Bulan Syawal Tiba! Penghidap Diabetes Jenis 1 Perlu Lebih Berjaga-jaga, Ikuti Panduan Pemakanan Ini

Tuesday, 26 May 2020

ramadhan

Bulan Ramadan dan Syawal merupakan saat yang mencabar buat penghidap kedua-dua jenis diabetes. Walau bagaimanapun, risiko kemasukan ke hospital disebabkan oleh masalah kesihatan lebih jelas pada mereka yang didiagnosis dengan kencing manis jenis 1.

Oleh sebab badan tidak berupaya menghasilkan insulin untuk memenuhi keperluan fisiologi tubuh, perkara tersebut memberikan impak kepada kegiatan harian bagi kedua-dua bulan tersebut. Sebagai contoh, mereka yang menghidap kencing manis jenis 1 tidak digalakkan untuk berpuasa tanpa pengawasan oleh doktor perubatan. Ia berikutan mereka berisiko untuk mengalami komplikasi kesihatan jika pelan pemakanan harian tidak dirancang dengan sebaiknya.

Perkara ini termasuklah penggunaan ubat insulin yang menjadi tunjang kepada keadaan gula dalam darah terkawal bagi pesakit diabetes jenis 1. Terdapat pantang larang yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan komplikasi yang jauh lebih serius sehingga boleh mengancam nyawa. Artikel ini akan memfokuskan khususnya kepada mereka yang didiagnosis dengan masalah diabetes jenis 1 bagi mempersiapkan diri menghadapi bulan Syawal.

Teruskan membaca.

Risiko DKA meningkat jika tidak berwaspada

jenis diabetes

Lebih daripada 1.7 bilion umat Islam di seluruh dunia berpuasa pada bulan Ramadan dan beraya pada bulan Syawal. Pelbagai jenis juadah disediakan bagi menikmati waktu berbuka puasa, sementara sewaktu Syawal pula akan dihiasi dengan kuih muih beraneka jenis dan rasa. 

Individu yang mengalami diabetes bergelut dengan masalah pemakanan. Ia bukanlah satu perkara yang mudah dikawal terutamanya di Malaysia yang terkenal dengan pelbagai jenis makanan. Apa yang lebih menakutkan bagi populasi tersebut adalah kebanyakan makanan yang disediakan mengandungi jumlah gula dan nutrisi makro karbohidrat yang tinggi.

Tanpa kawalan pengambilan kalori dan penggunaan insulin, mereka berisiko untuk mendapat pelbagai jenis komplikasi termasuklah diabetic ketoacidosis (DKA). Menurut satu kajian di 3 buah hospital yang terletak di United Arab Emirates (UAE), majoriti pesakit diabetes yang dimasukkan ke dalam hospital sepanjang bulan Ramadan dan Syawal adalah pesakit dengan jenis diabetes 1.

Pada bulan Ramadan, sejumlah 20 pesakit dimasukkan ke dalam hospital, semuanya pesakit diabetes jenis 1. Sejumlah 28 pesakit dimasukkan pada bulan Syawal, 4 daripadanya adalah pesakit diabetes jenis 2.

Melalui rekod ini, kita boleh buat andaian bahawa pesakit kencing manis jenis 1 lebih berisiko untuk dimasukkan ke dalam hospital akibat komplikasi diabetes. Apa yang lebih mengejutkan adalah jumlah kemasukan tersebut jauh lebih tinggi daripada purata jumlah bagi 6 bulan sebelum Ramadan.

Oleh sebab risiko sebeginilah keringanan diberikan kepada mereka yang menghidap diabetes untuk tidak berpuasa.

Panduan pemakanan bagi pesakit jenis diabetes 1 semasa bulan Syawal

jenis diabetes

Kebanyakan kes diabetes jenis 1 didiagnosis semasa kanak-kanak.

Perkara ini agak mencabar jika dilihat pada sudut klinikal memandangkan golongan ini masih sedang membesar. Jika dilihat secara teorinya, bulan Syawal sama seperti bulan Islam (kecuali Ramadan) yang lain dari konteks rutin waktu makan. Apa yang membezakan adalah sambutan perayaan bagi meraikan kejayaan umat Islam menempuh 30 hari berpuasa.

Perkara ini, walaupun dilihat sebagai satu perubahan kecil boleh memberikan impak yang besar kepada penghidap kencing manis jenis 1. Rumah terbuka, kuih raya dan minuman manis, semuanya merupakan trademark kepada suasana perayaan.

Ini bermakna, perjuangan memerangi hawa nafsu masih belum selesai!

Pesakit diabetes perlu kembali kepada asas pengambilan kalori makanan dan mereka perlu memahami sedikit sebanyak kenapa pengambilan kalori berlebihan menyebabkan berlakunya komplikasi.

Makanan yang berteraskan sumber yang sihat (walaupun sukar ditemui pada bulan ini) perlu menjadi pegangan. Oleh sebab fokus utama adalah pada nutrisi makro karbohidrat, pesakit perlu sedar berapa jumlah makanan berasaskan sumber tersebut yang boleh diambil. Ia bukanlah perkara asing memandangkan teknik pengiraan karbohidrat digunakan secara meluas dalam rawatan kencing manis jenis 1.

Memandangkan majoriti pesakit diabetes jenis 1 adalah kanak-kanak, jadual bergambar bersama nilai karbohidrat boleh membantu mereka memberikan anggaran yang lebih tepat. Perkara ini penting memandangkan jika nilai yang dianggar lebih rendah/tinggi daripada apa yang diambil, mereka berisiko untuk mendapat masalah hipo/hiperglisemia.

Dilema pesakit diabetes jenis 1 terhadap kawalan gula dalam darah

syawal

Jika makan terlalu banyak boleh dapat hiperglisemia, kalau terlalu sedikit, boleh hipoglisemia. Demikianlah corak kerisauan yang berlaku dalam kalangan pesakit yang menghidap kencing manis jenis 1. Oleh sebab badan mereka tidak mampu menghasilkan insulin, mereka perlu menyuntik insulin bagi memanfaatkan sumber tenaga yang dicerna. Mereka perlu menggunakan sehabis baik waktu makan bagi memenuhi kehendak badan sebelum insulin disuntik masuk.

Jadual makan tetap dan pengambilan jumlah karbohidrat yang sama setiap hari boleh membantu menghindarkan komplikasi diabetes. Jika perlu, mengikut saranan pakar, snek berkhasiat boleh diberikan antara dua hidangan makan besar.

Tiada peraturan am yang boleh digunakan secara rambang apabila ia berkaitan dengan pemakanan bagi pesakit kencing manis jenis 1. Ia bergantung kepada pelbagai faktor seperti aktiviti fizikal bagi menentukan keperluan harian bagi nutrisi makro karbohidrat.

Konklusi

Penting bagi pesakit kencing manis jenis 1 untuk rujuk kepada doktor masing-masing sepanjang bulan Ramadan dan Syawal ini.

Jika dilihat pada konteks pemakanan, penulis setuju, pesakit diabetes tidak boleh menikmati makanan pada bulan Syawal seperti individu lain.

Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna anda tidak boleh menikmati kemeriahan suasana Aidilfitri.

Baca artikel kesihatan menarik yang lain di Hello Doktor!

5 comments

  1. Bulan Syawal banyak makanan tinggi gula tinggi kolesterol semuanya tinggi dihidanglah. Yang ada diabetes memang kena berhati hati bila nak makan

    ReplyDelete
  2. Mujurlah tiada kunjung mengunjung raya kali ini
    Kuraglah engadap juadah raya

    ReplyDelete
  3. Bukan pengidap kencing manis je kena hati2, yang sihat pun boleh berpenyakit kalau tak jaga makan.. Tambah pula Syawal.. 😂😂

    ReplyDelete
  4. Erkkk...insaf. baiklah...petang ni juga akak pergi KK ambik result gula bulan 3 hari tu...

    ReplyDelete
  5. Masa muda la kena jaga makan kan. 2 tahun jaga MIL kencing manis luka kaki betul2 buat kami insaf.

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.