
Datin Elvina Mohamad sebagai Dhia
Dato’ Aaron Aziz sebagai Fayyad
Shah Jaszle sebagai Huzair
Nada Nur Syuhada sebagai Tasha
Khalida Balqis sebagai Nadia
Nazrief Nazri sebagai Fikri
LOGLINE DRAMA ‘TAKDIR CINTA DHIA’
Kisah Dhia dan Huzair yang dipisahkan sebelum pertemuan mereka apabila tragedi menimpa keluarga masing-masing. Dhia kini di bawah jagaan abang iparnya, Fayyad yang ingin mengambil hak penjagaan Dhia selama mungkin untuk mengelakkan kebenaran daripada terbongkar.
SINOPSIS DRAMA ‘TAKDIR CINTA DHIA’
Drama ini mengisahkan tentang Dhia yang ditunangkan dengan anak Encik Amran – Huzair - yang tidak sabar untuk berjumpa buat pertama kali. Namun dalam perjalanan untuk bertemunya, mereka ditimpa kemalangan yang mengakibatkan kematian bapanya dan Encik Amran. Dhia tidak sempat untuk berjumpa dengan Huzair dan dibawa pulang ke rumah abang iparnya, Fayyad yang ingin mengambil hak penjagaan Dhia.
Tanpa pengetahuan sesiapa pun, Fayyad merupakan seorang ketua kumpulan samseng yang sudah lama membenci keluarga Dhia walaupun adiknya sendiri – Tasha - telah berkahwin dengan Fikri, abang sulung kepada Dhia. Tasha juga mempunyai perasaan dengki terhadap Dhia dan sering membuat kehidupannya yang kini sudah menjadi sebatang kara lebih sukar.
Huzair pula pulang dari Eropah hanya untuk berdepan dengan berita tragik tentang bapanya. Dia mengambil keputusan untuk terus menetap di Malaysia dan mencari gadis yang ditunangkan dengannya. Pencariannya dikesan oleh Tasha yang terus berkomplot untuk mengahwinkan adiknya, Nadia kepada Huzair. Keadaan bertambah rumit apabila Fayyad sendiri telah jatuh cinta pada Dhia.
Takdir menemukan Dhia, Fayyad dan Huzair namun hanya dua antara mereka yang bakal bahagia dan layak menemukan cinta.
Lama rasanya tak nampak Shah Jaszle berlakon.. Okaylah ada selitkan unsur thriller..
ReplyDelete