Slider

REVIEW

FASHION

MUSIC

LIFESTYLE

Latest Blog

FILEM ‘BAGA’ TAMPIL REALISTIK DAN MENGGONCANG PAWAGAM LOKAL - “MASTERPIECE & MENCENGKAM JIWA”

Wednesday, 4 November 2026

Kuala Lumpur, 4 November 2026 - Menjelang tayangan rasminya, filem BAGA arahan pengarah debut Ariff Zulkarnain, mula mencetuskan fenomena tersendiri di platform media sosial. Menerusi tayangan awal dan pratonton khas, beberapa pengamal media, selebriti serta pengkritik filem tempatan tidak melepaskan peluang memberikan pandangan awal terhadap karya yang disifatkan sebagai antara naskhah paling penting tahun ini.

Sentuhan debut Ariff Zulkarnain menerima pujian melambung daripada pelakon popular Lisa Surihani yang menyifatkan filem ini sebagai sebuah karya yang sarat dengan pengisahan visual bermakna serta mampu menyentuh sanubari penonton. Lisa mengakui bahawa persembahan para pelakon yang begitu realistik telah menarik beliau masuk ke dalam dunia watak Jani.

Pengarah Razaisyam Rashid turut mengangkat BAGA sebagai antara karya tempatan terbaik, yang pernah disaksikannya dalam tempoh lima tahun kebelakangan  ini, kerana impak emosi dan realiti kehidupan yang ditonjolkan secara mendalam. 


Salah satu daya tarikan utama yang dicatatkan oleh para penonton ialah kualiti lakonan barisan pelakon utamanya, terutamanya Amir Ahnaf yang memegang watak Jani serta Idham Maulana sebagai Cech. Pelakon Ikmal Amry memberi nilai penuh 10/10 dan menyifatkan ini sebagai persembahan terbaik Amir Ahnaf setakat ini. Pada masa yang sama, Razaisyam Rashid menyifatkan watak Cech lakonan Idham Maulana sebagai antara antagonis filem tempatan paling berkesan dan berkuasa pernah diciptakan.

Rakan seni dan pengkritik lain turut menyerlahkan keunikan filem ini yang berani keluar daripada norma filem komersial biasa. Aedy Ashraf dengan tegas menyatakan bahawa keaslian atau authenticity filem ini berada di tahap tertinggi dan memberi skor 10/10. 

Haidar Hasanudin merumuskan filem ini berada di tahap next level, manakala Amar Amir menganggap BAGA sebagai a breath of fresh air buat sinema Malaysia kerana tampil sederhana, mentah serta mempunyai jiwa yang cukup tragis. 

Redza Minhat turut menggambarkan pengalamannya menonton secara ringkas dengan menyifatkan filem ini amat lazat untuk ditonton, sambil sokongan padu dan ucapan tahniah dizahirkan oleh Mierul Aiman.

Selain plot dan lakonan, elemen susunan muzik dan kualiti audio dalam pawagam turut mencuri tumpuan penonton. Kehadiran lagu ikonik ‘Suci Dalam Debu’ yang dimainkan dengan kualiti bunyi sinema yang mantap telah menyentuh perasaan ramai serta membangkitkan rasa nostalgia dan emosi mendalam.

Berdasarkan respon awal daripada barisan selebriti dan pengkritik, BAGA bukan sekadar sebuah filem hiburan biasa, malah sebuah naskhah penting yang memberi cerminan realiti masyarakat. 

Bagi anda yang dahagakan karya filem tempatan yang berkualiti tinggi, padat emosi dan autentik, pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan BAGA: Esok Untuk Siapa, di pawagam mulai 5 November 2026.

‘SAYANG SAYANG’ HIMPUNKAN KEPELBAGAIAN MALAYSIA DALAM SEBUAH KISAH TENTANG IDENTITI, KELUARGA DAN KASIH SAYANG | ‘Diiktiraf menerusi lima pencalonan Anugerah Golden Horse ke-63, filem ini menampilkan potret Malaysia melalui gabungan budaya, bahasa dan komuniti yang jarang diketengahkan di layar perak’ 

3 November 2026, Kuala Lumpur – Selepas mencuri perhatian di pentas antarabangsa dan menerima pengiktirafan menerusi lima pencalonan di Anugerah Golden Horse Ke-63, filem kerjasama Malaysia-Taiwan, SAYANG SAYANG, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026.

Sejak treler rasminya diperkenalkan kepada umum, SAYANG SAYANG menarik perhatian ramai menerusi kekuatan emosi yang dipaparkan, dengan penonton menyatakan bahawa sedutan filem tersebut sudah cukup untuk membuatkan mereka tersentuh. Sambutan positif itu diteruskan semasa tayangan perdana filem ini di Taipei, yang menyaksikan penonton memuji keindahan penceritaan serta mesej universal tentang hubungan sesama manusia.

Diterbitkan oleh More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co., Ltd, SAYANG SAYANG merupakan sebuah drama fiksyen yang mengangkat tema identiti, kasih sayang, keluarga dan penerimaan komuniti melalui perspektif yang jarang diketengahkan di layar perak. Filem ini diterajui pengarah dan penulis skrip Taiwan, Tang Hsiang-Chu, dengan Yeh Jufeng dan Jin Ong sebagai Penerbit Eksekutif, manakala Nicole Teoh bertindak selaku penerbit.

SAYANG SAYANG turut membuka ruang penerokaan yang mendalam buat pengarah dan seluruh pasukan produksi, terutamanya dalam membentuk dunia yang berteraskan kepelbagaian budaya, bahasa dan kepercayaan. Dengan watak-watak daripada latar Melayu, Cina dan India, setiap elemen dibangunkan dengan penuh halus memastikan representasi yang dipaparkan kekal asli dan menghormati realiti komuniti yang diangkat. 

Filem ini merupakan sebuah pengalaman sinematik yang meraikan keindahan landskap dan kepelbagaian budaya Malaysia. Berlatar belakangkan persisiran Pantai Timur yang luas, filem ini memanfaatkan elemen laut dan alam sebagai bahasa visual yang melengkapi perjalanan emosi setiap watak. Di bawah arahan Tang Hsiang-Chu serta kerjasama kru kreatif dari Malaysia, Taiwan dan India, setiap aspek visual, daripada sinematografi dan tona warna hinggalah ke rekaan bunyi dibangunkan dengan penuh ketelitian untuk menghasilkan sebuah karya yang puitis. 

SAYANG SAYANG menghimpunkan pelakon daripada latar belakang yang bervariasi seperti Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Sasha Tang, Amir Ahnaf, Jo Kukathas, Khir Rahman, Farah Ahmad, Lee Lee-Zen, Ong Ai Leng, Vemanna Appannah, Mia Tan Shu Man dan Tan Li Yang. Gabungan bakat dari pelbagai negara memperkukuhkan lagi kepelbagaian budaya yang menjadi tunjang kepada penceritaan filem ini.

Manakala, filem ini diiringi lagu tema filem bertajuk ‘Sayang’ nyanyian penyanyi terkenal, Dato' Sri Sheila Majid.

Selain menggunakan dialog Bahasa Melayu, Cina dan Tamil, SAYANG SAYANG turut mempamerkan bahasa isyarat demi membawa penonton menyelami dunia komuniti golongan kelainan upaya. Pendekatan ini menjadikan filem ini antara naskhah tempatan yang memberikan ruang kepada representasi komuniti tersebut di layar perak.

SAYANG SAYANG mengisahkan Nancy, seorang wanita berbangsa India yang pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur bersama Ajay, seorang anak kurang pendengaran, dan membuka sebuah sekolah bahasa isyarat. Mina, seorang gadis Melayu pekak pula amat meminati Muay Thai dan berusaha mencari jati dirinya di sebalik tuntutan tradisi. Sementara itu, San San, seorang gadis Cina dengan kekurangan yang sama, begitu mendambakan laut dan terikat dengan kepercayaan keluarganya. 

Tiga anak daripada latar keluarga dan budaya yang berbeza berdepan dengan cabaran kehidupan masing-masing dalam perjalanan mengenali diri dan kepercayaan. 

SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026.

Gunakan #SayangSayang #沙央 di platform media sosial. Bagi mengetahui info terbaharu SAYANG SAYANG, boleh ikuti di semua akaun digital Astro Shaw untuk maklumat lanjut.

KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Ada cinta yang datang dan pergi, ada juga yang kekal dalam ingatan. Begitulah kisah Cinta dan Rangga yang selepas 24 tahun masih menjadi antara pasangan ikonik dalam filem romantik Indonesia, dengan perjalanan cinta mereka yang terus menghidupkan kembali debaran cinta pertama.

Siapa yang boleh melupakan puisi Rangga, persahabatan Cinta bersama gengnya serta kisah dua insan yang menemukan cinta dalam keadaan tidak terduga? Dibintangi Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra, Ada Apa Dengan Cinta? (2002) memperkenalkan penonton kepada sebuah kisah yang bukan sekadar tentang cinta pertama, malah turut mengangkat persahabatan, pengorbanan dan perasaan yang sukar diluahkan.

Perjalanan cinta mereka tidak terhenti di situ apabila kisah Cinta dan Rangga disambung menerusi Ada Apa Dengan Cinta? 2 (2016), yang menemukan semula kedua-duanya selepas bertahun-tahun membawa haluan masing-masing.

Buat peminat yang ingin menyaksikan semula kisah ini, kedua-dua filem boleh mula distrim secara eksklusif untuk pelanggan Tonton pada 4 November 2026. Langgan Tonton sekarang menerusi aplikasi Tonton atau layari http://www.tonton.com.my untuk menikmati kedua-duanya!

Inilah peluang buat peminat lama untuk kembali bernostalgia, selain memberi ruang kepada generasi baharu mengenali kisah cinta Cinta dan Rangga yang terus terpahat dalam ingatan.

Jadi, selepas 24 tahun… masih ada apa dengan Cinta?

Untuk maklumat terkini mengenai program kegemaran anda serta kandungan eksklusif, ikuti Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram menerusi @tontonmy.

Astro Bawakan Dua Konsert Mega Disember Ini, Tiket Kini Dijual | Konsert Sooka (5 Disember) dan Konsert Vaganza (6 Disember) bakal berlangsung di Idea Live Arena

Kuala Lumpur, 3 November 2026 - Astro bakal membawakan dua konsert mega Disember ini menerusi Konsert Sooka pada 5 Disember dan Konsert Vaganza pada 6 Disember 2026. Kedua-dua konsert akan berlangsung pada jam 8 malam di Idea Live Arena, 3 Damansara, dengan tiket kini dibuka untuk jualan.

Konsert Sooka bakal menampilkan Kudrat Boys, The Lantis, Insomniacks, Bunkface dan Kugiran Masdo dalam sebuah malam penuh kemeriahan dengan persembahan bertenaga dan lagu-lagu popular yang pastinya mengajak peminat untuk turut menyanyi bersama. Para peminat boleh mendapatkan tiket menerusi enam kategori iaitu DISTORT (RM128), ATTACK (RM188), MOSH (RM208), GIG (RM258), SOLO (RM288) dan RIFF (RM388), merangkumi pilihan tempat duduk dan ruang berdiri mengikut kategori masing-masing.

Sementara itu, Konsert Vaganza bakal menghimpunkan barisan artis popular termasuk Datuk Ziana Zain, Dato' Ramli Ms, Tenxi, Jaclyn Victor, Noh Salleh, Mimi Fly, Odda, Ratu, Ammara dan ALPHA, selain penampilan khas beberapa peserta Gegar Vaganza Fantasia.

Peminat boleh memilih daripada sembilan kategori tiket iaitu GEMPAK (RM188), MANAGER (RM288), SUPERSTAR (RM388), MELETOP (RM488), IMPIAN (RM488), STAGE (RM588), KILA UAN (RM588), HIGH COUNCIL (RM688) dan GEGAR (RM788), yang turut menawarkan pilihan pengalaman berbeza termasuk kategori GEGAR dengan Meet & Greet Soundcheck Experience. Tiket untuk kedua-dua konsert kini boleh didapati menerusi Ticketmelon di https://www.ticketmelon.com/astro/konsert.

Untuk maklumat lanjut, layari gempak.com.

TIGA HARI PENUH KEMERIAHAN, JOHOR BAHRU BERIKAN SAMBUTAN HEBAT BUAT KJH 2026!

Tuesday, 3 November 2026

TIGA HARI PENUH KEMERIAHAN, JOHOR BAHRU BERIKAN SAMBUTAN HEBAT BUAT KJH 2026! | Kemeriahan KJH 2026 Bakal Menjelajah Ke Kuala Lumpur, Stadium Merdeka Menjadi Destinasi Penutup Pada 27 Hingga 29 November Ini


Kuala Lumpur, 3 November 2026 - Memang power orang Johor Bahru! Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 sekali lagi membuktikan tarikannya apabila menerima sambutan hebat daripada warga Johor yang hadir beramai-ramai selama tiga hari berturut-turut, bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall. Selepas mencipta kenangan bersama pengunjung di selatan tanah air, kemeriahan KJH 2026 bakal diteruskan ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 November ini, yang akan menjadi destinasi terakhir jelajah tahun ini.

Menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik, tawaran istimewa dan hiburan untuk seisi keluarga, KJH Johor Bahru menjadi pilihan pengunjung untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan sepanjang hujung minggu. Daripada aktiviti komuniti dan reruai jualan hinggalah kepada persembahan pentas serta peluang bertemu personaliti televisyen dan selebriti kegemaran, pelbagai pengisian tersedia untuk dinikmati oleh pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.

Antara kunjungan istimewa yang mencuri perhatian ialah kehadiran Ketua Polis Negara, Yang Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Khalid bin Haji Ismail bersama isteri, Yang Berbahagia Puan Sri Datuk (Dr.) Hajah Munirah. Turut hadir ialah Ketua Polis Johor, Yang Berhormat CP Dato’ Ab Rahaman, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Yang Berbahagia Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid serta Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Yang Berbahagia Datuk Efendi Omar.

Sepanjang karnival berlangsung, reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS) turut menjadi tumpuan menerusi pelbagai aktiviti interaktif, termasuk pertandingan mewarna, Karaoke Challenge dan sesi Meet & Greet bersama selebriti TV3 serta personaliti TV9. Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti lain seperti pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma, Zumba serta Jom Lokal Jam yang menambahkan variasi pengisian sepanjang acara.

Melengkapkan aktiviti di reruai STDS, Pertandingan Pakaian Tradisional turut mendapat perhatian apabila Nurul Aufa Iffah dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang RM500. Tempat kedua menjadi milik Cinta Suci Indah Urmila yang menerima RM300, manakala Nurul Rizqah Hanney meraih tempat ketiga dengan membawa pulang RM200.

Pada pagi Ahad, pengisian berteraskan gaya hidup sihat pula diteruskan menerusi Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP, yang menawarkan kategori larian 5KM dan 8KM. Lebih menarik, peserta berpeluang berlari bersama artis drama, personaliti Media Prima serta selebriti popular tanah air, menjadikan aktiviti ini antara pengalaman menarik yang melengkapi hujung minggu mereka di KJH.

Sebagai kemuncak acara, perkarangan Padang B, Angsana Johor Bahru Mall dibanjiri ribuan pengunjung yang hadir untuk menyaksikan Konsert Jom Heboh selama dua malam berturut-turut. Malam Sabtu dimeriahkan dengan persembahan Khai Bahar, Haiza, Nabila Razali, Ara Johari, Bunga Isme dan Haqiem Rusli, sebelum pentas diteruskan dengan Mamat Exist, Alyph, Wany Hasrita, Drama Band dan Mariam Saim pada malam Ahad. Sambutan hangat yang diberikan melengkapkan tiga hari penuh hiburan dan pengalaman bersama di KJH Johor Bahru 2026.

Terima kasih warga Selatan atas sokongan dan sambutan hebat yang diberikan! Selepas kemeriahan di selatan tanah air, KJH 2026 kini menuju ke destinasi terakhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November ini. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada penutup jelajah KJH tahun ini yang pastinya dinantikan dengan pelbagai lagi pengisian menarik bersama keluarga dan rakan-rakan.

Justeru, warga Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya, ayuh bersama-sama memeriahkan KJH 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November ini! Berlatarkan mercu tanda ikonik Merdeka 118, destinasi bersejarah ini bakal menjadi lokasi penutup tirai jelajah KJH tahun ini dengan pelbagai aktiviti menarik dan hiburan untuk seisi keluarga. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada kemeriahan ini dan sama-sama mencipta kenangan manis di lokasi yang cukup istimewa. Jumpa anda di sana!

Untuk maklumat lanjut mengenai Karnival Jom Heboh, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti Facebook dan Instagram rasmi di @jomhebohofficial. Kongsikan keterujaan anda menggunakan tanda pagar #KJH, #KarnivalJomHeboh dan #KJHJohor.

WANI KAYRIE BAWA IRAMA & WARNA BUDAYA MALAYSIA KE PENTAS ANTARABANGSA! | Rocketfuel Entertainment Bangga Artis Naungan Terpilih Wakili Negara Di ABU Song Festival Ke-15 Di Colombo, Sri Lanka Pada 2 November Ini

KUALA LUMPUR, 3 NOVEMBER 2026 – Daripada mencuri perhatian di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) kepada membawa identiti muzik Malaysia ke persada antarabangsa, penyanyi berbakat besar, Wani Kayrie, bakal melakar satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seninya apabila terpilih mewakili negara pada ABU Song Festival ke-15 di Colombo, Sri Lanka, pada 2 November ini.

Lebih membanggakan, Wani merupakan satu-satunya artis yang dipilih oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membawa nama Malaysia ke festival berkenaan, sekali gus membuka peluang untuk memperkenalkan keunikan seni dan budaya tempatan kepada khalayak antarabangsa.

Bagi Rocketfuel Entertainment, pemilihan ini merupakan satu pengiktirafan bermakna terhadap perkembangan kerjaya Wani, selain mencerminkan potensi bakat tempatan untuk diketengahkan menerusi pentas muzik serantau.

Dari AJL40 Ke Pentas Antarabangsa

Pemilihan Wani hadir selepas kejayaannya membawa lagu “Cak Cak Cekuk” ke pentas akhir AJL40, sekali gus merealisasikan impiannya untuk beraksi di pentas berprestij tersebut. 

Kini, karya yang menampilkan gabungan elemen tradisional dan moden itu bakal diperkenalkan kepada penonton antarabangsa menerusi versi persembahan AJL40.

Pemilihan artis untuk mewakili negara di festival seumpama ini mengambil kira pencapaian serta kejayaan yang diraih dalam tempoh tertentu. Justeru, peluang yang diberikan kepada Wani menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seninya, di samping membuka ruang untuk memperluas pengenalan muzik Malaysia di luar negara.

ABU Song Festival menghimpunkan artis dari rantau Asia Pasifik bagi meraikan kepelbagaian budaya dan muzik menerusi persembahan yang mencerminkan identiti setiap negara. Dalam konteks ini, penyertaan Wani membawa makna tersendiri apabila beliau bukan sahaja tampil sebagai penyanyi, malah turut menggalas tanggungjawab memperkenalkan keunikan budaya Malaysia.

“Satu Penghargaan Istimewa” – Wani Kayrie

Mengulas pemilihannya, Wani menyifatkan peluang tersebut sebagai satu penghormatan besar, apatah lagi apabila beliau diberikan kepercayaan untuk membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Saya berasa sangat bangga kerana dipilih mewakili Malaysia tahun ini. Saya tahu pemilihan seperti ini mengambil kira pencapaian tertentu seseorang artis, jadi saya menganggapnya sebagai satu peluang dan penghargaan yang sangat istimewa daripada RTM.

“Saya berharap peluang ini dapat membantu saya mengetengahkan bakat yang ada, di samping membawa keunikan budaya kita ke peringkat antarabangsa. Saya mahu penonton di sana melihat keistimewaan muzik dan budaya Malaysia menerusi persembahan yang akan saya bawakan,” katanya.

Bagi menyerlahkan identiti tempatan, konsep persembahan Wani mengekalkan karakter “Cak Cak Cekuk” seperti yang dipersembahkan di AJL40, dengan penekanan terhadap warna dan rekaan kostum yang mencerminkan budaya Malaysia.

Kekalkan Identiti, Segarkan Penampilan

Wani berangkat ke Colombo pada 30 Oktober dan berada di Sri Lanka sehingga 3 November. Persiapannya kali ini lebih tertumpu pada penyesuaian beberapa elemen persembahan, termasuk koreografi penari serta pemilihan pakaian, tanpa mengubah konsep asal lagu berkenaan.

“Persiapan kali ini boleh dikatakan sederhana kerana kami masih mengekalkan konsep ‘Cak Cak Cekuk’ seperti di AJL40. Cuma, terdapat perubahan dari segi gerak tari persembahan, kostum penari dan pakaian saya.

“Bagi saya, penting untuk mengekalkan identiti lagu ini sambil memberikan sentuhan yang bersesuaian dengan pentas antarabangsa. Saya berharap gabungan muzik, penampilan dan warna yang diketengahkan dapat menyerlahkan budaya Malaysia dengan cara yang menarik,” jelasnya.

Rocketfuel Entertainment Bangga Bakat Tempatan Ke Persada Dunia

Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Mathan Rajasingam, turut melahirkan rasa bangga atas pemilihan Wani, sambil menyifatkannya sebagai peluang penting untuk memperluas pengiktirafan terhadap bakat dan karya anak seni tempatan.

“Kami amat berbangga apabila Wani diberikan kepercayaan untuk mewakili Malaysia di ABU Song Festival ke-15. Peluang ini bukan sahaja menjadi satu pencapaian bermakna buat dirinya, malah membuka ruang untuk memperkenalkan keunikan muzik dan budaya Malaysia kepada khalayak antarabangsa.

“Kami berharap Wani dapat memanfaatkan pengalaman ini sebaik-baiknya dan tampil dengan persembahan yang membanggakan. Sebagai sebuah label hiburan yang komited dalam membangunkan bakat tempatan, Rocketfuel Entertainment akan terus menyokong usaha artis di bawah naungannya untuk berkembang dan meneroka peluang yang lebih luas,” katanya.

Dengan “Cak Cak Cekuk” sebagai taruhan, Wani kini bersedia membawa irama dan warna budaya Malaysia ke Colombo, sekali gus menjadikan penyertaan sulungnya di ABU Song Festival sebagai satu lagi langkah penting dalam perjalanan seninya.

Dalam perkembangan lain, "Cak Cak Cekuk Versi AJL" kini boleh distrim di semua platform digital bermula 16 Oktober lalu.

‘BAGA: ESOK UNTUK SIAPA’ GANDINGAN AMIR AHNAF & AMIRAH RAZAK

Monday, 2 November 2026

‘BAGA: ESOK UNTUK SIAPA’ GANDINGAN AMIR AHNAF & AMIRAH RAZAK | TELUSURI KISAH CINTA, PENGORBANAN DAN REALITI GELAP KANCAH DADAH

Kuala Lumpur, 2 November 2026 – Sebuah naskhah genre crime drama terbaharu bertajuk BAGA bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026. Diterbitkan oleh Syafiq Yusof bersama Syafiq Kyle menerusi produksi Indigo Films Sdn Bhd serta kerjasama SKOP Productions Sdn Bhd selaku pengedar rasmi di samping Primeworks Studios Sdn Bhd bagi rakan pemasaran.

Sentuhan pengarah berbakat Ariff Zulkarnain, filem ini membawa penonton menyelami realiti dunia gelap yang jarang sekali dipaparkan di layar perak tempatan. Mengangkat gandingan mantap Amir Ahnaf dan Amirah Razak, kisah bermula apabila masa depan juga cinta dua jiwa muda berlatarkan sebuah perkampungan nelayan konservatif di Pantai Timur, diuji hebat. 

Kehamilan luar jangkaan memaksa Jani (Amir Ahnaf) dan Melur (Amirah Razak) membuat keputusan paling sukar dalam hidup, hingga terdesak mendorong Jani terjebak dalam kancah perdagangan dadah demi mengukuhkan masa depan mereka. BAGA menyaksikan bagaimana ikatan cinta berdepan dengan ketagihan, kemiskinan dan ketatnya norma tradisi di mana peluang adalah sangat terhad, malah setiap pilihan membawa akibat yang besar.

Keistimewaan BAGA ini turut diperkukuhkan lagi dengan penampilan barisan pelakon berpengalaman tanah air antaranya Wan Hanafi Su (Pok Awang), Cech Adrea (Ajih), Kimal Mokhtar (Buyan), Idham Maulana (Pok Cech), Asrulfaizal (Maliki) dan Mat Over (Pok Hassan). Gabungan pelakon pelbagai generasi ini bakal menghidupkan kehangatan watak termasuk konflik emosi masyarakat dalam naskhah berkenaan.

Bagi tujuan merancakkan lagi pelancaran filem ini, satu majlis malam gala filem BAGA diadakan pada 2 November 2026 (Isnin), bertempat di TGV Pavilion Damansara Heights. Acara menghimpunkan barisan pelakon, tenaga kerja kreatif, rakan media serta tetamu jemputan bagi menyaksikan tayangan perdana dan sesi temu ramah eksklusif sebelum tayangan umum di pawagam.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan ‘BAGA: Esok Untuk Siapa’, kisah pengorbanan dan perjuangan cinta ini di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026.

Untuk maklumat lanjut, perkembangan terkini, serta kandungan eksklusif mengenai filem ini, sila ikuti saluran rasmi Facebook, Instagram, X dan YouTube Primeworks Studios.

Debaran menuju pentas sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 semakin terasa apabila senarai rasmi turutan persembahan bagi 11 negara peserta diumumkan, dengan Aina Abdul bakal menutup saingan menerusi lagu Bluest Sky di urutan ke-11.

Pertandingan yang bakal berlangsung pada Sabtu, 14 November ini di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand itu menghimpunkan 11 artis dari seluruh Asia yang masing-masing bakal mempertaruhkan karya tersendiri dalam merebut trofi sulung Eurovision Asia. Berikut merupakan turutan persembahan rasmi bagi kesemua peserta:

  1. Vietnam: Tóc Tiên – EM TIÊN
  2. Kemboja: Monetrey – I Let You Go
  3. Laos: Thinla – BAE
  4. Mongolia: Beck – Chamguigeer (Without You)
  5. Bhutan: Nyendra – Lhayi Semo
  6. Filipina: CARMELLE – Sobra-Sobra
  7. Bangladesh: Beatmosphere – Tumi Ele
  8. Thailand: MANG x DAOU – Aroma
  9. Korea Selatan: JUNHEE – DEEP DIVE
  10. Nepal: Pratik Himal Rai – Ananta Maya
  11. Malaysia: Aina Abdul – Bluest Sky

Barisan peserta Eurovision Song Contest Asia 2026 menampilkan kepelbagaian latar belakang seni dan identiti muzik yang mencerminkan warna industri hiburan di rantau Asia. Terdiri daripada penyanyi solo, duo hinggalah kumpulan a cappella dan beatbox, setiap peserta membawa keunikan tersendiri menerusi karya yang merangkumi genre pop, R&B, balada, muzik rakyat dan tradisional serta gabungan elemen kontemporari.

Pengumuman turutan persembahan tersebut turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang meluahkan keterujaan untuk menyaksikan kemunculan Aina Abdul di pentas antarabangsa. Antara komen yang ditinggalkan termasuklah, “Save the best for the last. Aina Abdul of Malaysia😍🫰🏻”. Seorang lagi pengguna pula menyuarakan, “Memang ramai pun nak tunggu persembahan Aina Abdul. Setakat tinjauan dekat media sosial memang Aina Abdul dan Bluest Sky tengah popular”.

Apakah kejutan yang bakal dibawakan Aina dalam persembahan Bluest Sky dan bagaimana beliau bakal menghidupkan pentas? Segala-galanya bakal terjawab pada 14 November ini.

Saksikan Aina Abdul membawa nama Malaysia di pentas Eurovision Song Contest Asia 2026 menerusi siaran langsung di TV3 atau strim juga di Tonton pada Sabtu, 14 November ini, jam 9.30 malam.

KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL RAIH RM12 JUTA DALAM TEMPOH 4 HARI DAN TAYANGAN AWAL! | Mega Fans Screening berlangsung meriah selama 12 jam dengan penampilan barisan pelakon temui peminat di pawagam sehingga jam 3 pagi

KUALA LUMPUR, 2 NOVEMBER 2026 – Fenomena KUDRAT terus mencetuskan gelombang luar biasa apabila filem KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL berjaya mencatat kutipan sebanyak RM12 juta, merangkumi tayangan awal dan empat hari tayangan rasmi sejak mula menemui penonton pada 29 Oktober lalu. Pencapaian memberangsangkan ini sekali gus menyaksikan KUDRAT 1968 mengungguli carta GSC Top 10 sebagai Filem No. 1 ketika ini, membuktikan kekuatan francais High Council yang terus mendapat sambutan hebat dalam kalangan penonton tempatan.

Kejayaan ini bukan sahaja diterjemahkan menerusi kutipan box office, malah turut diserikan dengan sokongan luar biasa peminat yang terus menghidupkan fenomena KUDRAT di luar layar perak.

Antara yang mencuri tumpuan ialah penganjuran Mega Fans Screening KUDRAT 1968 pada 31 Oktober lalu di GSC IOI City Mall, Putrajaya, yang berlangsung selama 12 jam, bermula jam 3 petang sehingga 3 pagi. Acara istimewa tersebut berlangsung meriah dengan kehadiran peminat yang tidak melepaskan peluang untuk meraikan filem kegemaran mereka bersama kemunculan barisan pelakon seperti Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Evertts Gomes, Akmal Asyraf, Chech Harith, Zamarul Hisham, Yasmin Hani, Dato Eizlan Yusof, Aleza Shadan, Rusdi Ramli, Umar Shakur, Jebat Zulfar, Muzayyin, Mokhtar Mohsin, Fareez Nawawi, Danish Zamri, Amzar Airil, Merah, Nix Wong serta Pengarah, Zulaikha Zakaria.

Barisan pelakon KUDRAT 1968 tampil menjayakan sesi lawatan pawagam (cinema visit) dari satu dewan ke dewan yang lain sebanyak 33 dewan sehingga jam 3 pagi, sekali gus memberikan pengalaman lebih dekat dan bermakna kepada peminat yang hadir.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Sokongan padu daripada peminat sememangnya sangat luar biasa. KUDRAT 1968: High Council berjaya mencatat kutipan RM12 juta menerusi tayangan awal dan empat hari tayangan rasmi, satu pencapaian membanggakan yang mencerminkan sokongan hebat daripada para peminat.

“Namun, kejayaan ini bukanlah sesuatu yang terhasil dalam sekelip mata. Semuanya bermula sejak Projek: High Council, apabila penonton mula membina hubungan yang kuat dengan cerita dan watak-wataknya. Sejak itu, peminat terus setia mengikuti perjalanan francais ini menerusi siri dan filem, berkongsi teori serta mengajak lebih ramai untuk turut sama menghayati dunia High Council. Pencapaian ini juga merupakan hasil dedikasi pasukan kreatif yang diterajui Zulaikha Zakaria bersama barisan pelakon, serta pasukan pemasaran yang telah memberikan komitmen sepenuhnya dalam menghidupkan naskhah ini. Kami amat menghargai setiap individu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.”

Menerusi pendekatan penceritaan inovatif ‘One Story, Two Formats’, KUDRAT 1968 menggabungkan empat episod siri premium dengan sebuah filem layar lebar yang membawa penonton menyelami konflik, hubungan dan perebutan kuasa dalam dunia High Council. Diarahkan oleh Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff, filem ini turut memperkukuh perkembangan naratif dalam Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU).

KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri fenomena KUDRAT di layar lebar!

Untuk perkembangan terkini, ikuti akaun media sosial rasmi Astro Shaw dan gunakan tanda pagar #KUDRAT1968.

KUALA LUMPUR, 2 November 2026 – Sejak mula diperkenalkan pada April 2022, Women Talk kini memasuki musim kesepuluh, terus menyerlah sebagai antara program bual bicara berbahasa Inggeris berfokuskan wanita dan gaya hidup yang paling banyak ditonton serta berpengaruh di Malaysia.

Selepas melengkapkan sembilan musim, program ini terus membawa perbualan terbuka dan progresif yang memperkasa wanita, sambil memperluas skop perbincangan kepada realiti keluarga merentas generasi, hubungan dan cabaran golongan muda dalam menghadapi perubahan sosial masa kini.

Istimewanya musim terbaharu ini, program yang diterajui oleh pelakon Diana Danielle dan pengacara televisyen serta bekas Miss World Malaysia, Nadia Heng ini bakal melangkaui ruang studio menerusi temu bual lapangan dan segmen vox-pop, selain menampilkan perbincangan panel serta sesi bersama pakar di studio.

Mengulas perkembangan program, Anida Tahrim, Pengurus Besar Kanan, Strategi Kandungan & Audiens, TV3 & TV9 berkata, “Memasuki musim kesepuluh, program ini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform perkongsian kisah, pengalaman dan perspektif yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Musim ini, Women Talk memperluas jangkauan perbincangannya menerusi lebih banyak segmen vox-pop dan laporan lapangan bagi membawa suara masyarakat secara langsung ke dalam program, sekali gus merapatkan perspektif antara ibu, golongan muda dan keluarga.”

Sepanjang 13 episod, Women Talk Musim 10 akan mengetengahkan lima kelompok topik utama, iaitu keluarga dan keibubapaan, budaya Gen Z dan anak muda, literasi kewangan, kesihatan dan kesejahteraan, serta hubungan dan perkembangan diri, selaras dengan isu dan keperluan masyarakat yang semakin berkembang.

Ikuti Women Talk Musim 10 mulai 7 November 2026, setiap Sabtu, jam 5.00 petang di TV3, atau strim juga menerusi Tonton.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, X, Threads dan  TikTok di @TV3Malaysia.