Astro Prima kembali menonjolkan bakat-bakat terpendam negara dalam Suara Viral 3.0. Musim kali ini diteruskan dengan mempertaruhkan para peserta daripada pelbagai latar belakang yang pernah tular di media sosial kerana memiliki bakat nyanyian yang luar biasa.
Pertama kali dilancarkan pada tahun 2020, rancangan ini berjaya memperoleh jumlah tontonan sebanyak 3.4 juta di Astro Prima dengan lebih daripada 600 ribu minit tontonan di platform penstriman On Demand dan Astro GO pada musim keduanya. Suara Viral 2.0 juga telah mengecapi hampir 800 ribu tontonan untuk semua klip promosinya di platform digital RiaX dan Astro Gempak. Kejayaan yang diperoleh menjadikan rancangan ini sebagai platform pilihan utama bakat-bakat terpendam tanah air untuk melebarkan bakat mereka dalam industri kreatif ini.
Pencarian bakat untuk Suara Viral 3.0 telah dilakukan secara dalam talian. Ujibakat ini dianjurkan menerusi penyertaan yang dihantar ke platform SINAR dan Astro Gempak berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan pada bulan Julai dan Ogos 2021.
Daripada hampir 1,000 video ujibakat yang diterima, 42 peserta telah dipilih termasuk penyanyi solo, duo atau berkumpulan (dalam bentuk band, busker atau penyertaan keluarga yang tidak melebihi enam orang ahli) berumur 18 tahun ke atas untuk berentap dalam musim ketiga selama tujuh minggu. Enam peserta akan bersaing antara satu sama lain dalam setiap minggu dan juara mingguan akan mara ke peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir untuk menjadi juara keseluruhan.
Antara keunikan yang dibawa kembali dalam musim ketiga adalah pengunaan konsep ‘Tangga Viral’ di mana setiap peserta akan memulakan persembahan mereka di anak tangga yang teratas dengan hanya menunjukkan bayangan silhouette mereka kepada para juri. Cabaran bagi setiap peserta merupakan kehebatan suara mereka dalam menarik perhatian setiap juri untuk menekan butang buzzer yang akan menyalakan lampu di setiap anak tangga sehingga ke anak tangga yang terakhir. Identiti dan wajah setiap peserta hanya akan didedahkan sekiranya kesemua enam orang juri menekan butang buzzer mereka sekaligus lantas membawa peserta ke tengah pentas.
Nasib setiap peserta terletak pada kehebatan nyanyian mereka. Penjurian dan pemarkahan pada kali ini diteruskan dengan menggunakan sistem liga berdasarkan pemarkahan sepenuhnya daripada pihak juri profesional.
Bersiaran selama 10 minggu, Suara Viral 3.0 mengekalkan gandingan hebat antara penyampai radio ERA, stesen nombor satu negara, Danial Zaini bersama penyanyi, pelakon, penulis lagu dan komposer berbakat, Naim Daniel sebagai hos utama rancangan.
Manakala barisan juri pula masih digalas oleh nama-nama besar seperti Dato’ Hattan, Marsha Milan, Aina Abdul dan Haqiem Rusli. Suara Viral 3.0 juga turut menampilkan bakat-bakat hebat industri seni tanah air sebagai juri jemputan termasuk Mawi, Sarah Suhairi, Ara Johari, Sean Lee, Kaka Azraff, Didie Alias, Amy Search, Sharif Zero dan banyak lagi.
Pemenang mingguan akan membawa pulang RM1,000 selama 7 minggu dan juara keseluruhan akan memenangi hadiah wang berjumlah RM10,000 beserta trofi.
Suara Viral 3.0 akan bersiara selama 10 minggu mulai 20 Julai hingga 21 September, setiap Rabu, jam 9.00 malam secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (105). Rancangan ini turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati rancangan ini di Astro.
Dalam pada itu, SINAR tampil sebagai Rakan Radio Rasmi ‘Suara Viral 3.0’ dan Astro Gempak sebagai Rakan Digital Rasminya untuk musim ini.
PETIKAN KENYATAAN RASMI
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.