Saksikan Siri Mini Animasi Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! Sempena Ramadan dan Raya Ini di Astro Warna | LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..! Janjikan Gelak Ketawa Tapi Padat Dengan Pengajaran
Siri mini animasi di Astro Warna kali ini mengambil kampung selebriti Nabil Ahmad sewaktu kecil di Kampung Kayu Ara, Mambau, Negeri Sembilan sebagai backdrop dan jalan ceritanya. Animasi pendek terbitan Astro dan Ed Online Technologies Sdn Bhd bersama selebriti Nabil Ahmad ini merupakan animasi selebriti pertama di Malaysia dan juga kesinambungan kepada musim pertamanya yang telah mendapat sambutan baik daripada para peminat.
Penceritaan menerusi lima episod pendek yang berdurasi tujuh hingga sebelas minit ini mengisahkan Nabil, seorang kanak-kanak yang penuh dengan angan-angan dan seringkali menimbulkan kekecohan di kampungnya dengan tidak sengaja. Dan kerana hal itu, dia berdepan dengan pelbagai masalah, tambahan pula dengan kehadiran budak baharu bernama Syasya sehingga menggugat persahabatan dengan kawan-kawan karibnya, Mok serta Fahmi. Hidupnya serba tidak kena dengan pelbagai masalah yang timbul ketika Ramadan yang mengakibatkan kekecohan berlaku ketika sambutan Hari Raya dikampungnya.
Animasi musim kedua ini menggambarkan suasana sambutan Ramadan dan Raya Nabil sewaktu kecil di kampungnya. Penceritaan animasi ini juga mengetengahkan dialek tempatan iaitu dialek Negeri Sembilan sebagai dialog utama yang menjadikan animasi tersebut lebih menghiburkan. Siri mini animasi ini mengekalkan tempo penceritaan padat dan padu dengan pengisian-pengisian yang boleh dijadikan pengajaran dalam hidup seisi keluarga walaupun berdurasi pendek.
Animasi bergenre komedi keluarga ini merupakan arahan juruanimasi berpengalaman, Syukur Majid dengan idea asalnya oleh Nabil Ahmad, juga sebagai pelakon suara watak utamanya. Animasi ini turut didukung oleh barisan pelakon suara seperti Shahril Fahmey dan Haefizul Yusof, iaitu kawan baik Nabil dari kecil yang dijemput khas untuk membuat alih suara bagi watak Fahmi dan Mok serta Amanda Amry, pelakon yang sedang meningkat naik.
Siri mini animasi ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!’ musim kedua ditayangkan setiap Khamis, mulai 7 April 2022, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna HD (107) dan ulangan di saluran Astro Ceria HD (611) pada setiap Ahad, jam 3.00 petang. Animasi ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Syukur Majid
Pengarah Siri Mini Animasi ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!’
“Penceritaan menerusi animasi boleh dibawa dengan pelbagai cara, lebih lagi apabila ia melibatkan pencetusan perasaan terhadap sesuatu situasi kepada penonton. Antara cara yang kami lakukan adalah dengan membawa cerita inspirasi dari realiti seseorang dan mewarnainya dengan situasi semasa supaya mudah dihadam penonton.
Alhamdulillah animasi musim pertama sebelum ini telah mendapat reaksi yang sangat positif seperti kelakar, best dan terhibur daripada penonton-penontonnya. Malah, mereka sukakan latar belakang animasi ini yang mengimbau kenangan mereka kepada komik dan animasi tempatan tahun 90’an. Atas respons ini, Astro dan pihak produksi telah meneruskan dengan musim kedua yang menekankan penceritaan pada bulan Ramadan dan Raya 2022.
Musim kali ini, kami mengekalkan konsep siri mininya dengan masih membawa elemen- elemen yang menggelikan hati. Namun, pada kali ini kami melanjutkan durasi animasi ini menjadi tujuh minit daripada empat minit sebelumnya jadi penonton akan dapat terhibur lebih lagi, ditambah pula dengan kemunculan watak baharu yang mengubah dimensi penceritaannya. Ceritanya menjadi lebih kecoh. Pelbagai konflik dan drama berlaku kepada Nabil, rakan-rakannya dan orang kampung ketika menyambut bulan Ramadan dan Syawal.
Selain itu, animasi ini juga diterbitkan dengan penuh pengisian yang mampu memberi teladan kepada penonton. Pada mula perbincangan dan pengumpulan idea lagi kami sudah merancang dengan rapi plot-plot cerita yang bersesuaian bagi membentuk kitaran cerita yang bermakna, di mana setiap permasalahan adanya solusi. Mencampur adukkan kisah sebenar hidup Nabil Ahmad pada zaman kanak-kanaknya sekitar tahun awal 90an, kami gabungkan dengan permasalahan di zaman kini agar mudah diterima penonton kini.
Bukan itu sahaja kelainan yang kami bawakan. Kami juga turut mendengar dan mengumpul tindak balas daripada penonton musim pertama yang lalu. Ramai yang menyuarakan rasa tidak puas menonton musim pertamanya yang berdurasi pendek, 4 minit. Jadi, kami panjangkan sedikit durasinya dan memilih 7 minit kerana ianya antara durasi yang sesuai untuk tayangan televisyen dan workable dalam tempoh masa yang diberikan.
Kami berharap siri animasi mini ini dapat menghiburkan penonton bersama keluarga dan rakan-rakan sambil mereka dapat menghadam pengajaran-pengajaran yang diselitkan. Kami juga berharap siri kali ini akan lebih mendapat sambutan, dan dengan sokongan tersebut Astro dapat memberi peluang lagi kepada kami untuk meneruskan produksi animasi Lu Pikir La Nabil ini, mungkin dalam format yang lebih panjang di masa akan datang.”
Nabil Ahmad
Idea Asal dan Pelakon Alih Suara ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!”
“Menerusi animasi Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! kali ini, saya ingin menunjukkan yang di mana- mana situasi pun, kebenaran akan terungkap. Bak kata pepatah “berani kerana benar, takut kerana salah”. Lebih kurang begitulah topik yang saya ingin terapkan kepada penonton. Tiada apa yang terlalu serius. Ini juga sebenarnya adalah untuk keseronokan dan hiburan sahaja.
Selain itu, saya memilih untuk menghasilkan animasi ini kerana ingin mencari kelainan. Bagi saya, filem pendek dan rancangan realiti itu sudah agak biasa. Lantas, tujuan utamanya adalah untuk menjadi selebiriti pertama yang mempunyai animasi tersendiri. Jika kita mahu mengikut dunia digital pada zaman sekarang ini, sudah terlalu banyak animasi dan kartun-kartun yang dikeluarkan dari segi penceritaan yang moden tetapi tidak ramai selebriti-selebriti yang mendapat peluang untuk membuat animasi berdasarkan kehidupan mereka sendiri. Oleh itu, saya sangat teruja dan bersyukur di beri peluang oleh Astro sendiri untuk menjadi selebriti pertama yang menghasilkan animasi sendiri.
Harapan saya untuk siri mini animasi ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!’ ini semestinya menggunung tinggi. Saya berharap agar suatu hari nanti, kita akan ada ‘Lu Pikir La Nabil The Movie’ yang akan ditayangkan diseluruh pawagam atau di saluran Astro First, InshaAllah. Saya juga berharap agar penonton terhibur dengan penceritaannya.”
TRIVIA MENARIK SIRI MINI ANIMASI ‘LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..!’
1. Siri mini animasi ini merupakan animasi selebriti pertama di Malaysia.
2. Siri animasi Ramadan Raya khas bersama Nabil Ahmad merupakan animasi pertama di Astro Warna.
3. Inspirasi animasi ini berdasarkan kisah kehidupan selebriti Nabil Ahmad bersama rakan-rakan sekampungnya ketika kecil.
4. Penceritaan animasi ini menggunakan Bahasa Melayu dalam dialek Negeri Sembilan.
5. Nabil menjemput kawan-kawan karib sejak kecil untuk membuat alih suara animasi untuk watak Mok dan Fahmi.
6. Alih suara bagi karakter baharu dalam siri mini ini, Syasya merupakan alih suara pertama untuk pelakon baharu Amanda Amry.
7. Musim baharu ini menampilkan kisah-kisah yang boleh menghiburkan bukan sahaja untuk kanak-kanak malah orang dewasa dengan elemen satira dan nostalgia.
8. Nabil dan WARIS berganding bahu untuk lagu tema dan video muzik lagu Raya, ‘TuuDeh Rayo!’ sempena siri animasi kali ini.
PECAHAN WATAK ALIH SUARA SIRI MINI ANIMASI ‘LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..!’
Nabil Ahmad sebagai Nabil
Shahril Fahmey sebagai Fahmi (sahabat karib Nabil)
Haefizul Yusof sebagai Mok (sahabat karib Nabil)
Amanda Amry sebagai Syasya
Abah sebagai Ayah kepada Nabil
Mak sebagai Ibu kepada Nabil
Pak Abu sebagai sahabat kepada Ayah Nabil
Cik Ambros sebagai Ketua Kampung
LOGLINE SIRI MINI ANIMASI ‘LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..!’
Nabil diuji dengan masalah di bulan Ramadan sehingga mengugat persahabatan dengan kawan-kawannya, ditambah pula dengan gelagat orang–orang kampung dan kehadiran budak baharu, Syasya.
SINOPSIS SIRI MINI ANIMASI ‘LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..!’
Lu Pikir La Nabil, Tuudeh..! mengisahkan kehidupan seorang kanak-kanak bernama Nabil di kampungnya menjelang bulan Ramadan. Nabil diuji dengan pelbagai masalah setelah berlaku salah faham di antara orang kampung dan dirinya apabila dia mencari kucingnya, Piah yang hilang.
Namun, orang kampung pula tersalah sangka dan menganggap isteri ketua kampung yang turut bernama Piah yang hilang. Maka kecohlah satu kampung akan salah sangka ini. Kehadiran budak baharu bernama Syasya turut menggugat persahabatan Nabil dengan kawan-kawannya apabila dia dituduh sebagai penyebab pelanggan murtabak Pak Abu mendapat keracunan makanan.
Kawan-kawannya pula menjauhkan diri dan mula rapat dengan Syasya. Nabil sekali lagi difitnah dan dituduh ponteng puasa apabila dia berada di tempat dan masa yang salah. Akibatnya orang kampung mula pandang sinis terhadap dia dan keluarganya.
Raya menjelma tetapi Nabil masih bergaduh dengan kawan-kawan dan keluarganya dipulaukan. Namun Syasya menjumpai bukti yang menunjukkan Nabil sebenarnya disabotaj dan sekaligus membersihkan nama Nabil. Adakah Nabil dan kawan-kawannya akan berbaik semula dan beraya bersama?
Wah, menarik lah.. Ok.. dah start kan.. tapi saing Jangan Menangis Cinta pulak... Tengok online jela nanti.. kalau ada... huhu
ReplyDelete