Klik gambar untuk baca artikel kesihatan lain |
Ketuat! Meskipun tidak semua mengalaminya, mungkin masih ramai individu yang ada masalah ini pada kulit lantas membuat mereka berikhtiar tentang pelbagai cara buang ketuat. Selain prosedur seperti pembedahan laser atau pembekuan sejuk, ada satu lagi cara membuang ketuat yang mungkin kurang kos dan tidak sakit iaitu dengan asid salisilik.
Persoalannya, adakah krim buang ketuat ini efektif atau mempunyai kesan negatif ekoran terdapat impak sampingan? Jom teruskan membaca artikel untuk tahu dengan lebih mendalam lagi!
Ketuat berpunca akibat jangkitan virus?
Untuk pengetahuan anda semua, ketuat atau kutil ini akan muncul akibat pertumbuhan pada lapisan luar kulit atau epidermis yang berpunca akibat jangkitan virus. Ia dikategorikan sebagai tumor kecil yang boleh muncul pada seluruh kulit badan dan disebabkan oleh salah satu daripada 100 jenis Human Papillomavirus (HPV).
Selain itu juga, ia mungkin boleh terjadi pada alat sulit apabila berlaku sentuhan kulit ke kulit atau melalui hubungan seksual bersama dengan individu lain. Ini dinamakan ketuat kelamin dan akan dikategorikan sebagai salah satu daripada penyakit jangkitan seksual (STD) sementara kutil yang biasa adalah tidak berkaitan.
Meskipun ia mungkin tidak berbahaya, ramai orang cenderung untuk membuangnya di atas faktor kebersihan dan kecantikan kulit dengan mencuba pelbagai jenis kaedah.
Cara buang ketuat guna krim buang ketuat
Antara cara membuang ketuat yang paling popular adalah dengan menggunakan krim yang terkandung asid salisilik yang boleh diperoleh daripada klinik, hospital atau farmasi. Asid ini adalah sejenis bahan kimia daripada keluarga asid beta hidroksi dan berfungsi menguraikan liang pori kulit yang mempengaruhi sel kulit mati serta hidup.
Selain digunakan untuk membuang kutil pada kulit, asid salisilik juga biasa ditemui di dalam produk kulit yang lain untuk tujuan yang berbeza termasuklah:
- Sabun muka untuk rawat masalah jerawat
- Syampu rambut untuk rawat masalah kelemumur
- Losen kulit untuk rawat masalah penuaan
Para doktor juga telah melabelkan asid ini sebagai sejenis ‘keratolitik’ ekoran kesannya yang mungkin mampu untuk mengelupas serta membuang sel kulit rosak.
Adakah cara buang ketuat ini alternatif yang efektif?
Sekiranya anda mahu cuba menggunakan krim buang ketuat dengan asid salisilik, anda mungkin perlu bersabar memandangkan ia bersifat jangka masa panjang. Kebanyakan daripada individu yang mencuba krim ini telah berjaya untuk membuang kutil pada kulit badan mereka namun tidak semuanya sukses kerana ada juga yang gagal.
Dalam pada itu juga, wujud kesan sampingan yang mungkin boleh terjadi kepada individu seperti kerengsaan, keradangan, kegatalan, kesakitan serta perubahan pada warna kulit. Ini bermakna cara buang ketuat dengan krim terkandung asid salisilik mungkin adalah alternatif yang efektif namun masih ada kesan negatif di sebaliknya.
Jadi lebih baik untuk berjumpa dan berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum mencuba sebarang cara untuk membuang kutil pada kulit badan.
Ia bergantung kepada jenis ketuat pada kulit?
Sebenarnya, salah satu daripada punca krim buang ketuat ini tidak berjaya adalah anda mungkin tidak tahu akan jenis-jenis kutil pada kulit yang sedang dirawat. Ada beberapa jenis ketuat dan tidak semua mampu untuk dibuang menggunakan krim iaitu:
- Ketuat plamar – muncul di tangan
- Ketuat plantar – muncul di kaki
- Ketuat datar – muncul di dahi dan muka
- Ketuat kelamin – muncul di sekitar alat sulit
- Ketuat subungual dan periungual – muncul di bawah kuku
Krim dengan asid salisilik mungkin adalah selamat dan efektif untuk digunakan bagi ketuat jenis plamar serta plantar, namun tidak bagi jenis yang lain. Lebih-lebih lagi bahagian kulit yang sensitif seperti di dahi, muka dan sekitar alat sulit yang mungkin memerlukan alternatif lain sebagai cara buang ketuat.
Ini adalah apa yang anda mungkin boleh buat!
Tahukah anda bagi masalah kutil yang agak kurang serius, ia mungkin boleh dihilangkan dengan hanya menggunakan beberapa ramuan semula jadi di rumah sendiri?
Berikut adalah beberapa tip yang anda boleh cuba amalkan sebagai cara buang ketuat yakni:
- Cuka epal
- Bawang putih
- Kulit oren
- Lidah buaya
Cara penggunaan ramuan semula jadi ini adalah sama iaitu dengan mengekstraknya ke dalam bentuk cecair dan kemudian menyapunya pada kawasan kutil. Jika ia masih tidak menimbulkan hasil setelah sekian lama mencuba, anda mungkin perlu mendapatkan rawatan yang memerlukan kos belanja lebih besar.
Boleh save ini.. Pernah kena juga..
ReplyDeleteada banyak gila skin tag. sbb mak pun ada banyak...keturunan kot
ReplyDeletepernah guna krim asid salisilik ni. kalau tak nak side effect pakai krim pada ketuat saja. elak kena kulit sekitarnya
ReplyDeletetq sharing, amat membantu info ni
ReplyDelete