Klik gambar untuk baca lebih banyak artikel kesihatan di Hello Doktor |
Tahukah anda, penerima vaksin COVID-19 tidak digalakkan untuk melakukan senaman berat selepas suntikan? Ini kerana terdapatnya risiko untuk mengalami radang otot jantung atau miokarditis, salah satu kesan sampingan yang amat jarang berlaku kepada individu yang mengambil vaksin COVID-19 jenis MRNA.
Risiko ini juga lebih tinggi dalam kalangan orang muda yang berusia 30 tahun ke bawah. Golongan ini juga tidak digalakkan untuk melakukan senaman berat seperti berenang, berbasikal, angkat berat dan sebagainya seminggu selepas menerima vaksinasi.
Tetapi, mengapa kita ditegah untuk melakukan senaman berat selepas mengambil vaksin? Mari ikuti kupasannya di bawah.
Mengapa tidak boleh bersenam selepas menerima suntikan?
Pada 3 Julai lalu, negara jiran kita, Singapura, digemparkan dengan berita kematian seorang remaja berusia 16 tahun hanya beberapa hari selepas menerima vaksin Pfizer-BioNTech. Menurut laporan tersebut, jantung remaja berkenaan terhenti ketika sedang melakukan senaman mengangkat berat.
Kementerian Kesihatan Singapura masih menyiasat sama ada ia berlaku disebabkan miokarditis iaitu penyakit radang otot jantung. Namun, punca sebenar kejadian ini masih dalam siasatan. Menurut CDC, sejak April 2021, banyak kesan sampingan vaksin yang telah dilaporkan. Salah satunya ialah risiko untuk mengalami radang otot jantung (miokarditis dan perikarditis) setelah menerima vaksin COVID-19 seperti Pfizer-BioNTech dan Moderna.
Walau bagaimanapun, miokarditis dan perikarditis selepas suntikan COVID-19 amat jarang berlaku. Setakat 12 Julai 2021, sebanyak 1,047 laporan miokarditis atau perikarditis dalam kalangan orang dewasa berusia 30 tahun ke bawah telah diterima. Kebanyakan kes ini dilaporkan selepas pesakit menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis mRNA.
Setakat ini, CDC dan FDA telah mengesahkan 633 laporan miokarditis dan perikarditis selepas suntikan vaksin. Namun, kaitan antara dua kondisi ini dengan vaksin COVID-19 masih berada dalam siasatan. Kes radang otot jantung didapati lebih banyak berlaku kepada lelaki yang berusia 16 tahun ke atas. Selain itu, ia juga lebih kerap terjadi kepada mereka yang menerima dos kedua vaksin COVID-19.
Miokarditis atau perikarditis juga akan dikesan beberapa hari selepas pesakit menerima vaksin. Walau bagaimanapun, pesakit yang menerima rawatan akan sembuh dengan cepat selepas rehat yang mencukupi. Malah, mereka juga boleh melakukan aktiviti harian dengan normal selepas simptom yang dialami berkurangan.
Apakah simptom radang otot jantung?
Jika anda risau mengenai miokarditis atau perikarditis, pastikan anda sentiasa berjaga-jaga dengan simptom seperti:
- Sakit dada.
- Sesak nafas.
- Degupan jantung yang kuat.
- Rasa letih dan penat.
- Rasa hendak pitam.
- Bengkak pada kawasan tangan, kaki dan buku lali.
- Pengsan
Jika anda mengalami simptom di atas, jumpa doktor dengan kadar yang segera.
Miokarditis atau perikarditis merupakan satu kondisi yang sukar untuk dikesan kerana ketiadaan simptom. Selalunya, simptom yang pesakit alami merupakan tanda penyakit lain seperti serangan jantung.
Di Malaysia, masih belum ada sebarang kes radang otot jantung selepas vaksinasi yang dicatatkan. Malah, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan tiada kes miokarditis dan perikarditis yang diterima oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Sebagai langkah berjaga-jaga, elakkan melakukan senaman berat selepas menerima vaksinasi. Jika boleh, berehatlah sehingga anda benar-benar sihat.
Vaksin COVID-19 telah disahkan selamat dan efektif. Malah, jutaan manusia di seluruh dunia telah menerima vaksin ini tanpa sebarang kesan sampingan. Pada waktu artikel ini ditulis, hampir 9,570,974 rakyat Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.
Adakah saya masih perlu mengambil vaksin?
Jawapannya adalah ya. Vaksinasi merupakan satu komponen yang penting untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan, hospitalisasi dan kematian disebabkan wabak COVID-19. Jika anda telah menerima vaksin dos pertama, anda perlu mengambil dos kedua kecuali mendapat arahan khas daripada doktor.
Untuk pengetahuan anda, vaksin mempunyai kebaikan yang lebih besar berbanding risikonya, termasuklah risiko radang otot jantung. Malah, kesan sampingan vaksin bukanlah perkara baharu. Vaksin AstraZeneca juga dikatakan boleh menyebabkan pembentukan darah beku. Namun, kesan sampingan ini juga amat jarang berlaku.
Ingatlah, jutaan vaksin yang telah diberikan kepada rakyat Malaysia terbukti berkesan dan boleh menyelamatkan nyawa. Oleh sebab itu, jangan sesekali memilih vaksin dan ambil imunisasi secepat mungkin mengikut jadual yang ditetapkan.
Ubah rutin senaman selepas vaksinasi
Jika anda suka bersenam, cuba ubah rutin anda kepada senaman yang lebih ringan. Tunggu sekurang-kurangnya seminggu sebelum menyambung rutin seperti sediakala. Walau bagaimanapun, jika anda alami kesan sampingan vaksinasi seperti demam, batuk, selesema dan sebagainya, rehatlah sebentar dan beri masa untuk badan anda pulih sepenuhnya.
Mungkin anda akan rasa sedih kerana terlepas sesi senaman anda setiap hari, namun tidak ada gunanya untuk terus memaksa diri ketika sakit. Seperti ubat-ubatan yang lain, vaksin juga mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri. Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak mengambil vaksin.
Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita haruslah mengambil vaksinasi untuk melawan virus COVID-19. Jika bukan kita, siapa lagi?
Seram pulak. Nasib baik kita lepas cucuk tu memang rebah sikit sbb sakit sangat tangan sampai rasa tidur lagi baik
ReplyDeletesib baik la akak ni jenis tak bersenam :) ha ha ha ha...
ReplyDeleteada aku kesah nak bersenam lepas vaksin? tak hado!
but still a week lepas kena cucuk tu, akak pantau kesihatan.
num air cukup, num vit c. relaks relaks aje.
2-3 hari tak sihat, Fana. dua2 dos sama je. ngantok aje !
hadoi lah...