Haid… Boleh menyebabkan senggugut, perubahan mood dan jerawat. Tetapi bukan itu sahaja, ia juga berisiko mendatangkan ‘malapetaka’ pada sistem pencernaan anda!
Pernahkah anda mendengar istilah period poop? Jika tidak, dalam bahasa mudah ia membawa maksud cirit-birit ketika haid, pergerakan usus yang berubah apabila haid bermula. Period poop agak berbeza jika dibandingkan dengan ‘bahan buangan’ anda sebelum haid, dan ia selalunya bersifat lebih cair, lebih kerap, atau menjadi cirit-birit.
Menurut Dr. Yolanda Kirkham, Pakar Sakit Puan di Women’s College Hospital dan Pusat Kesihatan St. Joseph di Toronto, hormon sebahagian besarnya adalah punca yang boleh dipersalahkan!
Tahukah anda, setiap kali kitaran haid berlaku, tubuh kita akan mengalami banyak perubahan hormon? Ya, benar. Perubahan ini mempengaruhi seluruh tubuh, lantas menyebabkan gejala sindrom prahaid (PMS) yang merangkumi perubahan mood, kekejangan, dan perubahan sistem pencernaan.
Persoalannya di sini, bagaimana haid boleh mempengaruhi pergerakan usus? Ingin ketahui dengan lebih lanjut? Jom baca!
Haid & pergerakan usus
Sebelum penulis mengupas isu ini dengan lebih lanjut, mari kita fahami dahulu makna pergerakan usus. Untuk pengetahuan anda, pergerakan usus (bowel movement) adalah cara tubuh kita membuang sisa yang tidak ada sebarang kegunaan di dalam badan.
Kandungan najis adalah kira-kira 3 per 4 air. Selebihnya adalah campuran bahan yang merangkumi:
- Bakteria
- Lemak
- Serat (makanan yang tidak dicerna)
- Sisa makanan
- Lendiran
- Garam
Faktor-faktor berikut membincangkan perubahan di dalam badan yang berlaku sebelum dan semasa haid yang mempengaruhi pergerakan usus anda, antaranya:
#1 Peningkatan pengecutan otot
Tepat sebelum haid bermula, tubuh akan mengeluarkan hormon yang dikenali sebagai prostaglandins. Apa fungsinya? Hormon-hormon ini merangsang pengecutan otot di rahim lantas membantu badan menyingkirkan lapisan rahim.
Pada masa yang sama, hormon haid turut merangsang otot di usus yang berdekatan dengan rahim untuk mengecut, menyebabkan pergerakan usus yang lebih kerap. Bukan itu saja, ia juga mengurangkan keberkesanan tubuh dalam menyerap air, menyebabkan najis lebih cair dan meningkatkan risiko cirit-birit.
Namun, apabila ia berlaku, mungkin sukar untuk anda membezakan sama ada mengalami kekejangan rahim, perut atau usus kerana semuanya menyakitkan dan tidak menyelesakan. Tambah lagi, hormon prostaglandins juga terlibat dalam banyak gejala PMS yang lain, termasuklah sakit kepala.
#2 Progesteron meningkat
Antara hormon lain yang bakal meningkat tepat sebelum haid bermula adalah, hormon progesteron. Bagi sesetengah wanita, progesteron berisiko mempengaruhi saluran pencernaan sehingga menyebabkan sembelit atau cirit-birit.
Pada wanita yang mempunyai masalah usus kronik atau penyakit radang usus (IBD), seperti ulcerative colitis atau penyakit Crohn, maka menstruasi boleh memburukkan lagi gejala yang dialami. Contohnya, pada individu yang mengalami sembelit berkaitan dengan IBD, perubahan yang berkaitan dengan hormon progesteron akan memburukkan lagi masalah sembelit.
Bukan itu sahaja, hal ini juga mempengaruhi mereka dengan kondisi seperti endometriosis, fibroid rahim, malah sista ovari.Tambahan itu, pesakit IBD juga lebih cenderung mengalami simptom PMS yang lain, seperti sakit kepala atau senggugut.
#3 Tahap stres atau kegelisahan meningkat
Ketika PMS atau haid, kebanyakan wanita mengalami perubahan mood atau peningkatan tahap kegelisahan.Ternyata, bukan hanya faktor hormon malah stres juga boleh mempengaruhi pergerakan usus anda, menyebabkan sembelit mahupun cirit-birit.
Menurut penyelidikan di dalam jurnal BMC Women’s Health, golongan wanita melaporkan kepekaan yang lebih tinggi terhadap kesakitan dan ketidakselesaan dalam fasa prahaid dan semasa haid. Justeru, ia berisiko memburukkan lagi simptom stres dan kegelisahan yang dialami.
#4 Perubahan diet
Selalu rasa lapar dan craving makanan-makanan manis apabila nak datang bulan? Ternyata ada penjelasan di sebaliknya! Ia berpunca oleh hormon progesteron yang meningkatkan rasa lapar dan membuatkan kita teringin makanan tinggi kandungan lemak atau gula, seperti aiskrim, kek mahupun coklat.
Namun, disebabkan tubuh sukar untuk mencernanya, pengambilan makanan ini mampu mempengaruhi saluran pencernaan anda. Perubahan berkaitan PMS dalam tabiat pemakanan menyumbang kepada penyebab segelintir wanita melihat perbezaan dalam konsistensi, kekerapan, atau bau najis mereka sebelum atau semasa haid.
Tip menguruskan period poop
Bagi sesetengah kaum Hawa, haid adalah tempoh masa yang paling ingin dielakkan dek kesakitan yang terpaksa dihadapi! Tetapi usah risau, jika tidak dapat menghilangkannya secara total, anda masih boleh mengurangkan simptom-simptom dialami dengan perubahan diet dan gaya hidup.
Tip berikut dapat membantu anda menangani masalah cirit-birit ketika haid:
- Makan banyak serat semula jadi, termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, dan biji-bijian: Makanan berserat tinggi membantu menjaga sistem pencernaan yang sihat
- Lakukan aktiviti fizikal: Jangan terlalu pasif dan hanya berbaring sepanjang hari. Pastikan badan sentiasa bergerak dan kekal aktif kerana ia boleh melegakan masalah kekembungan, ketidakselesaan dan membantu usus bergerak dengan baik
- Cuba pelembut najis: Ubat pelembut najis membantu najis melewati usus dengan lebih mudah
- Ambil ibuprofen: Ibuprofen (ubat tahan sakit) bukan sahaja dapat bantu mengurangkan kekejangan dan ketidakselesaan rahim, malah mengawal prostaglandins. Kadangkala, kesan ubat ini juga dapat mengatasi gejala pencernaan yang berkaitan dengan haid
Sekiranya masalah ini berlarutan sehingga mengganggu kehidupan harian, usah buang masa dan segera berkonsultasi bersama doktor agar pilhan rawatan terbaik dapat diberikan.
Konklusinya…
Benar, masalah sembelit dan cirit-birit terutamanya ketika period adalah amat menjengkelkan dan menyiksakan, namun biasanya ia akan berakhir apabila habis haid. Sekiranya rawatan di rumah masih tidak membantu, doktor anda mungkin akan mengesyorkan pilihan ubatan lain ataupun rawatan hormon.
Info menarik ni. Terima kasih awak :)
ReplyDeleteInfo menarik..Tq sharing ana :)
ReplyDeletegood sharing ni.. i tak pernah tau pun about this even ada symptom
ReplyDeleteBaru tahu pasal ini.. Info yang bagus..
ReplyDeleteBaru tahu tq for share
ReplyDelete